Jumaat, 5 Jun 2009

JIKA BERANI MENGKRITIK, MESTI JUGA BERANI DIKRITIK

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,…

Saya sungguh gembira kerana terus diberikan kesempatan untuk menulis, mencatatkan sesuatu yang saya fikirkan benar dan wajar ditulis. Apa pun lakaran dan wajah penulisan saya, saya lakukannya di atas prinsip tersebut. Saya tidak kisah apakah reaksi, pandangan dan andaian anda mengenai tulisan saya kerana bagi saya, kesudian anda menjengah laman blog saya ini pun sudah memadai. Terima kasih saya ucapkan kepada anda yang sering mengikuti tulisan saya. Ada yang menghantar pelbagai komen – ada yang memuji, mengutuk dan ada juga yang seolah-olah tidak bersedia membaca kritikan saya. Ada juga yang menghantar mesej melalui sistem pesanan ringkas.

Pun begitu, saya kagum dan gembira kerana anda adalah sebahagian daripada saya. Saya yakin terhadap apa yang saya catatkan. Itu adalah tambahan kepada prinsip yang saya sebutkan tadi. Sebagai manusia yang sentiasa berfikir, saya sedar kadangkala tulisan saya agak kritis terhadap beberapa isu. Malah, dalam keadaan tertentu, ia kelihatan agak keras nadanya. Sebahagian daripada anda pasti tidak senang dengan kritikan saya. Namun bagi saya, jika saya boleh menerima kritikan anda terhadap tulisan saya, mengapa anda tidak mampu menerima kritikan saya.

Demokrasi memberikan kebebasan sedemikian. Namun, ia tidaklah bermaksud dalam konteks satu pihak semata-mata. Kita wajar dan mesti saling menerima apa yang kita anggap wajar. Yang selebihnya, terpulanglah kepada penilaian kita sendiri.

Bagi saya, laman Gerbang Ilmu ini adalah medan untuk saya melontarkan pandangan dan sekali lagi saya pulangkan kepada anda untuk menilai dan memikirkannya. Jika ada di kalangan anda tidak mampu menerima hujjah saya, saya fikir itu bukanlah bermaksud ianya tidak betul. Tidak betul bagi anda, tetapi ia mungkin betul bagi orang lain. Ia terlalu kompleks. Cuma saya mengharapkan agar anda tidak menggunakan pihak ketiga untuk mengkritik tulisan dan hujjah saya, apatah lagi dengan melibatkan bonda tercinta saya yang kini ingin menghabiskan bonus usia kurniaan Allah dengan penuh ketenangan.

Itulah akibatnya jika kita suka mengkritik orang tetapi pada masa yang sama kita tidak suka dikritik. Inilah juga akibatnya apabila kita terlalu taksub kepada pemimpin seolah-olah mereka itu maksum dan tidak boleh disentuh langsung. Mereka juga adalah manusia yang sama dengan kita. Yang memisahkan kita dengan mereka hanyalah kedudukan. Namun, dari segi benteng kelemahan serta kesilapan, mereka juga tidak terlepas walaupun mereka dipanggil atau digelar Tok Guru. Sebagaimana yang dipegang: Jika terjadi kepada kepada orang lain, maka kita akan menyatakan ia sebagai bala tetapi jika terkena pada batang hidung sendiri, kita akan kata ia dugaan Allah.

Jika mereka memberi, maka itu dianggap sedekah dan buah tangan. Namun jika orang lain memberi, sah itu dianggap rasuah atau politik wang. Ya Allah, jauhkanlah aku dan keturunanku daripada golongan hipokrit seperti itu.




AKIBAT KECUAIAN MANUSIA

Salam Blogger

Ramai yang tidak terkejut, malah ada yang tidak sedar pun mengenai isu kesilapan tawaran untuk kemasukkan ke USM bagi sessi 2009/2010. Jika ada yang terkejut pun, mungkin tidak sehebat runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, Kuala Terengganu yang dikatakan tercanggih di Asia itu.

USM yang dikatakan berstatus program pemacuan untuk kecemerlangan (APEX) telah memalukan negara akibat mereka yang diberikan amanah telah cuai dan akibatnya pelajar yang kecewa. Saya masih simpan satu mesej daripada bekas pelajar saya.

Mesej itu berbunyi: “Cikgu, saya dapat tawaran sains kemasyarakatan, saya nak buat sains politik. Apa pandangan cikgu?. Saya terus menghubungi beliau dan memberikan pandangan kursus berkenaan. Mesej itu dihantar kepada saya pada 31 Mei lalu. Keesokannya saya menerima mesej/sms daripada pelajar yang sama dan berbunyi: “Maaf cikgu, saya tak dapat USM, kesilapan berlaku”.

Apa yang saya catatkan ini adalah salah satu kes daripada 3,000 kes yang berlaku. Saya fikir, di samping perlunya laporan dibuat kepada menteri berkenaan, pihak Naib Canselor juga perlu dan mesti memohon maaf di atas kecuaian yang berlaku. Kementerian Pengajian Tinggi perlu memberikan keutamaan kepada pelajar ini ke IPTA kerana mereka sememangnya layak, Cuma tempatnya sahaja yang terhad.

Saya tidak salahkan kesilapan manusia dalam kes ini kerana sememangnya kita semua tidak sempurna sifatnya. Bagaimanapun, janganlah ketidaksempurnaan itu dijadikan alasan mudah bagi melakukan sesuatu yang bersifat cuai. Jangan hanya nama sahaja universiti bertaraf APEX tetapi kualitinya sama dengan universiti bertaraf biasa.

Pihak berkenaan tidak boleh memandang mudah terhadap perkara ini. Ia soal kecuaian dan maruah. Kesilapan pertama biarlah menjadi pengajaran. Dan, jika ia berulang lagi, maka jelaslah ia adalah sememangnya kemahuan kita. Renungkanlah mengenainya.