Sabtu, 15 Ogos 2009

INIKAH NILAI KEMERDEKAAN BAGI KITA

Salam blogger…

Ogos sudah pun melewati usia 15 hari, namun suasana yang dapat kita lihat, sama juga dengan bulan-bulan yang lain. Seperti tidak ada apa yang istimewa. Hairan juga ya, mengapa hal sedemikian boleh berlaku dan disaksikan. Saya ingin bertanya, berapa ramaikah di kalangan kita yang sedar bahawa kita sudah pun mencapai usia kemerdekaan yang ke-52.

Saya sempat bertanya kepada pelajar mengenai tema Hari Kemerdekaan negara tahun ini. Jawapan yang diberikan hanyalah dengan wajah yang tersengih-sengih sebagai tafsiran bahawa mereka sebenarnya tidak tahu menahu akan hal tersebut. Dan, sebagaimana yang dijangka, ramai yang menjawab “tidak tahu”. Saya bertanya pula kepada anak-anak muda yang berjawatan, atau dengan maksud lain berpelajaran. Malangnya, jawapan yang diberikan hampir sama.

Adalah amat tidak adil jika saya merumuskan bahawa semua pelajar dan anak muda kita tidak mengetahui mengenai tema Hari Kemerdekaan negara tahun ini. Bagaimanapun, cukuplah jika saya katakan bahawa saya amat bimbang ia akan menjadi budaya baharu anak-anak muda kita yang akhirnya Hari Kemerdekaan disambut di dalam selimut atau berehat di tempat-tempat peranginan sahaja.

Saya juga tidak mampu menyembunyikan perasaan bimbang dan risau saya mengenai sikap anak-anak generasi selepas merdeka seperti itu. Kemerdekaan bagi mereka bagaikan tidak mempunyai nilai dan seolah-olah kemerdekaan yang dicapai 52 tahun yang lalu adalah sesuatu yang percuma.

Amat tidak memadai jika kita mengharapkan mereka ini memahami sejarah hanya melalui buku di sekolah. Mereka mesti terus diberikan pendedahan, diberitahu dan digambarkan bahawa kemerdekaan yang kita capai itu adalah hasil perjuangan nenek moyang mereka yang mempertaruhkan harta dan nyawa dengan negara dan kita semua.

Kadangkala apabila kita terlalu banyak berpolitik, atau kita berpolitik sepanjang masa, maka inilah akibatnya. Perkara itu juga sebenarnya telah menyumbang kepada betapa semangat patriotik di kalangan masyarakat kita sendiri sebenarnya makin susut. Kita sanggup mengorbankan masa dan wang ringgit semata-mata untuk terbabit dengan demonstrasi jalanan – satu kegiatan yang tidak bermaruah - namun kita berkira untuk membuat sesuatu atas nama erti sebuah kemerdekaan.

Semoga kita mampu berfikir secara rasional dan menolak sebarang elemen yang boleh menggadai maruah negara kita … Merdeka!.