Selasa, 26 Mei 2009

ALAHAI AKHIL HAYY .. APA KATA TOK GURU

Salam Blogger

Saya bukan mahu menjaga tepi kain orang, tetapi kisah artis yang digelar ustaz iaitu Akhil Hayy yang dilaporkan mengabaikan isteri dan keluarga kononnya kerana seorang wanita lain amat menarik perhatian umum. Bukannya kerana saya peminat beliau, tetapi apa yang membuat saya minat terhadap isu ini ialah kerana beliau adalah seorang penceramah bebas (bebas ke?) dan selalu “beraksi” di pentas Pas.

Sampai sekarang pun saya tidak mampu terfikir, mengapakah hal-hal sedemikian telah berlaku ke atas manusia yang digelar ustaz ini. Lebih mendukacitakan lagi apabila isteri beliau, Maizawati Zainal menuntut cerai daripada beliau, manakala kehidupan anak-anaknya juga dikatakan terjejas teruk sehingga terpaksa ditukarkan ke sekolah lain.

Sebenarnya, apabila beliau berceramah di pentas Pas, saya tidak pernah mahu memanggilnya ustaz kerana bagi saya, jika disabitkan dengan Pas, mereka adalah golongan-golongan auta sahaja. Memang tidak dinafikan lagi, Akhil adalah seorang “ustaz” yang dipuja oleh puak-puak Pas atas sebab-sebab tertentu. Namun, bila berlaku sebagaimana yang didedahkan, mesti ramai pemimpin dan puak Pas yang tidak akan percaya.

Saya pun nak dengar komen tok-tok guru Pas mengenai hal ini. Apa citer Nik Aziz?. Saya percaya, Nik Aziz pasti akan boleh berikan banyak alasan bagi menghalalkan tindak-tanduk manusia yang pernah berjasa kepada partinya ini. Pasti ada ayat-ayat Al-Quran yang akan dibaca bagi memperkukuhkan hujjah demi mempertahankan seorang ustaz.

Wahai rakyat, tidakkah kami celik daripada melihat segala gelagat manusia yang memperalatkan agama dan gelaran yang suci. Sudah berapa banyakkah kebatilan, maksiat dan sikap buruk manusia dipertahankan oleh Tok Guru hanya semata-mata manusia itu adalah puak mereka. Masihkah anda ingat kisah Mat Sabu?, ayam tambatan Nik Aziz.

Sedarlah wahai rakyat, jangan terlalu mudah menggelarkan seseorang itu ustaz kerana dia seorang yang berjubah dan berjanggut lebat. Atau, mereka yang hanya tahu membaca sepatah dua ayat suci. Ingat, mereka juga adalah manusia biasa dan tidak pernah terlepas daripada kelemahan dan kesilapan. Nik Aziz pun sama. Beliau juga adalah manusia biasa. Maka, setiap fatwa dan kata-kata beliau tidak pernah bebas daripada kelemahan dan kepentingan.

Semoga, kisah yang berlaku ini akan mendedahkan kepada rakyat, inilah sikap manusia yang pernah bersekongkol dengan Pas. Fikirkanlah.


Isnin, 25 Mei 2009

E-BOOK, TAHNIAH KERAJAAN TERENGGANU

Assalamualaikum Perjuangan,…

Sebagaimana yang diumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mengenai program e-book, ia kini sedang direalisasikan secara berperingkat-peringkat demi rakyat. Walaupun, kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau dilihat terganggu sedikit dengan keadaan politik yang tidak menentu, namun itu tidak mematahkan usaha MB bagi melaksanakan amanah tersebut.

Saya mahu merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri di atas pelaksanaan program tersebut yang saya sifatkan sebagai pelengkap kepada penguasaan ilmu di kalangan rakyat. Dengan jumlah pelaburan sebanyak RM30 juta bagi melaksanakan program tersebut, sudah tentu ia sarat dengan harapan agar rakyat Terengganu terus menjana dan mencipta kecemerlangan dalam penguasaan ilmu. Kita sebenarnya bukan sahaja mahu melihat apa yang ada dapat dipertahankan, maka lebih baik jika ia dapat dipertingkatkan lagi.

Saya begitu optimis bahawa kita mampu menjadi pemain global yang hebat yang bertunjangkan kepada jati diri yang kukuh. Pun begitu, semua itu tidak akan mempunyai nilai jika kita sebagai rakyat tidak memberikan komitmen, sokongan dan menjadi pembimbing yang baik kepada anak-anak bagi menjayakan program tersebut. Sebagai terjemahan kepada misi menrakyatkan pembangunan di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Said, rakyat mestilah sepakat dan bersatu dalam memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada usaha yang dicetuskan beliau.

Memang, sesuatu yang tidak mungkin dielakkan bahawa setiap yang baru tidak akan terlepas daripada pandangan kelemahan. Ia akan ada di mana-mana. Namun, tidaklah wajar ia terus digambarkan sebagai tanda kegagalan. Jika kita komited dan jujur mahu melihat agenda menrakyatkan pembangunan itu menjadi kenyataan, kita mestilah sepakat membantu apa-apa yang dianggap wajar untuk melakar kejayaan yang diinginkan.

Mengkritik pun, wajar ada tempatnya. Saya amat yakin bahawa program e-book akan membuka lembaran baru kepada rakyat Terengganu yang cintakan ilmu. Dan, kita semua pun mahu melihat begitu. Justeru, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh sepakat, bertekad dan bermuafakat dalam menjayakan agenda yang besar ini demi kita, demi rakyat dan demi negeri kita yang tercinta ini.

Tahniah diucapkan kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Said. Memahami betapa bukan mudah untuk memulakan sesuatu yang baru dan bukan senang untuk mencipta kecemerlangan, saya percaya rakyat Terengganu sedang melihat dengan teliti pembaharuan dan usaha gigih kerajaan negeri untuk memacu kecemerlangan pendidikan di kalangan rakyat negeri ini, insya’Allah.


Ahad, 24 Mei 2009

SANDIWARA POLITIK PEMBANGKANG KIAN TERANCAM


Salam bloger,

Memang sudah dijangka, BN tidak meletakkan calon di DUN Penanti. Alasannya mudah sebagaimana yang disebutkan DS Mohd Najib Razak tempohari bahawa pilihan raya kecil tersebut bukanlah sesuatu yang dituntut perlembagaan. Ia diadakan disebabkan PKR yang mahu terus memperbodohkan rakyat apabila wakil rakyatnya telah meletakkan jawatan sebagai Wakil Rakyat. Tak pasal-pasal terpaksa adakan pilihan raya semula dan habiskan banyak duit.

Memandangkan apa yang berlaku itu adalah masalah dalaman PKR, maka sewajarnya ia disertai PKR sahaja. Saya tidak nampak BN takut berhadapan dalam pilihan raya kerana BN bukannya sebuah parti yang tidak bersedia menerima kekalahan jika berlaku. BN akan terbuka dan menerima setiap kekalahan dengan hati yang terbuka selain sentiasa bermuhasabah diri. Berbeza dengan PKR dan Pakatan Pembangkang. Jika mereka kalah dalam pilihan raya, maka kita akan mendengar mereka menuduh, mendakwa dan bercakap bahawa kekalahan mereka kononnya disebabkan BN guna taktik kotor dan guna pengundi hantu. Pembangkang tidak pernah mahu menerima kekalahan.

Jadi, tidak timbul BN takut kalah di Penanti kerana prinsipnya BN adalah parti yang sangat terbuka. Ini adalah fakta yang tidak mungkin dapat dinafikan lagi.

Jika boleh saya cadangkan, saya mahu berkata bahawa media usahlah berikan liputan pilihan raya kecil tersebut kerana ia diadakan di atas sifat strategi politik yang menjadikan rakyat sebagai mangsanya. PKR adalah parti yang tidak pernah kisah dengan apa yang bakal ditanggung rakyat asalkan mereka mampu mencapai cita-cita mereka. Berbeza dengan BN, ia adalah parti yang sentiasa melihat soal kepentingan rakyat, negara dan masa depan generasi kita sebagai perkara yang wajib diberikan keutamaan.

Memang, bukan sedikit tohmahan yang telah dan bakal diterima BN kerana keputusannya tidak bertanding di Penanti. Namun, di atas dasar prinsip rakyat boleh menilai sendiri bahawa BN bukanlah sebuah parti yang hanya mahu bermain politik tidak tentu masa.

Ada pun di DUN Manik Urai, Kelantan ia berbeza dan kerana itu, BN awal-awal lagi telah menyatakan keputusannya untuk meletakkan calon mereka. Kekosongan kerusi itu disebabkan wakil rakyatnya meninggal dunia. Jadi, ada keperluan untuk rakyat memilih semula wakil mereka dan ia bukannya disebabkan pengkhianatan pemimpin yang telah dipilih sebagaimana wakil rakyat PKR.

Saya percaya, semua ini adalah petanda dan bukti yang sangat kukuh bahawa sistem demokrasi di negara ini sebenarnya amat subur, sekaligus menyanggah setiap dakwaan pembangkang kononnya demokrasi sudah mati. Demokrasi yang difikirkan pembangkang hanyalah dalam persepsi sempit mereka sahaja. Tidak lebih dari itu.

Kepada rakyat, cukuplah anda semua diperbodohkan, dipermainkan, diperalatkan dan dipersenda parti pembangkang bertanding bukan mahu berbakti kepada rakyat, negeri dan negara. Sebaliknya mereka mahu terus menerus menjadi parti yang memberikan ancaman kepada BN. Pun begitu, BN tidak pernah merasai dirinya terancam kerana sokongan rakyat kepada parti itu kini kian meningkat.

Anda tunggu dan lihatlah nanti.

USAH CEMARKAN GAGASAN SATU MALAYSIA

Salam bloger,

Gagasan Satu Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri kita, DS Mohd Najib Tun Razak sudah jelas menarik perhatian umum. Bagi pembangkang yang tidak pernah melihat kerajaan sebagai pihak yang betul di hati dan mata mereka, mereka ternyata gusar dengan gagasan tersebut yang dipercayai mampu menggugat sokongan rakyat kepada mereka. Jika begitu caranya, saya tidak pernah kisah langsung kerana mereka pembangkang dan sememangnya kerja pembangkang begitu – mengkritik dan memaparkan kerajaan sebagai salah.

Cuma, apa yang saya kesalkan apabila masyarakat kerajaan sendiri telah mentafsir gagasan besar itu mengikut persepsi sendiri tanpa memikirkan kesan di sebalik tafsiran mereka yang saya anggap hanya sarat dengan andaian semata-mata. Gagasan Satu Malaysia diwujudkan bukan di atas sifat menjaga kepentingan individu atau kumpulan tertentu. Sebaliknya ia adalah satu gagasan dalam melakarkan wajah Malaysia yang hebat melalui perpaduan kaum yang berteraskan kesepakatan selain menerima dengan tegas, muktamad dan jujurnya terhadap apa yang sudah pun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Secara jujur, saya amat terkilan dengan sesetengah pihak yang nampak secara jelas, bukan sahaja cuba mengelirukan Gagasan Satu Malaysia, malah dilihat sengaja menangguk di air yang keruh. Kenyataan MCA misalnya yang menggesa agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula biasiswa kepada pelajar-plajar cemerlang baru-baru ini atas alasan Satu Malaysia amat mendukacitakan. Saya benar-benar tidak faham, mengapa parti komponan BN sendiri seolah-olah tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami gagasan Satu Malaysia itu. Mengapa sampai jadi begitu?.

Apakah MCA telah lupa, atau sengaja mahu memejam mata, memekak telinga bahawa biasiswa kepada golongan Bumiputera adalah sesuatu yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia. Hakikatnya, gagasan Satu Malaysia bukan bermaksud mahu merombak sesuatu yang telah pun dipersetujui bersama dalam Perlembagaan Malaysia. Jika asas kepada suara yang digempakan itu berasaskan kemahuan mahu menjadi jaguh dalam kaum mereka, saya cadangkan kepada MCA agar memansuhkan semua Sekolah Cina agar semua pelajar dapat diletakkan di bawah satu bumbung. Bagaiamana?. Setuju?.

Ingat, bumi dipijak adalah milik kita. Saya bukan mahu mencetuskan sesuatu yang bersifat perkauman tetapi ini adalah hakikat yang mesti disemak semula bahawa semua pihak, apatah lagi dalam parti komponan BN agar lebih berhati-hati terhadap kenyataan yang telah dibuat. Sepatutnya kita semua mesti bersatu menterjemahkan gagasan ini mengikut acuan yang telah digariskan dan bukannya merombak apa yang sudah pun terbentuk dengan kuatnya.

Nasihat saya, usah terlalu terlajak dalam berkata-kata kerana kegagalan mengundurkannya semula akan hanya mendedahkan sesiapa sahaja kepada kehancuran. Percayalah….!

Ahad, 17 Mei 2009

HARI GURU: DEDIKASI BUAT ALLAHYARHAM DATO' RAZALI ISMAIL

Pemimpin sejati lahirnya dari seorang guru -- keprihatinan yang tiada batasan fahaman politik. Anda terjemahlah sendiri nilai kehebatan Allahyarham di sebalik foto ini

Salam bloger,

Hari ini, ada sesuatu yang menyentuh perasaan saya. Entah dari mana, juga mengapa. Yang pasti ia tiba-tiba datang menjengah. Saya teringatkan teman, ikon dan guru saya, Allahyarham Datuk Haji Razali Ismail yang hendaknya aman di sana serta sentiasa ditempatkan di kalangan golongan insan-insan yang beriman dan diampunkan Allah. Saya terus membelek dua naskah buku yang bagi saya sangat menyentuh perasaan, apabila saya tafsirkan seolah-olah Allahyarham tahu bahawa itulah buku terakhir yang dihasilkannya dan menjadi sumbangan besar terhadap bangsa dan negaranya.

Menjejak Wira Yang Tidak Disyairkan dan Antara Jeram Dengan Jurang telah ditulis dengan hatinya yang jujur melalui pemerhatian, pengamatan serta emosi yang bagus. Buku, yang bagi saya mempunyai nilai motivasi yang menterjemahkan pemikiran idealis Allahyarham, apatah lagi Allahyarham juga adalah pakar motivasi yang cemerlang. Buku itu dihasilkan selepas beliau berpeluang melawat ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk menemui anak-anak bangsa di sana.

Hari yang agak pantas berlalu meninggalkan kita, mungkin menyebabkan segelintir daripada kita mulai melupai mengenai Allahyarham – Seorang guru, pendidik, wakil rakyat, pakar motivasi, sahabat yang amat senang didampingi dan ahli politik yang peka dengan permasalahan serta denyut nadi rakyat di kawasannya. Meski pun, ia adalah sesuatu yang kurang enak, namun itulah ragam manusia yang bersifat mudah lupa. Sebagai seorang guru dan pemimpin pelajar, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana mengabadikan nama Allahyarham pada nama sekolah dan nama institusi pendidikan di negeri ini, tempat kelahirannya.

Hari ini, ungkapan fakir fikir, memperkasakan akal budi telah tidak kedengaran lagi. Suasana sunyi daripada istilah yang mampu membangkitkan satu perasaan yang luar biasa apabila mendengarnya. Oleh itu, sempena Hari Guru ini, marilah sama-sama kita menggali semula wawasan serta harapan Allahyarham terhadap kecemerlangan pendidikan khasnya cita-cita beliau untuk merapatkan jeram dan jurang. Ingatlah tanggungjawab kita membina modal insan berinovasi sebagaimana pesanan Allahyarham:

“Setiap anak itu berhak mendapat pendidikan walaupun di mana dia berada dan walaupun dia anak seorang penagih dadah”…

Sama-sama kita fikirkan...




PENGERTIANNYA HARI GURU

KENANGAN ... Tokoh seorang guru yang menjadi ikon saya
Salam bloger,

Semalam, 16 Mei kita semua mengenang jasa guru melalui sambutan Hari Guru. Jika mahu dibandingkan dengan sepuluh tahun yang lalu, meraikan sambutan Hari Guru dilihat jauh lebih meriah. Malah, dalam tertentu Sambutan Hari Guru sudah menjadi satu perayaan yang gemilang. Hari Guru juga disambut dengan penus emosi sehingga ada yang mengalirkan air mata, mendakap guru dan merakamkan ucapan dengan ikhlasnya.

Seawal masuknya detik 16 Mei, guru telah menerima ucapan Selamat Hari Guru, bukan sahaja dari murid yang masih di bangku sekolah atau bekas murid guru. Malah, pemberian hadiah kepada guru sebagai tanda ingatan yang tidak pernah luput makin mencurah-curah. Ya, ingatan adalah sesuatu yang amat ternilai dalam kehidupan. Sebenarnya, kerana gurulah anak-anak boleh membaca, menulis, mengaji dan mengira. Kerana guru juga, kita menjadi insan berguna dan kerana guru kita menjadi pewaris bangsa yang terbilang. Lebih mulia, apabila kerana gurulah, kita menjadi seorang guru.

Ya, kadangkala guru bersikap garang terhadap kita. Dirotan, dimarahi dan diberikan tunjuk ajar yang keras adalah antara hal-hal yang biasa di alam sekolah. Bagi kita yang waras dan tahu bahawa guru sebenarnya menyanyangi kita, mahukan kita menjadi insan berguna dan ingin melihat kita bakal menjadi seorang manusia yang bukan sahaja kembali berjasa kepada guru tetapi juga ibu bapa, keluarga, masyarakat dan negara. Seorang guru tidak pernah meminta lebih daripada anak muridnya. Cukuplah sekadar kejayaan yang dihadiahkan, itu sudah memadai untuk mengembira dan menghiburkan hati seorang guru.

Sememangnya guru layak menerima penghargaan. Umpama api lilin yang membakar diri, itulah pengorbanan guru demi kita. Jika kita tidak mengingati guru, apatah lagi tidak menghormati guru, apa lagi yang kita miliki.

Sempena Hari Guru, marilah kita yang bergelar pelajar, ibu bapa, dan ahli masyarakat agar sama-sama bermuhasabah diri agar kehadiran guru di zaman ini memang dirasai sebagaimana suatu masa dahulu, guru juga adalah adalah segala-galanya termasuk dalam membentuk percaturan politik. Masih segar di ingatan saya kata-kata tokoh guru dan bekas pemimpin politik, Allahyarham Datuk Haji Razali Ismail yang pernah berkata:

“Hari ini kebimbangan kita bukan kerana ketidakupayaan anak-anak kita tetapi kita sebenarnya tidak menggunakan segala kehebatan yang dimiliki mereka. Ingatlah, sesiapa sahaja yang dewasa hari ini, sejarahnya dimulai oleh guru yang dewasa”.

Al-Fatihah buat Allahyarham yang amat saya kagumi dulu, kini dan selamanya. Kepada semua warga guru, teruskan kerjaya kalian dengan sabar dan hadapi setiap dugaan sebagai sebahagian daripada sumbangan kita untuk anak bangsa dan masa depan negara. Walaupun di zaman serba moden dan akal manusia semakin melebar dalam berfikir sehingga kerjaya sebagai guru bagaikan agak terensot sedikit, namun guru tetap tidak pernah dilupakan.

Buktikan, kehadiran Hari Guru telah diraikan dengan hebatnya dan penuh perasaan. Selamat Hari Guru.


Jumaat, 8 Mei 2009

CATATAN MENJELANG SUBUH


Assalamualaikum …

Sejak kebelakangan ini, kemunculan isu-isu politik khususnya di Terengganu telah menarik minat yang berganda buat kita semua. Saya adalah antara manusia yang teruja dengan isu-isu yang berlaku. Sama ada, ia adalah satu andaian, persepsi atau kenyataan, ia terpulanglah kepada penilaian kita. Di Terengganu, isu untuk menukarkan pemimpin telah sejak sekian lama terdendang dan ia telah menjadi satu isu yang masih diperkatakan hingga ke hari ini.

Walaupun apa yang dikata, masih belum terkota, minat untuk melihat berlakunya apa yang dikatakan sebagai satu perubahan kian membara. Sama ada, ia hanya sekadar perencah politik atau apa sahaja yang boleh dimaksudkan sama dengannya, menukar pemimpin bukan seperti kita menukar baju. Rakyat tidak boleh terlalu sempit dalam membuat penilaian dan mencatatkan kemahuan tanpa memikirkan segala-galanya.

Saya melihat, perkembangan politik di Terengganu hari ini masih tidak sihat. Bukannya saya mahu mempersoalkan atau menyokong sesiapa, tetapi bagi saya, menukar pemimpin bukanlah jawapan yang muktamad kepada persoalan yang berbangkit. Yang penting ialah misi Perdana Menteri kita bahawa akyat didahulukan. Jika itu dapat dilaksanakan, maka yang lain sudah lagi tidak penting lagi. Saya sedar, kadangkala kita berjuang di atas nama kebenaran tetapi apa ertinya perjuangan itu jika ia akan hancur mendedahkan sesuatu yang tidak sihat kepada rakyat.

Saya bimbang dengan kuasa rakyat yang sedang meneliti dan memerhati perkembangan yang berlaku. Janganlah sampai, kita menang sorak tetapi kampung tergadai. Musuh politik kita sedang menanti dengan minatnya untuk mengambil alih kuasa yang tidak sepatutnya kita berikan kepada mereka. Adakah kita tergamak begitu. Jika tidak mahu, kita perlulah berkorban. Kita kena lebih matang dan bijak dalam mengurus politik kerana kepentingan mesti diberikan kepada rakyat dan bukannya soal kedudukan. Pemimpin boleh silih berganti tetapi jika parti kita dilucutkan kelayakan oleh rakyat daripada berkuasa, ia belum tentu dapat bersilih lagi. Apa yang telah dan sedang lakukan akan tersekat dan disekat. Itu yang kita takutkan.

Saya berharap, rakyat di negeri saya memahami keadaan tersebut dan segera menghentikan polemik yang merugikan. Marilah kita fokus kepada amanah yang telah diberikan untuk melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin demi rakyat dan negeri. Kita mesti sepakat dan bertekad untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat. Itu harapan yang amat besar dari rakyat kepada kita semua.

Sedarlah hakikat itu dan jangan biarkan kita menerima hukuman rakyat pada PRU akan datang. Itu saja!

HAJI HADI DAN LABU-LABUNYA

Assalamualaikum …

Jangan Uji Kesabaran Pas. Itu kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagaimana dipetik media sebagai komen terhadap perkembangan politik murahan Pas menjelang Muktamar Agungnya bulan depan. Jika ditanya kepada saya, ia bukanlah sesuatu yang pelik pun. Sebabnya, DS Abdul Hadi adalah seorang ulama politik yang perjuangannya ada kepentingan dan bukannya berasaskan kepada nilai kejujuran keikhlasan.

Maksud saya, beliau akan mempertahankan sesuatu yang ada kaitan dengan kepentingannya. Sebab itu, jika disoal kepada saya siapakah yang paling layak mentadbir Pas, sama ada ulama atau profesional, saya katakan kedua-duanya langsung tidak mempunyai kelayakan. Jika ulama yang mentadbir, ulama politik Pas akan hanya mentafsir agama mengikut selera dan kepentingan mereka sahaja. Mereka tidak akan sama sekali menyatakan kebenaran jika kebenaran itu merencatkan kepentingan politik mereka. Dan, yang lebih menyedihkan ialah, ulama politik Pas sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kepentingan termasuk mempertahankan manusia yang berbogel, menderhaka kepada Raja, berbohong, suka menfirnah dan sebagainya.

Begitu juga dengan profesional. Pun sama. Sifat mereka sama apabila disebut Pas. Nama partinya Islam dan pakaiannya Islam tetapi akhlak pemimpinnya jauh terpesong dan tersasar daripada ajaran Islam. Jadi, kenyataan DS Abdul Hadi yang telah memberikan amaran kepada “orang luar” supaya tidak menyibuk mengenai perkembangan terkini dalam Pas adalah luahan perasaan bimbang mengenai persepsi negatif rakyat terhadap parti itu sejak kebelakangan ini.

Jika anda ingat, DS Abdul Hadi juga selalu menjadi penyibuk nak ulas itu dan ini mengenai Perhimpunan Agung UMNO setiap kali ia berlangsung. Apa kes dan apa kena mengena DS Abdul Hadi dengan UMNO yang dia dok sibuk nak ambil tahu. Jadi, bila orang lain sibuk mengenai Pas, apa hak dia nak halang pulak. Saya fikir, DS Abdul Hadi kini khuatir dan bimbang dengan polemik kepimpinan Pas yang menterjemahkan mesej di akar umbil parti itu yang tidak lagi mempercayai kepimpinan beliau. Malah, tidak pernah berlaku di kalangan puak Pas yang tergamak mengkritik secara terbuka mengenai DS Abdul Hadi yang sebelum ini dipercayai secara taksub kerana dia dianggap Tok Guru (walaupun cap ayam).

DS Abdul Hadi bagaikan sudah bimbang dengan pengaruhnya yang sudah kian susut dan tidak disenangi di kalangan ahli Pas sendiri. Kepimpinan beliau menerima tempias yang amat negatif. Jadi, sebelum dia dijatuhkan, baik dia berundurlah. Habis cerita.

Maka tidak hairanlah jika DS Abdul Hadi sendiri terpaksa menarik bali kenyataannya mengenai Kerajaan Perpaduan yang menjadi isu hangat di dalam Pas hari ini. Dan, selepas melihat kedudukannya kian tergugat, maka itulah keputusan yang dibuat. Saya dah katakan bahawa ulama politik, mereka boleh bertabiat auta tanpa malu dan segan. Segala-galanya boleh berubah dan diubah mengikut selera mereka sahaja.

Anda fikirlah sendiri, saya tidak mahu menulisnya dengan panjang mengenai isu ini.