Rabu, 8 Julai 2009

PPSMI: Bukti Keterbukaan Kerajaan BN

Salam bloger …

Semalam, Rabu 8hb Julai 2009, Jemaah Menteri melalui mesyuarat kabinet telah membuat keputusan muktamad mengenai dasar pembelajaran Mata Pelajaran Sains dan Metematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012. Ini akan membawa maksud bahawa mulai tahun tersebut, mata pelajaran sains dan matematik kembali diajar dalam bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.

Maknanya juga, murid Tahun Satu tahun depan akan mengambil Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2014 dalam bahasa Melayu dan begitu jugalah dengan pelajar tingkatan satu pada tahun 2010 yang akan menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Renda (PMR) pada tahun 2012 dalam bahasa Melayu.

Seperti anda, saya menarik nafas lega dan gembira dengan keputusan yang telah dibuat Kementerian Pelajaran Malaysia walaupun bagi saya, mungkin akan ada lagi isu-isu yang sengaja ditimbulkan pihak tertentu dengan nada tidak berpuas hati terhadap kerajaan. Mungkin mereka mahu kerajaan mengubahnya serta-merta tanpa menunggu tahun 2012 atau meneruskan sistem yang sedia ada.

Itu pendapat mereka dan dalam sistem demokrasi, di antara kita adalah bebas bersuara dan bercakap. Apa yang penting bagi saya, saya yakin bahawa keputusan yang dibuat itu telah berdasarkan kepada kajian terperinci oleh pelbagai pihak termasuk pakar-pakar dalam bidang berkenaan dan mengambil kira faktor masa depan kita, pewaris kepimpinan masa depan.

Sesungguhnya bagi saya, keputusan kabinet ini membuktikan bahawa Bahasa Melayu akan terus dimartabatkan selaras dengan Perlembagaan Negara. Cuma, apa yang diharapkan selepas ini satu penggubalan secara menyeluruh sukatan pelajaran Bahasa Inggeris dibuat di semua peringkat ke arah memperkasakan bahasa tersebut sebagaimana yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui sebelas langkah memperkasakannya agar anak-anak kitaakan dapat menguasainya dengan lebih mudah dan efektif.

Sesungguhnya, langkah yang telah digariskan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memperkasakan Bahasa Inggeris merupakan satu tindakan jangka panjang yang perlu didokong dan disokong oleh semua pihak termasuk parti pembangkang. Isu pendidikan adalah berkaitan masa depan anak cucu kita, bukannya untuk kepentingan politik mana-mana pihak.

Terima kasih YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas satu keputusan yang bijak, tepat dan amat kena pada ketikanya.