Khamis, 30 Oktober 2008

ISU MORAL, TERNAK ANAK DAN USAHA KITA

Pelajar adalah pewaris kecemerlangan bangsa dan negara. Apakah usaha kita dalam memartabatkan mereka sudah memadai?.


Apa sudah jadi dengan pelajar kita?. Itu yang sering bermain di fikiran saya bila memikirkan pelbagai isu-isu moral yang berkaitan dengan golongan berkenaan hari ini. Minggu lalu misalnya, kita dikejutkan dengan kisah seorang pelajar perempuan tingkatan dua di Perlis yang tergamak menendang gurunya sendiri kerana semata-mata guru itu membuat teguran kepadanya yang menulis perkataan kesat dalam laporan kerja kursus. Demikianlah kurang ajar dan biadabnya pelajar tersebut. Selepas disiasat, tindakan memecat pelajar terbabit diputuskan. Baguslah.

Manakala pada 19 Oktober lalu, kisah pelajar yang terlibat dalam rakaman klip video dengan aksi-aksi lucah dan menakjubkan pula terbongkar. Kononnya ia adalah hasil pembangunan globalisasi. Masyarakat modenlah katakan, itulah lagaknya sampai sanggup lupa harga diri dan maruah. Apa nak jadi!. Sebagai reaksi kepada isu-isu berkaitan, Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Haji Razali Ismail dipetik sebagai berkata, bahawa peratus salah laku pelajar dalam tempoh sepuluh bulan tahun ini “hanyalah” 2.08 peratus daripada 5.8 juta pelajar. Angka tersebut masih dianggap rendah dan tidak meningkat berbanding statistik yang dicatatkan tahun lalu lalu. Tapi kalau dibuat perkiraan, 2.08 peratus daripada 5.8 juta pelajar, jumlah yang merosot nilai moral dan hodoh perangainya tentunya berjumlah ribuan orang. Apakah ia kecil?. Saya tidak fikir begitu.

Walaupun mungkin kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran itu benar, namun isu yang peratusannya adalah kecil tetapi kesan negatifnya sangat tersebar, maka ia tidak boleh dipandang mudah. Bagi saya, ia bukan isu remeh walaupun mungkin dalam keadaan terpencil. Nilai moral golongan pelajar tidak boleh dipandang mudah meski pun ia melibatkan seorang pelajar. Ironinya apa yang saya sebutkan itu, setiap peristiwa yang negatif selalu dijadikan “panduan” atau “perhatian”. Jika tidak dibendung, ia akan menyebabkan persepsi kita terhadap isu sebenar akan tersasar jauh, seolah-olah majoriti pelajar kita yang terlibat. Jadi suka tidak suka, kita kena tanganinya.

Soalnya, di manakah peranan kita sebagai anggota masyarakat terhadap isu seperti itu?. Adakah oleh kerana ia bukan melibatkan anak kita, maka apalah yang perlu kita pedulikan. Adakah wajar begitu?. Atau adakah, masalah orang, biarlah orang itu yang tanggung dan selesaikan, maka kita menjadi pemerhati yang hilang sensetivitinya?. Sampai bila kita hendak menjadi masyarakat yang sebegini?. Anak bukan seperti haiwan yang kita ternak. Diberi makan dan minum secukup sekadar untuk hidup tetapi soal kehidupan, kita berikannya kebebasan yang mutlak. Saya bukan terlalu sinis tetapi hakikatnya ramai di kalangan ibu bapa hari ini bersifat menternak anak. Walaupun mungkin tidaklah semua tetapi ramai juga begitu. Apa tidaknya, soal moral dan disiplin anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada guru di sekolah. Ibu bapa buat apa?.

Percayalah, sama ada yang terlibat dengan gejala seperti itu adalah anak kita atau tidak, jika kita tidak bertindak dengan bijak dalam menanganinya, ia bakal mengundang satu ancaman besar kepada negara dan masyarakat. Kita tidak ada pilihan selain bangkit memperkasakan pembangunan modal insan di kalangan anak-anak dan golongan pelajar yang menjadi anggota masyarakat. Mereka adalah sebahagian daripada kita.

Kita kena mulakan. Hanya itu pilihan yang ada. Ingat, setiap langkah itu bermula dari yang pertama dan setiap yang banyak akan bermula daripada yang sedikit. Oleh itu, saya mengemukakan cadangan berikut untuk penelitian serta pertimbangan Kementerian Pelajaran:

1. TAMBAHLAH JUMLAH GURU KAUNSELING DI SEKOLAH TU…. TAK CUKUP SEKADAR 1 : 500 PELAJAR SAHAJA.


2. BINALAH SEKOLAH KHAS BAGI MENGUMPULKAN MEREKA YANG BERMASALAH BUKAN TAHAP KES-KES JUVANA SEPERTI CERITA DI ATAS ATAU SAMA DENGAN KES TERSEBUT, JANGAN BILA DISINGGIR, MERAYU, … LULUS DAN HANTAR KE SEKOLAH HARIAN BIASA LAIN. IA TIDAK MENYELESAIKAN MASALAH YANG ADA.

Bagi saya, jika Sekolah Elit, Sekolah Kluster boleh dibina, mengapa sekolah sebegitu tidak boleh dibina. Apa lagi alasannya!. Kita tidak boleh mengambil keputusan yang terlewat. Saya bimbang kita tidak mempunyai ruang waktu yang cukup untuk memperbetulkan keadaan jika kelewatan bertindak berlaku. Jangan kita fikir bahawa isu ini hanya bersifat peribadi. Ia adalah anak-anak masyarakat kita, pewaris masa depan negara dan bakal mencorakkan dunia akan datang.


Fikirkanlah apa yang saya catatkan hari ini.