Khamis, 17 September 2009

MB LAWAT AKADEMI KEPIMPINAN GPMS

Mengiringi YAB Dato' Ahmad Said meninjau projek pembinaan Akademi Kepimpinan GPMS

YAB Dato' Ahmad Said melihat salah satu ruang asrama yang telah disiapkan

Kompleks Akademi Kepimpinan GPMS yang tersergam indah

Mendengar taklimat daripada pegawai JKR

Salam bloger,

Dalam kesibukan tugas mentadbir negeri, Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Ahmad Said baru-baru telah berkesempatan mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Akademi Kepimpinan GPMS Terengganu yang terletak di Mukim Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Saya telah diminta oleh Pengerusi GPMS Terengganu, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri untuk mengiringi dan memberikan taklimat kepada Menteri Besar kerana beliau (YB Dato’ Mohd Nasir) terpaksa menghadiri kursus di Kuala Lumpur. Di sepanjang lebih sejam lawatan tersebut, beberapa teguran secara umum telah dibuat kepada kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Antara lain, beliau mengingatkan kontraktor agar lebih bertanggungjawab dan melaksanakan kerja-kerja pembinaan bukan hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Pihak JKR juga diingatkan agar mempertingkatkan pemantauan dan sentiasa turun padang serta memperbetulkan secara serta merta setiap ketidaksempurnaan pembinaan projek itu.

Walau bagaimanapun beliau memuji kontraktor yang terlibat dengan pembinaan Akademi Kepimpinan GPMS yang telah menyiapkan kerja-kerja itu lebih awal dari tempoh yang diberikan. Akedemi bernilai RM8.1 juta itu menempatkan dua blok asrama (300 orang), Dewan Besar (500 orang), blok pentadbiran dan dewan makan.

Pihak GPMS Terengganu menjangkakan, akademi ini bakal beroperasi sepenuhnya awal tahun depan yang bakal diurus tadbir oleh Koperasi Warisan GPMS Terengganu Berhad. Walau bagaimanapun GPMS masih mengharapkan tambahan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi tujuan menyempurnakan projek tersebut seperti perabot, menaiktaraf pagar dan padang kawat.

Sesungguhnya di sepanjang lawatan tersebut dapat saya simpulkan mengenai kecaknaan Menteri Besar yang begitu teliti dengan pembinaan yang telah dilaksanakan. Saya yakin dan percaya jika semua pemimpin turun padang, dan cakna setiap pelaksanaan projek di kawasan masing-masing, sudah tentu cerita pahat menari-nari selepas projek siap tidak mungkin terjadi. Begitu juga dengan cerita bumbung runtuh, atap bocor dan lantai retak juga tidak mungkin kedengaran.

Terima kasih YAB Dato’ Ahmad Said di atas kesudian itu. GPMS Terengganu amat menjunjung kasih mengenainya.