Selasa, 23 Ogos 2011

ALHAMDULLILAH, MASIH KEDENGARAN BACAAN AL-QURAN DI SINI

Assalamualaikum.

Ketika saya mencatatkan tulisan ini, saya baru saja selesai solat subuh. Sebelum azan subuh tadi, masjid-masjid berhampiran rumah saya masih kedengaran bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Bacaan itu bukannya berlaku sekarang, malah sejak berzaman lamanya. Tidak ada yang komplen dan tidak ada yang marah akannya. Dalam maksud yang lain, ia sesuatu yang sangat dihargai sebenarnya.

Apa yang saya rasakan di saat ini, saya bersyukur, sekurang-kurang di kawasan rumah saya, bacaan Al-Quran dengan menggunakan pembesar suara tidak dilarang dan masih berkumandang. Alhamdulillah.

Oleh kerana itu, saya sedikit terkilan dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang apabila semua masjid-masjid dilarang memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sebelum azan subuh - satu tradisi yang sekian lama diamalkan oleh umat Islam. Saya faham bahawa ia bukanlah menjadi satu tuntutan di dalam Islam sebagaimana yang dijelaskan, namun saya berpendapat, ia bukanlah kerja yang berdosa jika diamalkan. Apa yang dimaksudkan ialah apa yang saya catatkan di awal tulisan ini. Keadaan itu bukannya menjadi gangguan kepada umat Islam atau bukan Islam.

Saya percaya perasaan terkilan itu bukan sahaja saya yang lalui tetapi juga umat Islam yang lain. Untuk rekod, budaya bacaan ayat-ayat suci Al-quran dengan menggunakan pembesar suara sebelum solat subuh bukan sahaja diamalkan di negara ini, malah negara jiran pun begitu. Indonesia misalnya masih mengamalkan perkara tersebut dan ia bukannya satu masalah.

Apa yang berlaku di Pulau Pinang itu agak mengejutkan kerana dalam keadaan ribut pun tidak, petir pun tidak, taufan pun tidak, tiba-tiba arahan sedemikian dikeluarkan. Apatah lagi ia berlaku dalam iklim politik, kecelaruan atau pertembungan fahaman yang ketara di dalam negara kita, maka soal andaian tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Jikalah bacaan itu mengganggu bagi saya, mengapa ceramah politik yang diadakan di ceruk kampung tidak pula dikeluarkan fatwa atau arahan seperti itu sedangkan ia cukup mengganggu telinga yang mendengarnya. Ceramah politik pihak tertentu yang memaki hamun, menfitnah dan sebagainya sehingga mengganggu ketenteraman awam, menimbulkan keadaan tidak selesa kepada mereka yang mempunyai anak kecil atau anak-anak yang bersekolah, namun tidak ada pula kedengaran suara yang menglangnya.

Saya tidak mahu membuat andaian dalam isu ini, cuma saya berpendapat, sesuatu yang mungkin tidak digalakkan tetapi jika ia tidak pun membawa apa-apa gangguan, maka tidak ada sebab untuk dihalang, apatah lagi yang melibatkan soal kesucian agama Islam.

Saya teringat dengan seorang sahabat bukan Islam yang tinggal berhampiran masjid, apabila mendengar kuliah subuh, dia terjaga dan terus minat untuk mendengar. Malah dia memetik kuliah itu dan dimuatkan dalam laman FBnya untuk dikongsikan.

Ini adalah satu contoh kecil yang sangat sarat dengan pengajaran. Sama-samalah kita fikirkan.

Selamat berpuasa.