Khamis, 31 Disember 2009

2010: Bersama Menggapai Harapan

ALHAMDULILLAH, tahun 2009 telah pun melabuhkan tirainya. Kini tibanya 2010 yang menandakan bertambahnya usia kita yang juga semakin mendekatkan kita dengan alam kubur. Namun demikian sudah pasti setiap daripada kita akan mempunyai perancangan dan strategi tersendiri untuk pastikan 2010 lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Sesungguhnya tahun 2009 telah banyak mencatatkan sejarah yang tersendiri. sama ada kisah suka mahupun duka. Marilah kita bermuhasabah sejenak meneliti sejarah 2009 untuk kita jadikan panduan dan iktibar agar kita terus menongkah arus perdana 2010 yang sudah pasti lebih hebat dan mencabar.

Kemalangan bas ekspres di Ipoh yang meragut 10 nyawa telah menimbulkan pelbagai ulasan dan pandangan yang semuanya menunding kepada kesilapan pemandu serta penggunaan bas bertingkat yang dikatakan tidak sesuai dengan sistem jalan raya di negara ini.

Namun tanpa kita sedar, faktor penggunaan penghadang besi juga menyumbang kepada kemalangan jiwa tersebut. Pada akal manusia, jika penghadang besi tersebut tidak tercabut dan menusuk masuk dalam bas, sudah pasti tiada nyawa yng hilang. Justeru itu, satu kajian teliti perlu dibuat mengenai apakah pemasangan besi tersebut sesuai atau sebaliknya.

Kemungkinan kedua yang juga boleh difikirkan adalah dengan menaikkan gaji pemandu bas agar pemandu tidak menjalankan kerja sampingan yang sudah pasti akan memberikan banyak waktu untuk mereka berehat, dan bukannya menamatkan perkhidmatan bas pada waktu malam.

Isu PPSMI telah diselesaikan secara bijaksana oleh kerajaan setelah dibuat kajian terperinci di samping mengambil kira pandangan semua peringkat bukannya akur dengan demostrasi jalanan yang kononnya mewakili suara rakyat. Inilah sebenarnya sebuah kerajaan yang mendahulukan aspirasi rakyat yang harus didahulukan.

Cumanya saya masih tertanya-tanya … apakah setelah perjuangan memasuhkan PPSMI selesai bermakna perjuangan kita memartabatkan bahasa kebangsaan juga telah tamat? Apakah peranan kita kini di dalam memastikan bahasa kita benar-benar dimartabatkan sebagaimana perlembagaan negara? Apakah pemimpin kita benar-benar meletakkan bahasa di tempat yang sepatutnya dan apakah media arus perdana telah mengambil kira peranan bahasa kita sebelum menyiarkan sebarang bahan untuk halwa telinga dan mata kita?

Isu penderhakaan kepada institusi raja telah mewarnai tahun 2009 yang amat memalukan bangsa dan agama kita yang maha suci. Mengapa kita sanggup menggadaikan maruah demi kepentingan politik sempit kita? Mengapa kita sanggup mengikut alunan rentak mereka menanamkan benci kesumat kepada institusi diraja yang selama ini kita pertahankan? Apakah kita telah lupa bagaimana British menginjak-injak kepala Raja-raja Melayu dengan gagasan Malayan Union dulu? Apakah kini kita sudah bersedia untuk merepublikkan negara kita kerana kita rasakan Raja-raja Melayu telah dilayak dijadikan tempat kita bernaung? Dan apakah akhirnya kita mahu menjadi Melayu Singapura yang semakin jauh jati diri bangsa akibat sistem pemerintahan kerajaannya?

Semoga dengan semangat Tahun 2010 ini, kita mampu bermuhasabah dengan mencari titik persamaan demi kelangsungan survival agama dan bangsa. Usahlah kita terus perdebatkan titik perbezaan di antara kita kerana ia tidak akan membuahkan apa-apa hasil yang menguntungkan masa depan anak cucu kita. Dan marilah kita memperbaharui iltizam untuk tidak berterusan bercakaran sesama sendiri hanya kerana ingin mempertahankan ideologi serta agenda politik sempit yang sudah pasti tiada noktahnya.

Marilah kita terus memandang ke hadapan tanpa mempolitikkan semua kejadian yang berlaku dengan menyalahkan kerajaan tanpa kita insaf segalanya telah ditentukan oleh Allah swt agar kita sentiasa bersyukur di atas apa sahaja yang dikurniakan-Nya di samping memperbaiki segala kelemahan kita selaku hamba-Nya.

Rabu, 23 Disember 2009

Aminuddin Baki Dalam Kenangan (26 Januari 1926 - 24 Disember 1965)



Tiada miskin seorang pelajar kerana sedikit harta dan keluarga

Tetapi miskin seorang pelajar kerana sedikit ilmu dan amal

Tiada kaya seorang hartawan kerana banyak harta dan keluarga

Tetapi kaya seorang hartawan kerana banyak ilmu dan amal

- Allahyarham Aminuddin Baki


Kira-kira 44 tahun yang lepas, tanggal 24 Disember 1965 bersamaan 1 Ramadhan 1385 Hijrah mereka yang cintakan pendidikan khasnya warga pendidik Melayu telah diselubungi kesedihan yang amat kerana perginya seorang pejuang pendidikan Melayu, Aminuddin Baki mengadap Ilahi dalam usia yang cukup muda iaitu 39 tahun selepas menunaikan sembahyang Asar di rumahnya.



Sesungguhnya pemergian Allahyarham Aminudin Baki merupakan satu kehilangan besar kepada bangsa Melayu kerana beliau merupakan seorang tokoh pendidik yang sentiasa meletakkan kepentingan memperjuangkan kecemerlangan pelajar Melayu melebihi segalanya. Ke mana sahaja beliau pergi , di mana sahaja beliau berucap, kecemerlangan dan potensi pelajar Melayulah yang sentiasa ditekankan.



Kebimbangan dan kerisauan beliau tentang masa depan bangsa Melayu sentiasa terungkap. Di antaranya : ‘ Jangan suatu hati nanti ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan. Alah sabung menang sorak, ayam menang kampung tergadai “


Beliau dilahirkan pada 26 Januari 1926 di Kampung Batu Sembilan, salah sebuah perkampungan Mandailing di Chemor, Perak Darul Ridzuan. Sebagaimana yang kita tahu, Chemor merupakan sebuah desa yang kekurangan segalanya, terletak dalam daerah Kinta, Perak tetapi mampu menjadi kebanggaan masyarakat Chemor kerana di situlah lahirnya sebutir permata, Akitek Pendidikan Moden yang tiada penggantinya sehingga hari ini. Kita seharusnya berbangga kerana beliau sebenarnya telah memulakan anjakan paradigma dan merubah minda masyarakat Melayu dengan meletakkan ketinggian ilmu sebagai teras utama untuk mencipta masyarakat terbilang.

Komitmen beliau terhadap kecemerlangan pendidikan Melayu mula terserlah sejak beliau menuntut lagi. Semasa beliau menuntut di Singapura beliau bersama-sama rakan-rakan yang lain telah membuka kelas bahasa Inggeris pada sebelah petang untuk mengajar anak-anak Melayu Singapura di beberapa buah sekolah seperti Sekolah Telok Kurau dan Sekolah Tanglin Tinggi. Kelas tersebut telah dilaksanakan secara serentak di sekolah-sekolah berkenaan dengan bantuan beberapa orang rakannya. Program tersebut diteruskan sehingga beliau tamat pengajian di Singapura pada 1951. Sekembalinya ke tanah air, perjuangan beliau untuk membina kecemerlangan pendidikan terus dipertingkatkan sehingga beliau akhirnya diberikan amanah untuk menjawat jawatan Ketua Penasihat Pelajaran pada tahun 1961 dalam usia 36 tahun.



Satu sifat Allahyarham yang mungkin jarang-jarang terdapat kepada sebilangan daripada kita apabila berjawatan tinggi adalah sifat merendah diri dan tidak bercakap sombong walaupun beliau menjawat jawatan tertinggi dalam sistem pendidikan negara ketika itu. Dengan wajah yang manis dan sentiasa mengukir senyuman serta anggukan kepala kepada sesiapa sahaja yang temuinya menyebabkan kehadirannya dirasai oleh masyarakat.



Beliau tidak pernah terasa rendah diri untuk turun padang mengamalkan konsep masyarakat diutamakan, bertemu dengan pegawai-pegawainya untuk berbincang dan mendapatkan pandangan mereka ke arah mempertingkatkan mutu pendidikan negara. Sikap beliau yang tidak pernah mengarah dan tidak pernah menunjukkan kuasa menyebabkan pegawai-pegawai bawahannya merasa selesa apabila berurusan dengan beliau. Begitu juga sikapnya yang tidak mengira masa dan tempat bekerja telah memberikan motivasi yang cukup tinggi kepada pegawai-pegawainya untuk bekerja dan berusaha meletakkan pendidikan sebagai teras keagungan sesebuah bangsa.



Sesungguhnya Aminudin Baki telah menghabiskan sebahagian besar kehidupannya dengan mengabdikan diri kepada kepada agama, nusa dan bangsa melalui usaha-usahanya meninggikan mutu dan darjat bangsa menerusi pendidikan. Perjuangan beliau dalam mempertingkatkan pendidikan ini bukan sahaja tertumpu kepada organisasi pendidikan formal yang diketuainya sahaja tetapi beliau juga telah menyumbangkan jasanya melalui organisasi pendidikan terbesar iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang penubuhannya telah dicetuskan oleh pemikiran beliau sendiri dengan tujuan untuk menyatukan kesemua badan-badan pelajar Melayu yang ada ketika itu (1948) dan bernaung di bawah satu badan yang dinamakan GPMS.



Sesungguhnya penubuhan GPMS pada Ogos 1948 ini oleh Aminudin Baki dan beberapa rakan-rakan beliau seperti Mohamad Noor Marahakim, Abdullah Majid, Wan Sulaiman Pa’wan Teh, Abdul Wahab Mohamed Ariff dan Siti Hasmah Mohd Ali telah membuka lembaran baru dalam perjuangan mempertingkatkan pendidikan Melayu, di mana matlamat perjuangan GPMS telah dimeterikan di dalam Mukadimah GPMS yang dilafazkan setiap masa yang di antara telah menyedarkan kita bahawa maju-mundur, kaya-miskin dan hina-mulianya bangsa itu di tangan kita selaras dengan ingatan Allah swt di dalam Al Quran yang menegaskan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa itu melainkan bangsa itu sendiri yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengubahnya.



Allahyarham Aminudin Baki cukup sinonim dengan perjuangan GPMS ini. Beliau sentiasa mengibarkan bendera ilmu untuk menyedarkan dan mengingatkan pelajar Melayu akan kepentingan menguasai ilmu. Semasa berada di dalam GPMS sama ada ketika memimpin atau menjadi ahli GPMS, Aminudin Baki sentiasa bergerak dan bertemu pelajar-pelajar Melayu di seluruh pelusuk bandar dan desa dengan menyampaikan suntikan motivasi ke arah melahirkan bangsa Melayu yang tinggi ilmunya. Beberapa siri ucapan beliau yang masih segar dan khasnya disebar-luaskan oleh GPMS sehingga hari ini kepada anak Melayu di seluruh pelusuk negara :



‘Kita baru mencapai pengayuh, orang sudah sampai ke seberang’ Al-Quran telah mengingatkan kita segala rezeki, nafkah kurniaan Tuhan itu tidak datang menggolek atau jatuh ke riba kalau kita tidak mengusahakannya.



Beliau juga di dalam Siri Gerakan Obor mulai 1964 sering menegaskan kepada pelajar-pelajar Melayu khasnya:

“Orang bertambah kaya, makmur hidupnya dan bertambah maju pelajarannya. Apakah kita akan terus menjadi pemerhati saja dan dengan bertambahnya jumlah kita tertinggal di belakang? Di zaman orang naik jet dan kapal angkasa, adakah kita akan terus berjalan kaki dan berkereta lembu? Relakah kita berdagang di tanah air kita sendiri?”



Aminudin Baki telah banyak menaburkan jasa kepada pendidikan negara khasnya untuk pelajar-prlajar Melayu. Sesungguhnya pembangunan sekolah menengah kebangsaan seluruh negara merupakan salah satu perjuangan beliau. Begitu juga peperiksaan-peperiksaan awam seperti LCE, OSC, dan MCE yang kini bertukar nama kepada SRP/PMR, SPM dan STPM adalah antara usaha Allahyarham Aminudin Baki memperbanyakkan anak-anak Melayu mencapai taraf pendidikan menengah tinggi.



Allahyarham bukan sahaja mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, bahkan semasa hayatnya sentiasa bertindak sebagai pengkritik masyarakat. Beliau mengakui tentang kemiskinan dan kemunduran orang Melayu di tanah air sendiri. Begitu juga beliau menyedari tentang kekurangan pelajar-pelajar Melayu yang berpendidikan tinggi. Keadaan sebegini menurutnya bukan sahaja berpunca dari dasar penjajahan atau penindasan golongan lain di negeri ini, tetapi yang lebih penting ialah sikap orang Melayu yang enggan menyesuaikan diri dan tidak berani merebut peluang bagi memaju dan mempertingkatkan kemajuan mereka.



Kini segalanya telah terpahat rapi dalam lipatan sejarah. Namun semangat gerakan obor perjuangan beliau tidak sekali-kali padam kerana ia akan terus disemarakkan oleh kita yang bergelar pejuang bangsa apatah lagi di dalam saat kita berhadapan arus globalisasi dan gelombang kebangkitan perdana pendidikan negara yang semakin mencabar ini.



Sedikit malang dan terharu, walau sudah 44 tahun meninggalkan kita dengan jasa yang terpahat dalam lipatan sejarah, namun tiada satu pengiktirafan khasnya daripada pihak kerajaan terhadap beliau. Kalau Allahyarham P. Ramlee yang banyak berjasa kepada seni budaya negara semasa hayatnya dianugerahkan darjah kebesaran, mengapa Aminudin Baki kita lupakan? Apakah jasa Aminudin Baki tidak setanding dengan P.Ramlee atau jasa Aminudin Baki hanya layak dijenamakan kepada Institut Aminudin Baki, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminudin Baki , Jalan Aminudin Baki, Yayasan Aminudin Baki dan Pusat Global Aminudin Baki, UPSI?

Pada pengamatan saya nama-nama tersebut dijenamakan oleh Kementerian Pelajaran dan agensi berkaitan sahaja tetapi penganugerahan darjah kebesaran merupakan pengiktirafan secara langsung kerajaan kepada beliau. Sesungguhnya beliau dan keluarganya tidak pernah mengharapkan penganugerahan tersebut tetapi saya fikir tidak keterlaluan jika kita memberikannya sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan beliau.



Sekalung tahniah dan penghargaan kepada GPMS Negeri Perak yang telah menubuhkan Galeri Aminudin Baki di Ipoh, Perak Darul Ridzuan kerana melalui galeri ini bukan sahaja sebagai penghargaan kepada Allahyarham tetapi lebih penting dari itu, generasi muda khasnya ahli-ahli GPMS akan sentiasa mengingati dan mengamalkan perjuangan suci beliau. Kini dengan penuh harapan kita menunggu pihak kerajaan mengumumkan penganugerahan darjah kebesaran di samping membina Memorial Aminudin Baki sebagai penghormatan di atas jasa pengorbanan beliau semasa hayatnya.



Allahyarham telah berjuang keras demi mengembalikan maruah bangsa dan telah meletakkan bangsa Melayu setanding dengan bangsa lain sehingga beliau dianggap sebagai “Bapa Pendidikan Moden Negara “. Namun demikian, apakah kita mampu melaksanakan amanah tersebut setahap apa yang telah beliau sumbangkan? Apakah kita hanya mampu terus mendodoikan lagu bangau oh bangau untuk meletakkan kelemahan diri sendiri ke bahu orang lain? Atau apakah kita ingin terus bercakaran sesama sendiri demi agenda politik sempit yang tiada noktah? Justeru itu, marilah kita bermuhasabah dan mencari titik persamaan demi kelangsungan survival agama dan bangsa. Usah kita perdebatkan titik perbezaan di antara kita kerana ia tidak akan membuahkan apa-apa hasil yang menguntungkan masa depan anak cucu kita.

Sudah sampai masanya kita kembali bertaut memperkasakan akal budi bagi melahirkan generasi ilmuan dengan tekad memperkukuhkan perjuangan ke arah mempastikan harapan dan impian Allahyarham Aminudin Baki yang ingin melihat bangsanya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain akan dapat direalisasikan.



Marilah kita menanamkan azam dan iltizam untuk mempertingkatkan kecemerlangan bangsa tanpa memperdulikan ideologi serta fahaman politik kerana yang lebih penting, kita perlu terus berjuang, kita perlu terus hidup dan kita perlu terus mempastikan agar kesucian Islam, maruah bangsa dan kedaulatan negara terus terpelihara. Jangan nanti kita seperti Pak Kadok – menang sorak kampung tergadai.



Kerana cintakan kami hidupmu rasa tersula,

Engkau tahu, dan engkaulah yang paling tahu,

Bahawa amatlah malang itik di air mati dahaga.

Kerana sayangkan kami resah hidupmu bagai tersalai,

Engkau tahu, dan engkaulah yang paling tahu,

Malang bangsamu, menang sorak kampung tergadai.

- Firdaus Abdullah : Pahlawan, Engkau Telah Pergi



SALAM PERJUANGAN dan AL FATIHAH UNTUK

ALLAHYARHAM AMINUDIN BAKI

Sabtu, 14 November 2009

KEBANGKITAN GELOMBANG KEDUA GPMS


GPMS AKAN MEMBUKA LEMBARAN BARU DALAM KEPIMPINAN SETELAH PEMIMPIN GPMS MASAKINI BERSETUJU UNTUK MENDAFTAR DI BAWAH AKTA BELIA DAN PEMBANGUNAN BELIA 2007. MELALUI PERSIDANGAN AGUNG GPMS PADA 20 HINGGA 22 NOVEMBER BERTEMPAT DI UITM SHAH ALAM NANTI, SEJARAH BARU GPMS YANG SAYA ISTILAHKAN SEBAGAI KEBANGKITAN GELOMBANG KEDUA GPMS AKAN TERCIPTA.

SEBAGAI SALAH SEORANG AKTIVIS GPMS SEJAK TAHUN 1984 TAHUN BERSAMA PERJUANGAN GPMS, SAYA INGIN MENITIPKAN PESANAN KEPADA PEMIMPIN MUDA GPMS, PESANAN YANG TELAH SAYA TERIMA DARIPADA PEMIMPIN GPMS TERDAHULU KETIKA SAYA BERGELAR GURKHA GPMS :

1. ASAS PENUBUHAN GPMS PADA 15 OGOS 1948 BUKAN BERTUJUAN SEBAGAI FLATFORM UNTUK MERAIH POPULARITI MAUPUN SEBAGAI JALAN PINTAS UNTUK MEMBINA MASA DEPAN INDIVIDU TETAPI IA ADALAH SEBAGAI WADAH UNTUK MEMASTIKAN PELAJAR-PELAJAR MELAYU TERUS DIBELA KHASNYA DALAM BIDANG PENDIDIKAN. JUSTERUS ITU HARAPAN YANG TINGGI SAYA LETAKKAN KEPADA KEPIMPINAN BARU GPMS AGAR TERUS MEMPERTAHANKAN AMANAH TERSEBUT DEMI KELANGSUNGAN SURVIVAL BANGSA TERCINTA

2. GPMS SEHARUSNYA TERUS MENJUARAI ISU BANGSA DAN SENTIASA MENJADI RUJUKAN PELBAGAI PIHAK KHASNYA BERKAITAN DENGAN PENGGUBALAN SESUATU DASAR YANG BERHUBUNGKAIT DENGAN MASA DEPAN BANGSA. APA SAHAJA YANG DILIHAT AKAN MENGGUGAT KEPENTINGAN BANGSA, KITA WAJIB PERTAHANKAN. NAMUN DEMIKIAN BIARLAH PENENTANGAN TERSEBUT SECARA BIJAKSANA, BUKANNYA EMOSIONAL DENGAN MENGGUNAKAN JALANAN SEBAGAI PENTAS MENYAMPAIKAN BANTAHAN.

3. KEHEBATAN DAN KEKUATAN GPMS BUKAN SEMATA-MATA DIUKUR KEPADA JUMLAH KEAHLIAN YANG RAMAI MAUPUN BILANGAN CAWANGAN YANG TUMBUH BAGAI CENDAWAN SELEPAS HUJAN TETAPI SEJAUH MANAKAH KEHADIRANNYA DIRASAI OLEH MASYARAKAT DAN BANGSA MELAYU DI PERINGKAT AKAR UMBI

4. GPMS PERLU TERUS MENJADI BADAN YANG INKLUSIF DAN SEBARANG USAHA UNTUK MENGEKSKLUSIFKAN GPMS HARUS DITENTANG. JUSTERU ITU PEMIMPIN-PEMIMPIN GPMS DIHARAP DAPAT MENGELAKKAN DIRI DARIPADA MEMBINA TEMBOK PEMISAH DI ANTARA AHLI DENGAN MELETAKKAN PROTOKOL SEBAGAI KEUTAMAAN.

5. SECARA IKHLAS, SAYA SEPERTI JUGA DATO’ SERI PRESIDEN GPMS TIDAK INGINKAN BERLAKUNYA PERTANDINGAN UNTUK JAWATAN PRESIDEN DAN TIMBALAN PRESIDEN, NAMUN DEMIKIAN JIKA PERTANDINGAN TIDAK DAPAT DIELAKKAN, BIARLAH IA DIJALANKAN DALAM SUASANA KEKELUARGAAN, YANG MENANG JANGAN MEMBUANG YANG KALAH DAN YANG KALAH JANGANLAH MENINGGALKAN PERJUANGAN SUCI INI.

6. SAYA YAKIN DAN PERCAYA SAMA ADA YANG MENANG MAUPUN KALAH SUDAH PASTI MEMPUNYAI PENGARUH DAN KEKUATAN TERSENDIRI YANG PERLU DIGEMBELINGKAN DEMI KELANGSUNGAN PERJUANGAN, APATAH LAGI UNTUK MEMASTIKAN KEBANGKITAN GELOMBANG KEDUA GPMS NANTI AKAN LEBIH HEBAT DAN SUBUR MENYERLAH.

7. PEMIMPIN GPMS BUKANLAH MEREKA YANG MENERIMA SESUATU BERITA TANPA USUL PERIKSA DAN TANPA MENYIASAT KESAHIHANNYA TERUS MENYEBARLUASKAN BERITA TERSEBUT. JANGAN NANTI GPMS AKAN BERPECAH-BELAH KERANA KITA MEMPUNYAI PEMIMPIN YANG BERSIFAT SEDEMIKIAN. TAPISLAH, SIASATLAH DAN CARILAH KEBENARAN BERITA TERSEBUT SEBELUM KITA MENERIMANYA.

8. PEMIMPIN GPMS JUGA ADALAH PEMIMPIN YANG AMANAH, BILA DIBERI TANGGUNGJAWAB IA AKAN DITUNAIKAN SEDAYA TERMAMPU DAN BILA BERJANJI DIA PASTI AKAN MENUNAIKANNYA. JUGA PEMIMPIN GPMS AKAN SENTIASA MELETAKKAN KEPENTINGAN GPMS MELEBIHI KEUNTUNGAN PERIBADI DAN SEKALI-KALI TIDAK AKAN MENGGUNAKAN GPMS SEBAGAI BATU LONCATAN UNTUK MELONJAKKAN DIRI SENDIRI.

DI KESEMPATAN INI SAYA INGIN MENGUCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA YBHG TAN SRI DATO’ DR NARDIN KARDI, MANTAN SETIAUSAHA AGUNG GPMS YANG TELAH BERTANGGUNGJAWAB MEMBAWA SAYA KE DALAM GPMS PADA TAHUN 1984. SAYA YAKIN DAN PERCAYA TANPA BELIAU, SAYA TIDAK AKAN BERSAMA GPMS APATAH LAGI MENJAWAT JAWATAN SETINGGI INI.

SAYA JUGA INGIN MENGUCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA YBHG DATUK SUHAIMI IBRAHIM, MANTAN PRESIDEN GPMS YANG TELAH MEMBERIKAN KEPERCAYAAN DENGAN MELANTIK SAYA SEBAGAI SETIAUSAHA AGUNG PADA 1997.

TERIMA KASIH JUGA SAYA RAKAMKAN KEPADA YBHG. DATO SRI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN YANG SENTIASA MEMBERIKAN PELUANG DAN RUANG SELUASNYA KEPADA SAYA UNTUK MENGURUSKAN GPMS BERSAMA BELIAU DI SEPANJANG SAYA MENJAWAT JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN GPMS.

SESUNGGUHNYA PENGALAMAN SAYA BERSAMA GPMS SELAMA 25 TAHUN TELAH MEMBERIKAN RUANG DAN PELUANG KEPADA SAYA UNTUK MENYUMBANG TENAGA DAN IDEA KE ARAH KECEMERLANGAN PENDIDIKAN BANGSA.

NAMA-NAMA AGUNG GPMS SEPERTI USTAZ RAMLI YUSOF, ISHAK MOHD JONID, DATO’ RAZAK MALEK, TAN SRI ZAINUL ARIF, DATO SEHAN AWANG AIN, DATO AHMAD FAIS DAN DARUIS LIDIN TETAP DALAM INGATAN.

KEPADA STAF SETIA GPMS : ASWAT, HAZUAN DAN UMI ” KALIAN JUGA ADALAH NADI KECEMERLANGAN GPMS SELAMA INI DAN POHON MAAF DI ATAS KEKASARAN BAHASA, JUGA MUNGKIN MENINGGIKAN SUARA DI SEPANJANG KITA BERSAMA ”.

KEPADA AHLI-AHLI DAN PEMIMPIN SERTA MANTAN PEMIMPIN GPMS SELURUH NEGARA, TERIMA KASIH DIUCAPKAN DI ATAS SEGALA PANDANGAN DAN TEGURAN. TANPA KALIAN SUDAH PASTI SAYA TIDAK MAMPU BERADA DI SINI. MAAF DI ATAS SEGALA KEKURANGAN DAN KELEMAHAN. SESUNGGUHNYA KALIAN TETAP DEKAT DI HATI DULU, KINI DAN SELAMANYA.

AKHIR KALAM, KEPADA GENERASI MUDA GPMS, JANGAN TERLALU GELOJOH DALAM MEREBUT JAWATAN SEHINGGA KITA SANGGUP MELETAKKAN RASA HORMAT SESAMA SENDIRI DI BAWAH TELAPAK KAKI...

TERIMA KASIH DAN SALAM PERJUANGAN.