Ahad, 24 Januari 2010

KELANTAN OH NIK AZIZ

Assalamualaikum…

Sudah agak lama saya tidak update blog saya ini. Ramai yang tertanya-tanya mengenainya. Namun apakan daya, saya bukanlah seorang penulis tersohor yang mudah idea menjengah di fikiran. Bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang sentiasa menjengah blog saya ini.


Sepastinya, selepas ini saya akan kembali menulis di sini, untuk tatapan anda dan kita semua.


Hari ini saya tertarik untuk memperkatakan mengenai apa yang sedang berlaku di Kelantan. Khabarnya, MB Kelantan yang sering mengeluarkan kenyataan berbelit-belit, Datuk Nik Aziz Nik Mat menolak tawaran untuk kerajaan negeri terlibat sama dalam Jawatankuasa Wang Ehsan yang diwujudkan Kerajaan Pusat.


Pada saya, terdapat banyak perkara yang mesti diberikan perhatian. Pertama, walaupun kerajaan Nik Aziz mendakwa Kerajaan Kelantan berhak menerima royalti petroleum, namun perkara tersebut sebenarnya belum lagi jelas. Tiada fakta, tiada dokumen yang mengesahkannya. Dan, sehingga kini Kerajaan Kelantan masih belum menfailkan saman terhadap Kerajaan Pusat mengenai perkara itu.


Keduanya, apa dosa “wang ehsan” sehingga kerajaan negeri menolak daripada duduk dalam jawatankuasa yang diwujudkan untuk rakyat Kelantan itu. Bagi saya, sebagai rakyat Terengganu yang pernah menerima wang Ehsan, ia bukanlah sesuatu yang merugikan jika ia tidak digelarkan royalti. Malah, melalui wang ehsan, wang tersebut diberikan terus kepada rakyat di bawah.


Sehingga ke hari ini, rakyat Terengganu masih menikmati faedah tersebut. Secara logiknya, kalaulah wang tersebut disalurkan sebagaimana yang dikehendaki, maka rakyat tidak akan menerima sebagaimana yang mereka terima melalui wang ehsan. Itulah hakikatnya. Dan, jika kerajaan Kelantan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik, maka tidak ada sebab mengapa mereka menolak daripada menduduki jawatankuasa tersebut.


Reaksi keras daripada Nik Aziz mengenai perkara tersebut tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya, ia adalah berasaskan kepada emosi dan meminggirkan kepentingan rakyat Kelantan sendiri. Pas memerintah Kelantan selama hampir 20 tahun. Persoalannya, sejauh manakah kejayaannya. Dan, jika ditanya kepada saya, saya berani menyatakan kerajaan Kelantan sebenarnya gagal membela nasib rakyat di negeri itu, apatah lagi menyediakan pembangunan.


Bukan niat untuk menjaga tepi kain orang tetapi ini adalah isu moral yang melibatkan kepentingan rakyat. Oleh itu, rakyat mesti bijak dalam menangani keadaan ini. Apa pun, saya percaya bahawa rakyat Kelantan kini lebih bijak menilai. Sampai masanya, mereka akan menyatakan pendirian politik mereka dengan bijak dan saksama.


Bukankah apa yang selama ini diludahkan Pas ke langit sudah terpalit ke muka sendiri?.