Selasa, 9 Jun 2009

DARI RAKYAT KEPADA RAKYAT

Salam bloger …

BI Subjek Wajib Lulus SPM. Itu tajuk beberapa media utama tanahair. Maka sekali lagi, ia mencetuskan perbahasan hebat dan hangat di kalangan masyarakat dan warga pendidik di negara ini. Cuma, kali ini ia agak berbeza kerana kaedah idea serta pandangan itu dilontarkan Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat menarik. Saya percaya, sejajar dengan Gagasan Satu Malaysia, maka kaedah mendapat pandangan akar umbi mengenai setiap cadangan yang hendak dilaksanakan adalah antara tindakan berani yang sangat besar faedah dan impaknya.

Nampaknya, TS Muhyiddin telah menggunakan kaedah mendengar pandangan rakyat sebelum melaksanakan sesuatu perubahan. Tahniah saya ucapkan kepada beliau di atas satu inisiatif yang saya anggap agak luar biasa dan baharu. Bagi saya, inilah yang patut dibuat. Membina modal insan tidaklah semudah membina istana pasir yang boleh dibina pada bila-bila masa dan diruntuhkan pada bila-bila masa.

Saya selalu menekankan betapa perubahan memerlukan kajian yang mencukupi dan teliti, di mana tidak sewajarnya berpaksikan kepada mencari populariti semata-mata. Kali ini, lontaran idea untuk mewajibkan lulus Bahasa Inggeris kepada calon SPM. Saya bersetuju dengan cadangan tersebut berasaskan kepada beberapa faktor yang terlebih dahulu dipertimbangkan sebelum ia dilaksanakan.

Pertama, mansuhkan terlebih dahulu PPSMI

Kedua, perlu dibuat rombakan sukatan pelajaran sekarang dengan mengambil kira keperluan pelajar-pelajar kawasan luar dan pinggir bandar.

Ketiga, jumlah minit pengajaran dan pembelajaran (P & P) sekarang perlu ditambah sekurang-kurangnya sekali ganda.

Keempat, jumlah guru Bahasa Inggeris perlu mencukupi khususnya di kawasan luar bandar dan jangan sekadar mengambil guru yang tahu berbahasa Inggeris mengajar, tetapi guru tersebut mestilah mereka yang telah dilatih untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris.

Kelima, laksanakan dalam bentuk percubaan dan jangan terlalu tergesa-gesa sebagaimana PPSMI. Perlu ada pengajaran daripada contoh atau model di kawasan bandar, pinggir bandar dan pedalaman sebagai perbandingan bagi mencari kelemahan dan kekuatan sebelum ia dilaksanakan.

Rata-ratanya saya gembira dengan kaedah yang dicetuskan. Pembelajaran adalah hak rakyat dan berkaitan dengan rakyat. Maka sememangnya amat elok jika perbincangan serta rumusan dibuat oleh rakyat. Suara rakyat adalah suara keramat. Mereka bukan sahaja penting dalam pembentukan kerajaan tetapi suara mereka juga keramat dalam membantu kerajaan.

Saya percaya, rakyat juga gembira kerana suara mereka mahu didengari kerajaan. Cuma, reaksi atau maklum balas yang bakal diberikan biarlah berasas dan tidak bersifat menangguk di air yang keruh. Kerajaan telah memberikan peluang kepada kita dan gunakanlah peluang tersebut untuk menyatakan mengenai apakah yang kita mahukan asalkan ia berasaskan kepada kebaikan dan keikhlasan demi negara dan generasi kita.

PAS TELUR SIAPA?

Assalamualaikum

Nampaknya, isu-isu yang dibangkitkan pada Muktamar Pas tempohari masih belum reda. Ia masih menjadi bahan perbahasan banyak pihak terutamanya mengenai cadangan mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang dicetuskan Presiden Pas, DS Abdul Hadi Awang. Sebelum muktamar, perkara itu telah mencetuskan isu yang amat hangat sehingga DS Abdul Hadi dikatakan terpaksa berkunjung ke Kota Bharu untuk menjelaskan keadaan sebenar kepada TG Datuk Nik Aziz Nik Mat. Dan, dalam proses pencalonan bagi pertandingan jawatan penting dalam Pas tempohari, saya terbaca kenyataan DS Abdul Hadi yang menarik balik cadangan tersebut.

Pun begitu, perkara tersebut bergema lagi. DS Abdul Hadi selepas menang tanpa bertanding membuka semula isu berkenaan sehingga ia mencetuskan polemik yang hangat. Paling menarik perhatian saya ialah penolakan secara keras daripada TG Datuk Nik Aziz terhadap gagasan Kerajaan Perpaduan yang dihidupkan kembali DS Abdul Hadi. Terkedu saya seketika apabila mendengar TG Datuk Nik Aziz mendakwa kononnya UMNO adalah telur penjajah dan kerana itu tidak perlu ada usaha untuk berpadu dengan parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu. Sungguh hina rupanya di mata TG Datuk Nik Aziz mengenai UMNO. Entah apa sebabnya, saya sendiri pun tidak faham. Mungkin beliau sudah mula dihinggapi penyakit nyanyuk politik barangkali.

Yang saya pelik dan tak mampu nak jawab, kalau dengan UMNO dianggap telur penjajah, Pas pula dari telur siapa?. Dengan DAP yang terang-terang dan terbuka dengan lantangnya menentang perjuangan menubuhkan negara Islam oleh Pas tidak pula dipandang hina oleh TG Datuk Nik Aziz. Mungkin juga cita-cita menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud sudah terbukur atau mula luput di hati puak dan juak Pas. Maklumlah mereka sudah memiliki banyak kuasa dan kedudukan.

Dewan Muslimat Pas pula berkata, Pas mampu bergerak sendiri dan tidak perlu menjadi kuda tunggangan UMNO. Wah, hebat dan angkuhnya kenyataan wanita bertudung labuh ini. Sebenarnya Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas itu masih bermimpi dan berada dalam igauan yang jauh. Apa tidaknya, dia berkata Pas tidak perlu menjadi kuda tunggangan UMNO tetapi pada masa yang sama, Pas sedang diperkudakan oleh DAP dan PKR. Kalaulah, Pas itu mampu berdiri sendiri, buat apa pula mereka masih kekal mempertahankan PKR dan DAP walaupun terpaksa melacurkan prinsip perjuangan Islam mereka selama ini?.

DS Abdul Hadi pula berkata, Pas tidak akan menutup pintu untuk mencari titik perpaduan demi rakyat dan negara. Datuk Haron Din pula menjelaskan bahawa ahli Pas mesti akur dan patuh kepada ketua sambil memetik sumber-sumber agama sebagai rujukan bagi memperkukuhkan kenyataan beliau. Bercelaru. Itu yang boleh saya rumuskan.

Namun, bagi saya, itulah Pas. DS Abdul Hadi mungkin telah melihat mengenai “krisis politik” Malaysia yang ketara dan beliau sendiri mungkin mula melihat sejauh manakah Pas mampu bergerak di dalam Pakatan Pembangkang berbanding jika Pas berbaik dengan UMNO. Jika dinilai dengan jujur, PKR, DAP dan UMNO, ramai yang bersetuju Pas pasti lebih baik jika bersama UMNO.

Sekarang ini saya lihat, ramai yang pening dengan isu atau polemik yang sedang berlaku. Maka, elok juga Dewan Ulama Pas pula memberikan reaksi dan menyatakan pendirian mereka mengenai isu ini. Saya pun, nak dengar juga suara mereka.

Fikirkanlah bersama terhadap apa yang saya catatkan hari ini.