Sabtu, 15 Mei 2010

TIBANYA HARI GURU

Assalamualaikum.

Sudah agak lama juga saya tidak update blog saya ini. Segala-galanya disebabkan kekangan waktu yang tidak mengizinkan saya menulis. Justeru, hanya permohonan maaf yang boleh saya berikan kepada anda semua.

Namun begitu, dengan ketibaan sambutan Hari Guru hari ini (15 Mei 2010), ia telah memberikan kekuatan kepada saya untuk mencatatkan sesuatu. Mungkin disebabkan jiwa seorang guru, ia telah memberikan kekuatan kepada saya untuk menulis ini.

Hari ini, semua pelajar dan warga sekolah meraikan sambutan Hari Guru – satu hari yang suatu ketika dulu tidaklah begitu dipandang sangat. Saya masih ingat, ketika saya bersekolah dulu, guru akan membelikan aiskrim dan roti untuk murid-murid di kelasnya. Ia sebagai tanda Hari Guru diraikan setiap kali tibanya 15 Mei. Alhamdulillah, ia sekurang-kurangnya telah meletakkan hari tersebut mempunyai nilai hati seorang guru. Itu dulu.

Hari ini, zaman sudah jauh berubah dan cara hidup pelajar serta guru juga begitu. Pemikiran mereka pun sama. Oleh itu, apabila tibanya sambutan Hari Guru, maka pelajar telah membelikan hadiah untuk diberikan kepada guru mereka sebagai tanda penghargaan dan terima kasih. Bukan sedikit, malah begitu banyak hadiah diterima oleh guru di sekolah.

Alangkah bertuahnya guru di zaman sekarang. Jika dulu, guru yang meraikan muridnya di kala tibanya Hari Guru, sekarang sebaliknya pula berlaku. Tentu sekali ia merupakan peristiwa yang sangat positif kesannya. Sekali lagi, ia wajar diteruskan pada masa akan datang.

Secara peribadi, saya kagum dengan keadaan ini. Saya sempat singgah di kedai cenderamata semalam dan melihat ramai sekali orang membeli hadiah. Ramai ibu bapa mengiringi anak-anak mereka membeli hadiah tersebut. Saya bertanya kepada seseorang mengapa ramai yang membeli hadiah kerana keadaan itu bukanlah perkara biasa di kedai tersebut.

Seorang bapa menjawab, dia menemani anak-anaknya membeli hadiah untuk diberikan kepada guru di sekolah sempena sambutan Hari Guru. Dan, yang di dalam kedai itu, tujuan mereka adalah sama.

Sungguh terharu saya. Sebagai seorang guru, saya merasai akan hubungan perasaan dan penghargaan antara pelajar dengan gurunya. Tahniah saya ucapkan kepada para pelajar yang telah meletakkan guru di tempat yang wajar di hati mereka.

Kepada guru, anda adalah insan yang sangat mulia dan terpuji Berbanggalah kerana anda memilih untuk menjadi seorang guru. Kata orang, guru itu ibarat lilin yang sanggup membakar diri demi untuk menerangi orang lain.

Kepada seluruh warga guru, Selamat Hari Guru.