Isnin, 15 Jun 2009

SEKADAR SATU CATATAN

Assalamualaikum…

Hidup ini sememangnya sarat dengan peristiwa. Malam tadi misalnya, seorang kawan berjumpa saya dan berkata: “Waris (saudara) mu kirim salam. Dia kata semua adik beradik mu Pas tetapi mu seorang saja UMNO,” saya menjawab salam tersebut sebelum menyapa dengan senyuman yang agak sinis.

Pun begitu, saya termenung sejenak mendengar kata-kata tersebut. Sebenarnya ini bukan kali pertama saya mendengar, malah sudah acapkali perkara yang sama singgah ke telinga saya. Saya bukanlah seorang yang berilmu tinggi, cuma saya teringat kata-kata seorang ustaz yang pernah bercerita mengenai kisah Abu Jahal dan Abu Lahab yang menentang Nabi SAW, kisah nabi Nuh yang ditentang anak dan isterinya. Itu kisah penentang penyebaran agama Islam.

Dan kisah saya yang ditentang kerana berlainan idealogi, apalah yang peliknya sangat. Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan saya dan sepatutnya juga samalah dengan anda semua. Kita negara demokrasi dan diberikan hak serta kebebasan memilih parti yang kita yakin, bukannya memilih agama. Apakah dengan menjadi ahli Pas, ia dijamin kita masuk ke syurga walaupun itulah rasuah terbesar Pas kepada rakyat yang cetek pengetahuannya sejak sekian lama.

Apakah akhlak yang dianjurkan Islam apabila kita menjatuhkan maruah orang lain, mengaibkan mereka dan melemparkan pelbagai fitnah. Apakah Islam menganjurkan kita berpecah-belah dan menolak salam persahabatan. Kalau setakat berserban, berjubah, apakah itu kita percaya ia adalah lambang kehebatan Islam. Setahu saya, orang Arab berjubah ke mana-mana. Hatta menonton konsert dan menyaksikan perlawanan bola sepak pun, mereka berjubah dan berserban. Apakah hanya pakaian menjadi penilaian muktamad keislaman seseorang atau ia adalah jaminan ke syurga Allah?.

Jika dengan orang UMNO yang mengucap dua kalimah syahadah dan menunaikan Rukun Islam kita buat musuh tetapi pada masa yang sama kita boleh berpeluk dengan manusia kafir laknat yang terang-terang menentang Islam, apakah itu ajaran Islam?. Inilah masalahnya apabila kita sentiasa politikkan Islam untuk kepentingan diri dengan berasaskan cara berfikiran yang jumud. Kadangkala, oleh kerana kita merasakan kita ini hebat, kita terlupa kepada Rukun Iman yang keenam. Maka, oleh kerana itulah apabila ssuatu perkara itu menyebelahi kita, kita akan kata bahawa itulah keadilan tetapi jika sebaliknya, maka pelbagai tuduhan dibuat termasuk konspirasi atau sebagainya.

Bila kita menang dalam pilihan raya, maka itu malaikat tolong kita tetapi bila kita kalah, maka kata kita, itu kerja pengundi hantu. Ya Allah, jauhkan aku dan keturunanku dari orang-orang munafik sebegini.

PLKN DAN SAMSENG JALANAN

Assalamualaikum…

Isu mengenai samseng jalanan nampak semakin menarik perhatian umum. Memandangkan mereka ini dikaitkan sebagai golongan pewaris masa depan negara, maka isu mengenai mereka akan lebih sensetif untuk diperkatakan. Rata-rata hari ini, saya berani menyatakan bahawa kita bagaikan masih menemui jalan buntu bagi menyelesaikan masalah tersebut. Samseng jalanan, yang dulunya digelar sebagai Mat Rempit ini tidak boleh diibaratkan sampah masyarakat kerana jika itulah persepsi atau tindakan kita terhadap mereka, maka ia akan menggandakan lagi masalah yang sedia ada.

Justeru, sukacita jika saya boleh mencadangkan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar mempertimbangkan satu kaedah bagi membolehkan samseng jalanan ini menjalani atau menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai salah satu usaha bagi menangani masalah yang semakin serius berkaitan golongan berkenaan. Justeru, saya selaku Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyangkal dakwaan Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) yang menyatakan bahawa PLKN bukannya sebuah pusat pemulihan dan tidak sesuai kepada samseng jalanan.

Bagi saya, bukan semua samseng jalanan terlibat dengan aktiviti jenayah seperti bunuh, ragut dan sebagainya tetapi GPMS percaya jika mereka ini dibiarkan, ia akan mendedahkan mereka kepada masalah berkaitan. Berasaskan kepada kajian rambang GPMS, sebahagian besar samseng jalanan khasnya yang masih bersekolah terlibat dengan aktiviti berkenaan hanya sekadar suka-suka dan terpengaruh dengan rakan sebaya.

Justeru itu, GPMS yakin bahawa jika mereka dikenakan hukuman menyertai PLKN, budaya ini akan dapat dibendung. Malah saya percaya bahawa mereka ini akan lebih terbentuk akhlak, jati diri dan sahsiah mereka apabila diberian peluang menyertai PLKN ini. GPMS bersetuju dengan moto JLKN: Perubahan Mereka Tanggungjawab Bersama yang memberikan maksud bahawa setiap ahli masyarakat bertanggungjawab untuk mengubah sikap generasi muda termasuk JLKN.

Hakikatnya, samseng jalanan ini hanyalah satu gelaran yang dicipta bagi menggambarkan betapa buruknya tabiat lumba haram dan merempit ini. Ia tidaklah mencerminkan sikap sebenarnya sebahagian besar golongan berkenaan kerana tidak semua yang dianggap ganas di jalan raya. Seperti yang disebut tadi, ada yang mahu suka-suka sahaja. Tidak lebih daripada itu. Saya berharap, pandangan ini akan diberikan perhatian.

Saya percaya kepada keberanian. Jika kita berani melakukan pembaharuan dan perubahan, hasilnya pasti tidak akan mengecewakan. Itulah harapan saya dan anda semua kepada generasi muda yang terjebak dengan aktiviti samseng jalanan ini.