Sabtu, 18 April 2009

GAJAH SAMA GAJAH, RAKYAT YANG PENING

Beri sokongan kepada Datuk Ahmad Said, beliau mampu membuktikan kemampuan

Assalamualaikum ...

Jika ditanya hati saya, pasti saya mahu melahirkan rasa sedih dengan kemelut politik yang sedang berlaku sekarang. Yalah, dalam keadaan kita (BN) menjadi parti yang menang, begini pula jadinya. Entahlah... Namun bagi saya, tindakan sepuluh ADUN penyokong kerajaan tidak menghadiri sidang DUN baru-baru ini adalah tidak wajar. Mereka mungkin mahu menyampai mesej tersendiri tetapi caranya nampak tidak kena. Ia tanpa sedar telah mengundang rasa gelisah rakyat selain mencetuskan penilaian yang tidak sihat pengundi terhadap mereka dan BN.

Bagi saya, apa pun masalah atau kemelut, ia tidak boleh sampai mendedahkan pekung di dada kerana akhirnya yang untung ialah parti pembangkang. Saya berada di dewan DUN ketika hari kejadian dan saya menyaksikan wakil pembangkang mengganyang secukup rasa tingkah laku pemimpin atau wakil rakyat BN itu. Memanglah kerja pembangkang begitu tetapi jika kita berikan mereka senjata, yang terhunus ialah kita sendiri. Maksudnya, senjata makan tuan.

Apa yang berlaku itu juga terlah melencong daripada matlamat atau gagasan Satu Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri kita, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerana dalam hal ini saya lihat soal kepentingan rakyat tidak diberikan keutamaan. Bukan mahu menyebelahi makana-mana pihak, namun pendekatan yang diambil ADUN dari BN itu nampak sedikit tidak manis. Cara yang mudah bagi saya, jika ada masalah, gunakanlah pendekatan musyawwarah dan berunding. Bukankah itu lebih elok dan manis pula dipandang rakyat.

MB Terengganu, Datuk Ahmad Said tidaklah sempurna semua. Sebagai manusia, pasti ada kelemahan dan apa yang tidak kena. Namun, jangan kerana itu, beliau terus dihukum. Itu bukan caranya untuk menyelesaikan masalah. Bagi saya, jika ada sesuatu yang tidak kena dan ia dibangkitkan daripada kumpulan kita, kumpulan yang sama, MB kena berikan perhatian. Beliau tidak boleh memandangnya dengan mudah. Kena tegas dalam hal ini. Jika pegawainya didakwa melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan nama baik kerajaan negeri dan beliau negeri, tindakan awal mesti diambil walaupun hasil siasatan masih belum selesai.

Mengapa saya katakan begitu. Persepsi masyarakat yang sudah terbalik telah menuntut beliau berbuat demikian. Tindakan awal akan menyelamatkan keadaan, kadangkala. Ia juga mampu membangkitkan semula imej MB. Saya berpendapat, MB perlu diberikan sokongan dan jika hendak mengkritik beliau, kritiklah dengan kaedah yang berhemah. Kita kena ada kesopanan dalam menegur. Saya tidak nampak MB Terengganu sudah tertutup ruang perbincangan, kritikan dan teguran. Saya nampak beliau seorang yang sentiasa terbuka. Beliau ada pemikiran tetapi berikannya peluang dan ruang.

Usia pentadbirannya baru sampai setahun. Yalah, setahun sudah lama dan boleh dibuat penialaian. Namun jika pentadbiran beliau sendiri diganggu oleh kumpulan sendiri dan ditambah dengan karenah pembangkang, maka terjejaslah tumpuan yang lain. Cuba berikan MB peluang yang selesa, saya yakin beliau mampu membuktikan keyakinan dan kemampuan.

Saya sedih dengan apa yang telah tercetus. Ia berlaku dan menimpa MB saya, negeri saya dan politik di tempat saya. Sebagai rakyat, saya tidak mampu melakukan apa-apa selain memberikan pandangan ini. Ia mungkin tidak mampu mengubah keadaan, namun sekurang-kurangnya anda membaca apa yang ada di fikiran saya. Itu sudah memadai bagi saya dan menjadi sesuatu yang mengembirakan...

Saya cuma mahu mengingatkan anda, janganlah gajah sama gajah berperang, yang penting ialah rakyat. Jangan mencabar atau mempermainkan amanah rakyat, maka ia buruh padahnya.

Orang politik jika tidak takut kepada suara rakyat, maka pendeklah umurnya ... suara rakyat, suara keramat. Hormatinya dengan tingkah laku yang menggambarkan kita hormat kepada mereka, bukannya menjadi pengkhianat! ...