Ahad, 28 September 2008

SELAMAT PULANG PERANTAU


Tinggal sehari sahaja lagi, kita semua akan menyambut ketibaan 1 Syawal, iaitu hari kemenangan selepas sebulan menjalani ibdah puasa di bulan Ramadhan. Kemeriahan bagi meraikan lebaran kian terasa, apatah lagi sudah ramai yang mula bercuti dan menuju ke kampung halaman masing-masing. Begitu cara orang kita, budaya mereka dan setiap kali tibanya Syawal, maka kampung halaman adalah destinasi yang dituju. Alhamdulillah, kita bersyukur.

Dalam tempoh sehari yang berbaki di dalam Ramadan yang bakal kita tinggalkan ini, selain kanak-kanak, anak-anak perantau adalah mereka yang lebih gembira meraikan kedatangan Syawal. Mereka adalah antara yang amat ghairah untuk kembali menjengah kampung halaman yang sekian lama ditinggalkan demi satu nilai perjuangan dalam hidup mereka.

Mereka pasti mahu bergembira, berkumpul bersama keluarga yang sentiasa terpisah kerana menunaikan tanggungjawab atau mencari rezeki. Tentu sekali pertemuan yang bermakna itu akan menimbulkan pelbagai cerita serta kisah. Yalah, orang kampung mana sama dengan orang kota atau bandar. Cerita mereka pun pasti berbeza-beza. Itulah yang menariknya satu pertemuan di hari lebaran.

Saya bukan mahu mengajar tetapi sekadar memberikan pandangan agar pertemuan di awal Syawal ini tidak tercemar dengan pelbagai cerita-cerita karut. Maklumlah, kadangkala kita bercakap berdasarkan sesuatu yang kita dengar dan bukannya apa yang kita lihat atau rasakan sendiri. Biasanya memang cerita yang ditambah-tambah, walaupun tidaklah benar tetapi sedap didengar. Bila berkumpul, elakkan cerita-cerita yang tidak berfaedah kerana ia tidak mendatangkan apa-apa pun kepada kita.

Maklumlah sekarang ini terlalu banyak isu-isu yang panas diperkatakan. Kadangkala ia langsung tidak benar. Di awal Syawal ini, marilah kita melupakan segala sengketa sesama kita. Usaha kita pertahankan sesuatu yang tidak sepatutnya kita pertahankan di dalam diri kita hanya semata-mata kerana kepentingan yang dianggap kecil di dunia ini. Kita tidak boleh terlalu egoistik dan merasakan bahawa hanya kita yang betul, manakala orang lain salah belaka. Tidak boleh begitu.

Syawal adalah bulan kemenangan. Kemenangan bagi mereka yang tahan pada cabaran dan tahu mengisi Ramadhan dengan jayanya. Perantau pun begitu. Mereka tidak boleh menjadi golongan yang terjebak dengan cerita dongeng semata-mata. Marilah kita semua bermaaf-maafan di hari raya.

Kepada anak perantau, saya doakan kejayaan mereka, keselamatan mereka di perjalanan serta kemeriahan yang dicari di hari lebaran sebagai sesuatu yang mampu mereka kecapi. Hidup ini, jika tiada kemeriahan, di manakah nilainya. Saya berbangga dengan anda, saya percaya adalah adalah sebahagian daripada nilai kegembiraan sekian banyak anak kampung yang sedang menanti anda.

Selamat pulang anak perantau … Salam Aidilfitri.