Khamis, 29 Disember 2011

WAJARKAN MAHASISWA BERPOLITIK ?

Gambar hiasan

Sejak YAB Perdana Menteri mengumumkan di Parlimen bahawa kerajaan akan meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), ia telah mengundang pelbagai pandangan sama ada yang menyokong dan membantah cadangan tersebut khasnya golongan mahasiswa. Dan seperti biasa, pihak pembangkang dengan angkuh dan megahnya mendabik dada menyatakan bahawa ia merupakan hasil perjuangan mereka dan kerajaan terpaksa akur dengan desakan mereka. Di kalangan mahasiswa sendiri telah wujud tiga golongan iaitu golongan bersetuju, golongan tidak bersetuju dan golongan tak tahu apa-apa.

Sebelum kita ingin merumuskan ia adalah hasil perjuangan siapa, atau sama ada ia menguntung atau merugikan mahasiswa, sama-sama kita melihat ke belakang sejenak akan sejarah penggubalan dan penguatkuasaan akta itu sendiri pada tahun 1975.

20 Oktober 1961, Akta Universiti Malaya telah dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Y.B. Encik Abdul Rahman Talib. Rang undang-undang ini bertujuan menjadikan Universiti Malaya Kuala Lumpur sebagai badan autonomos, sekaligus menjadikan Universiti untuk Persekutuan yang dikenali sebagai University of Malaya.

April 1971, Parlimen telah meluluskan satu Akta Universiti dan Universiti Kolej 1971 yang mengandungi 5 Bahagian dan 27 Seksyen. Akta ini dibuat berasaskan perakuan daripada satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Hakim Tun Suffian yang ditubuhkan pada tahun 1968. Semasa deraf perlembagaan Universiti Sains Malaysia (USM) dibuat, Akta ini telah dibentangkan oleh Menteri Pelajaran, Tun Hussein Onn dalam Dewan Rakyat pada tahun 1971. Di bawah Seksyen 8 Akta ini dinyatakan mengenai perlembagaan Universiti yang mana mengandungi kuasa tertentu pihak tertentu di Universiti.

Pada 3 Disember 1974, tercetuslah demostrasi besar-besaran pelajar-pelajar IPT di Kuala Lumpur berhubungkait dengan isu kebuluran di Baling (masih ingat siapa yang mengepainya ?). Dalam peristiwa ini seramai 1129 pelajar IPT telah ditangkap oleh pihak Polis. Berpunca dari peristiwa ini, AUKU (Pindaan 1975) diperkenalkan kepada pelajar dan kakitangan Universiti. AUKU (Pindaan 1975) telah dibentangkan di Parlimen pada 8 April 1975, oleh YB Dr. Mahathir Mohamad selaku Menteri Pendidikan Malaysia dan dikuatkuasakan di semua IPT pada tahun 1975. Pada tahun yang sama Bahagian Hal Ehwal Pelajar ditubuhkan di semua IPT sebagai pihak berkuasa yang diberi tanggungjawab untuk menjaga disiplin pelajar, menguatkuasa AUKU dan juga berkait dengan kegiatan berpesatuan serta kebajikan pelajar di IPT.

Sebelum penguatkuasaan AUKU (Pindaan 1975) kita boleh lihat dengan jelas mahasiswa di universiti telah dipergunakan sepenuhnya oleh parti-parti politik dan mereka telah terlibat secara lansung dalam politik negara dengan memberi ceramah umum di pentas parti-parti politik khususnya parti pembangkang saperti PAS, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan DAP. Pemimpin-pemimpin pelajar telah menyebarkan pengaruh parti pembangkang di kalangan mahasiswa melalui risalah, bulletin mahasiswa, ceramah dan majlis forum.

Ramai mahasiswa telah terlibat langsung dalam kempen pilihanraya negara sama ada sebagai perayu undi atau penceramah. Manakala itu, parti-parti politik pembangkang terus mendekati kampus dengan memperalatkan pemimpin mahasiswa dan juga pensyarah untuk menyebarkan agenda politik mereka.

Kebebasan yang ada di kampus digunakan oleh Parti Komunis Malaya ( PKM ) yang telah diharamkan untuk menyusup masuk bagi meneruskan agendanya bagi menumbangkan kerajaan secara kekerasan. Melalui beberapa kadernya, PKM dapat menyerap masuk dalam Persatuan Bahasa Tionghua Universiti Malaya. Setelah itu, kader-kader PKM ini mengambil alih kepimpinan Persatuan Bahasa Tionghua Universiti Malaya dan seterusnya menyusup masuk dalam Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya yang dikuasai oleh kumpulan Sosialis. Kumpulan pro PKM dalam PMUM tidak berdiam diri, malah dapat menggerakkan pucuk pimpinan PMUM untuk mengadakan beberapa siri demonstrasi berdasarkan isu-isu rakyat saperti isu setinggan Tasek Utara, Johor Bahru dan kes setinggan di Kampung Kerinchi Malah kumpulan ini berjaya menawan pentadbiran kampus Universiti Malaya sehingga kuasa tersebut di ambil semula dan diserahkan kepada pihak pentadbiran Universiti oleh kumpulan pelajar-pelajar Melayu di bawah naungan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya.

Justeru itu, kader-kader PKM menggunakan Persatuan Bahasa Tionghua Universiti Malaya bagi meluaskan agenda perjuangan PKM kepada rakyat melalui berbagai aktiviti saperti pertunjukkan pentas, drama, penyebaran majalah dan lain lagi. Melalui aktiviti-aktiviti ini mereka berusaha menggerakkan semangat rakyat khususnya kaum Tionghua untuk bangkit bagi menombangkan kerajaan secara kekerasan. Di masa yang sama, kader-kader PKM dalam PMUM berjaya menarik perhatian pemimpin PMUM untuk mengheret isu Baling untuk diperjuangkan bersama dengan pemimpin mahasiswa semua IPT. Hasilnya beberapa demonstrasi diadakan di Baling dan diikuti dengan satu demonstrasi secara besar-besaran diadakan di Padang Kelab Selangor pada tanggal 3 Disember 1974, yang melibatkan beribu-ribu pelajar dari semua IPT. Demonstrasi ini berakhir di Masjid Negara dengan tertangkapnya seramai 1129 pelajar dan pemimpin-pemimpin pelajar. Siri demonstrasi tidak tamat begitu sahaja, malah berterusan untuk tempuh beberapa minggu di kampus-kampus antara pelajar dengan pihak Polis. Demonstrasi ini terhenti sehingga berlakunya operasi besar-besaran waktu subuh anggota Polis di semua kampus yang mana menamatkan semua bentuk demonstrasi pelajar IPT. Dalam operasi ini semua pemimpin pelajar telah di tangkap dan dikenakan tahanan polis.

Sebelum AUKU Pindaan 1975, aktiviti sudut pidato begitu popular dan telah mendapat perhatian para pelajar Universiti. Dalam isu-isu tertentu, sudut pidato diadakan hampir setiap minggu yang telah mengganggu ketenteraman dan proses pembelajaran di kampus. Bagi isu-isu tertentu, pemimpin pelajar menjalankan kempen memulau kuliah dan tutorial bagi membolehkan para pelajar menyertainya Biasanya siri sudut pidato ini akan berkesudahan dengan siri demonstrasi, pemulauan kuliah, tutorial, menghalang pelajar ke perpustakaan dan mengganggu aktiviti akademik di kampus. Aktiviti sudut pidato, demonstrasi dan memulau kuliah oleh pelajar ini banyak memberi kesan kepada pencapian pelajar khususnya pelajar Bumiputera.

Sebelum AUKU Pindaan 1975, para pemimpim pelajar bebas untuk mengutip wang tanpa perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa Universiti dan pihak Kementerian Pendidikan. Persatuan pelajar bukan sahaja bebas menentukan cara untuk mengutip sumber kewangan persatuan dari berbagai bentuk aktiviti tetapi juga mendapatkan sumber kewangan dari pihak luar kampus saperti NGO, parti politik dan pertubuhan antarabangsa. Malah mereka bebas membelanjakan kewangan tersebut untuk berbagai aktiviti, termasuk mengadakan lawatan atau menyertai seminar antarabangsa tampa memerlukan kelulusan pihak berkuasa Universiti. Perkembangan yang berlaku ini membolehkan pemimpin-pemimpin pelajar menggunakan kewangan persatuan untuk kepentingan diri. Manakala laporan perbelanjaan persatuan tidak diperiksa oleh pihak Universiti, tetapi sekadar cukup dioudit oleh oudit persatuan untuk dibentang dalam mesyuarat agung sahaja. Jika berlaku penyelewengan, tidak ada tindakan boleh dikenakan kepada pemimpin persatuan berkenaan, kecuali setakat tidak dipilih dalam kepimpinan persatuan sahaja. Keadaan ini menjadikan pemimpin persatuan lebih berani menggunakan kewangan persatuan untuk kepentingan masing-masing, tampa rasa takut kerana pasti tiada tindakan diambil ke atas mereka..

Aktiviti Demonstarasi mulai kurang dan beransur hilang dalam aktiviti kampus. Aktiviti menghalang pelajar ke bilik kuliah terhenti dan aktiviti memulau aktiviti akademik hapus sama sekali. Semua pelajar dapat menumpukan sepenuh masa kepada aktiviti akademik tampa ada gangguan lagi.

Kegiatan berpesatuan semakin rancak dengan tertubuhnya berbagai persatuan atau kelab yang mewakili mahasiswa bagi tujuan-tujuan tertentu. Jika sebelum ini aktiviti bercorak akademik, kemasyarakatan, rekreasi dan lain-lain kurang atau tidak mendapat tempat, kini kampus rancak dengan berbagai aktiviti sebagai ganti speaker corner dan demonstrasi. Persatuan atau kelab pelajar tumbuh bagai cendawan di mana memberi peluang seluasnya kepada mahasiswa untuk mengasar bakat mereka dalam arena kepimpinan pelajar.Manakala jumlah aktiviti bertambah berlipat kali ganda yang mana memberi peluang yang lebih luas kepada pelajar menimba pengalaman, memperkembangkan kemahiran tertentu serta pengetahuan baru. Perkembangan yang berlaku tidak menunjukkan sama sekali bahawa AUKU Pindaan 1975 telah menyekat kebebasan pelajar dan menjadikan pelajar IPT pasif. Apa yang jelas pelajar lebih aktif dan dapat memperbagaikan aktiviti kampus. Kini mahasiswa berpeluang untuk menganjurkan lawatan keluar negara, di mana sebelum ini hanya di nikmati oleh pemimpin persatuan Mahasiswa Universiti atau kumpulan kesenian dan sukan Universiti sahaja. Jika sebelum ini para mahasiswa asyik berdemonstrasi mengenai isu kemiskinan dan masalah masyarakat, tetapi kini mereka bebas turun ke gelanggang dengan mengadakan program di bendang, ke laut bersama nelayan, ke kawasan pendalaman, ke desa atau kampong bagi mengadakan aktiviti kemasyarakatan.

AUKU Pindaan 1975 mengajar pemimpin pelajar pengertian bekerja secara terancang, teratur dan mengikut peraturan. Peraturan-peraturan yang ada mendedahkan kepada pemimpin pelajar cara bekerja dalam suatu organisasi formal sebagai bekalan dan persediaan mereka dalam dunia pekerjaan. Di samping untuk menyekat segala bentuk penyelewengan khususnya yang berkaitan dengan kutipan dan cara wang dibelanjakan.Tetapi malang segala peraturan dan panduan yang bertujuan untuk mendidik dianggap menyukarkan, menekan dan menghalang kebebasan mereka berpersatuan. Pemimpin Mahasiswa tertentu terus berkempen menyatakan AUKU menyekat kebebasan mahasiswa dan sebagai punca mahasiswa Universiti pasif. Apakah betul AUKU menyekat kebebasan pelajar dan punca utama mahasiswa menjadi pasif?. Atau AUKU dijadikan alat untuk menutup kelemahan diri serta agenda tersembunyi yang tidak dapat diteruskan kerana bercanggah dengan AUKU?

Jika AUKU menjadi punca, apakah mungkin persatuan pelajar tumbuh bagai cendawan dan jumlah aktiviti menjangkau lebih 500 hingga 800 aktiviti di sesetengah Universiti. Jika AUKU menyekat kebebasan pelajar, tidak mungkin mahasiswa mampu mengutip wang antara RM 5,000.00 hingga RM 100,000.00 bagi menganjur berbagai projek. Jika AUKU menyekat mahasiswa berpolitik, tidak mungkin pilihanraya kampus dapat dilaksanakan, debat dan forum politk bersilang ganti, dailog isu-isu semasa dengan tokoh dan pemimpin negara dapat dianjurkan. Cuma yang tidak berlaku ialah demonstrasi dan kebenaran berkempen dalam pilihanraya negara serta politk kepartian. Apakah kerana segelintir pemimpin mahasiswa tidak dapat berpolitik kepartian untuk terlibat aktif dalam politik negara, berkempen dalam pilihanraya negara, berceramah atas pentas parti politik dan menganjurkan demonstrasi maka AUKU dituduh menyekat kebebasan mahasiswa? Sedangkan pada hakikatnya hampir majoriti mahasiswa tidak memerlukan apa tuntutan mereka. Jika segelintir pemimpin mahasiswa terasa dirinya terhalang, kenapa mahasiswa lain cuba diheret bersama dengan keinginan mereka yang tidak kecapaian?

Apakah dengan membubar AUKU akan menjamin kampus akan menjadi lebih ceria, kecemerlangan akademik semakin meningkat (khasnya mahasiswa Melayu) dan pelajar akan bertambah matang? Apakah kita sedar bahawa kini terdapat lebih daripada 425,000 orang pelajar di 20 IPTA seluruh negara yang merupakan satu jumlah yang cukup besar dan mampukah kita mengawal segala kemungkinan yang bakal timbul jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan akibat terlalu taksub dengan politik luar kampus? Kita mesti ingat bahawa yang berada di kampus adalah golongan muda yang emosinya tinggi, mudah terikut-ikut dan terpengaruh dengan apa saja dan kumpulan ini mudah diapi-apikan.Masihkah kita ingat bagaimana keadaan tidak terkawal dalam tahun 1980-an di semua IPTA apabila pertembungan kerap berlaku antara kumpulan yang dikatakan penyokong Pro- Kerajaan dan Pro-Pembangkang? Bagaimana dua kumpulan tersebut bertembung dengan jumlah penyokong yang ramai sehingga merosakkan harta benda Universiti yang ketika itu jumlah mahasiswa di setiap Universiti hanya sekitar 5,000 orang sahaja.? Bayang dengan keadaan sekarang di mana setiap Universiti telah menjangkau antara 8,000 orang hingga 20,000 orang, malah UiTM lebih dari 130,000 orang.

Mereka di luar kampus sepatutnya tidak mudah seronok apabila dapat berjumpa dan berdailog dengan pemimpin mahasiswa, dan terus membuat andaiaan bahawa mahasiswa jika didekati akan berpihak dengan mereka. Mereka di luar kena belajar budaya dan politik pelajar sebenar. Mereka mesti kena terima hakikat bahawa bab berlakun dan berpura-pura merupakan budaya yang telah diajar, diamal dan praktiskan oleh pelajar pro-pembangkang. Mereka boleh berlakun saperti penyokong kerajaan yang hebat, berlakun telah insaf dan mulai sedar di atas kesilapan mereka menyokong pembangkang. Mereka akan memuji dan memuja kerajaan. Tetapi pada hakikatnya mereka mengharapkan akan ditaja menganjurkan program yang bunyinya menarik, tetapi menikam pihak yang memberikan bantuan. Pemimpin di luar kena buat “double checking” dgn aktivis pro-kerajaan di IPTA.

Peristiwa menurunkan bendera Perdana Menteri di PWTC atas apa jua alasan tidak dapat diterima oleh majoriti mahasiswa kerana ia bukan budaya yang diajar di dalam bilik kuliah. Ia merupakan budaya politik luar kampus yang cuba mengheret pelajar untuk membenci pemimpin, tidak bersyukur dengan apa yang telah mereka nikmati dan menggambarkan seolah-olah itulah erti sebuah kematangan. Bayangkan jika AUKU khasnya Seksyen 15 dimansuhkan, bukan lagi turunkan bendera malah bakar benderapun tidak mustahil akan berlaku.

Memetik kata Menteri Pengajian Tinggi di dalam Wawancara Mingguan Malaysia pada 18 Disember 2011, selepas pindaan AUKU, pelajar bebas melakukan apa sahaja di luar kampus termasuk memegang jawatan penting di dalam parti dan menulis apa jua mengenai politik ! Tidak tergambarkah kita nanti apabila mahasiswa berjawatan Ketua Pemuda UMNO bertembung dengan Ketua Pemuda PAS di dalam Universiti yang sama? Secara logikalnya, apakah tiada unsur untuk mengembangkan pengaruh politik masing-masing di dalam kampus oleh-oleh pemimpin politik luar kampus bergelar mahasiswa ini? Dan apakah jaminan ia tidak akan berlaku? Pakah tidak terlintas di fikiran kita, apabila mahasiswa dibenarkan berpolitik di luar kampus, jangan terkejut jika pensyarah juga akan memohon perkara sama kerana mereka lebih "matang" berbanding mahasiswa. Akhirnya kampus menjadi “medan berpolitik” dan akan menyimpang daripada matlamat asal pengajian tinggi walaupun kita digula-gulan dengan ungkapan “ berpolitik hanya di luar kampus” kerana kita juga yakin bahawa menyekat penyebaran ideologi politik tidak semudah menakung air di dalam kolah…..

Kesimpulannya, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan merenung sejenak sebelum kita membuat sebarang keputusan yang mungkin pada firasat kita adalah yang terbaik walau mungkin akhirnya akan mengorbankan masa depan anak bangsa sendiri. Saya amat bimbang akan pesanan Allahyarham Aminudin Baki : “Jangan suatu hari nanti ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan akan menjadi realiti akibat kelalaian kita menguruskan masa depan anak bangsa……salam perjuangan.