Rabu, 8 April 2009

ACEH PASCA TSUNAMI ... SATU PERTEMUAN SEMULA

Assalamualaikum dan salam bloger ...

Setelah agak lama tidak mengisi bahan di laman blog ini kerana pelbagai faktor termasuk kesibukan tugas dan urusan yang berkaitan, saya perlu memohon maaf kepada anda semua kerana terpaksa menatap bahan yang sama dalam tempoh yang sama. Justeru, mulai hari ini, saya akan kembali kemas kini laman ini untuk tatapan anda.

Dalam tempoh tiga bulan yang lalu, saya tidak sempat menulis di ruangan ini memandangkan iklim politik tanahair yang agak tidak menentu. Dalam tempoh itu, berlakunya pilihan raya kecil di Kuala Terengganu, Perak, Sarawak dan Kedah serta proses peralihan kuasa di dalam UMNO dan kerajaan BN. Sebagai rakyat dan pemimpin kecil masyarakat, saya perlu memberikan tumpuan terhadap perkembangan tersebut.

Saya sedar bahawa anda sentiasa melayari laman ini dan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada anda di atas ulasan yang telah diberikan, sama ada yang boleh saya terbitkan atau sebaliknya.

Dalam tulisan terbaru ini, saya catatkan sedikit pengalaman ketika berkunjung ke bumi Serambi Mekah, Aceh, Indonesia di bawah Program Aceh Pasca Tsunami yang dianjurkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Melihat keadaan selepas tsunami di Aceh, walaupun sudah lebih empat tahun berlalu, ia masih meninggalkan kesan yang menginsafkan. Kemusnahan dan kesan tsunami serta pelbagai kisah yang ditinggalkan selepas tragedi itu amatlah menuntut kita semua bersyukur. Memang Aceh sudah berubah tetapi kesan yang ada tetap menyentuh perasaan saya.

Saya amat terpanggil untuk berkongsi dengan anda betapa sebenarnya sengketa tidak akan membawa kita ke mana-mana. Apa yang saya saksikan di sana menginsafkan saya betapa kita mesti bersatu dalam banyak perkara. Ketika saya cuba membandingkan dengan apa yang ada di negara kita, perbezaan ideologi atau fahaman politik di kalangan kita haruslah diurus dengan bijaksana agar ia tidak mendedahkan kita kepada kerugian. Di Aceh, mereka tidak seperti kita. Kebetulan ketika saya tiba di Aceh, terdapat berpuluh poster atau billboard pilihan raya kian rancak dipasang memandangkan proses pilihan raya umum (Pemilu) Indonesia akan berlangsung. Istimewanya, mereka mempunyai lebih 40 parti politik yang bertanding tetapi cara berkempen mereka tidak menyakiti, mencerca, menghina dan mengaibkan lawan mereka dan prosesnya berlangsung dalam keadaan yang sangat harmoni.

Anda lihatlah gambar-gambar yang sempat saya rakamkan ketika di Aceh. Bagi saya, ia mungkin boleh menjadi renungan untuk kita bersama dalam mencari kebaikan dan membangkitkan rasa keinsafan. Pengalaman yang singkat di Aceh menyedarkan saya betapa kita sebenarnya adalah manusia kerdil yang tidak ke mana. Maka, bersatulah kita dalam menghadapi apa sahaja peristiwa walaupun kita berbeza ideologi.
BERTANYA KHABAR ... Bersama pelajar Malaysia di Univesitas Syiah Kuala di Aceh

Bersama anak-anak yatim tsunami di salah sebuah sekolah di Desa Lampulo
NILAI PERTEMUAN ... Bersama penjaga Makam Sheikh Abdurrauf bin Ali Al Fansuri Assingkili

KENANGAN ... Makam Sheikh Abdurrauf Ali Alfansuri Assingkili


TANDA... Kuburan Massal (Taman Makam Syuhada Korban Tsunami) yang menghimpunkan mangsa tsunami yang dikebumikan di dalam satu liang lahad.

MASIH ADA ... Kapal Elektrik kuasa air yang dihanyutkan ke darat kira-kira sejauh 2 km dalam kejadian tsunami pada Dis 2004

Lagi gambar Makam Taman Syuhada Korban Tsunami

Makam Sheikh Abdurrauf Ali Alfansuri Assingkili (Syiah Kuala) berusia 324 tahun. Makam ini tidak terjejas oleh tsunami kerana difahamkan ketika itu, air laut hanya melalui kawasan atas dan keliling makam ini sehingga satu biji batu pun tidak terjejas sedangkan di sekelilingnya bagaikan padang jarak, padang tekukur.

Kapal Tsunami Lampulo dihanyutkan oleh kejadian tsunami pada Disember 2004 dan tersangkut di atas bumbung rumah. Kapal ini telah menyelamatkan 59 orang daripada menjadi korban tsunami. Kapal ini terletak di Desa Lampulo Kecamatan Kuta Alam, Kota Banda Aceh.