Selasa, 8 Mac 2011

Salam bloger,

Agak mengejutkan. Itu yang boleh saya rumuskan dengan insiden atau kes bunuh diri di negara ini. Semalam, ketika memdedahkan statistik mengenai kes berkenaan, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein ternyata bimbang dengan gejala tersebut.

Apa tidaknya, dalam tempoh sepuluh tahun mulai 2001, seramai 4,118 orang telah meninggal dunia akibat perbuatan bunuh diri. Nah!, ternyata gejala tersebut membimbangkan. Punca kepada masalah tersebut juga disebabkan kegagalan hidup, putus asa dan kematian insan tersayang. Semuanya kerana tekanan perasaan.

Sebagai umat Islam, kita dituntut menjauhi perbuatan sedemikian. Apa pun, isu berkenaan cukup menarik untuk kita kupas, lantaran dengan keadaan persekitaran yang tidak menentu sekarang. Maksud saya, hidup manusia dalam serba tertekan.

Maksudnya, masyarakat perlu melakukan sesuatu dan tidak boleh memandang mudah mengenai hakikat tersebut. Saya bimbang, keadaan itu akan menjadi "trend" yang akhirnya terus menjadi ancaman utama kepada nyawa manusia di negara ini.

Sebagai masyarakat yang bertamadun, perbuatan membunuh diri adalah sesuatu yang sangat menjijikkan walau apa pun alasannya. Hidup ini masih terlalu banyak ruang dan peluang. Ia bergantung kepada kebijaksanaan dan keupayaan kita mengurus hidup ini. Selain itu, sokongan serta dokongan pelbagai pihak amat diperlukan bagi membendung gejala ini.

Selain yang lain-lain, orang politik juga kena tengok juga keadaan ini. Jangan terlalu asyik berpolitik, bermain politik atau mempolitikkan segala-galanya tanpa memikirkan isu yang besar ini.

Walaupun soalan mengenai perkara ini dibangkitkan oleh wakil pembangkang dari DAP, namun ia ternyata menarik melalui jawapan yang diberikan. Bagi saya, usaha menangani masalah ini adalah tanggungjawab bersama. Jangan biarkan atau serahkan kepada individu sahaja untuk menyelesaikan masalah mereka.

Cuma saya takut dan khuatir, pada suatu masa ada yang sanggup membunuh diri kerana politik. Ia pasti lagi parah. Berhati-hatilah.

Ahad, 6 Mac 2011

DEMI RAKYAT, BN MENANG BESAR

Salam blogger,

Tindakan Pas membawa pelawak Bob Lokman ke PRK Kerdau, Pahang dan Merlimau di Melaka ternyata tidak membawa apa-apa kesan kepada pengundi di kedua-dua kerusi berkenaan untuk terus memilih calon BN pada PRK tersebut semalam. Gimik politik yang sengaja dicetuskan pembangkang dengan menggunakan selebriti terbukti gagal.

Memang bagi saya, saya telah menjangkakan BN akan menang di dua kerusi berkenaan, namun saya tidak menyangka BN akan menang besar sebagaimana yang diumumkan semalam. Mesej yang hendak disampaikan rakyat mengikut fahaman saya, pembangkang hanya pengacau dan mereka tidak layak dipilih untuk berada dalam DUN di dua negeri berkenaan.

Saya berpendapat, rakyat kini mula memahami bahawa isu-isu yang sengaja dicetuskan pembangkang dengan mengapi-apikan perasaan rakyat adalah satu helah dan propaganda murahan semata-mata. Rakyat sudah melihat kepalsuan yang cuba dicanangkan pembangkang dan mereka ternyata tidak mudah terpedaya dengan pelbagai janji kosong oleh pembangkang.

PRK Merlimau dan Kerdau, sudah tentu akan menjadi titik permulaan yang baik ke arah menjayakan transformasi politik BN agar lebih matang dan mantap menjelangnya PRU yang ke-13 nanti. Terlalu banyak sebenarnya yang boleh dipelajari BN di sebalik semua 16 PRK yang berlangsung sejak 2008 yang lalu.

Tentu sekali, BN telah menemui sentuhan dalam memasarkan politiknya kepada rakyat walaupun dalam keadaan begitu banyak tekanan dari pembangkang. Bukan mudah sebenarnya untuk meyakinkan rakyat di Kerdau dan Merlimau bahawa apa yang sedang berlaku, termasuk isu kenaikan harga barang, masalah harga minyak dan lain-lain adalah sesuatu yang di luar kemampuan kerajaan BN.

Namun, rakyat melihat kesungguhan kerajaan BN dalam membantu meringankan beban rakyat dan bukannya menawarkan sesuatu yang kosong. Saya sangat terharu, dalam tekanan sedemikian, rakyat masih boleh memilih BN kerana mereka memahami bahawa BN sahajalah yang berkerja keras untuk membela nasib mereka.

BN adalah parti rakyat. Daripada rakyat kepercayaan diperolehi, dan kepada rakyat bakti diberikan. BN tidak pernah kalah dan lelah dalam membantu rakyat. Kesungguhan dan keikhlasan itu telah menjadi sebahagian daripada resepi kejayaan BN.

Tahniah saya ucapkan kepada dua YB baharu dari BN ... bekerjalah untuk rakyat demi rakyat. Berbaktilah demi negara dan untuk negara. Semoga, BN akan terus kekal cemerlang pada PRU ke-13 nanti, insya'Allah.

Selasa, 1 Mac 2011

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Mohon maaf kepada semua pelawat laman blog saya kerana sudah agak lama saya tinggalkan anda walaupun saya tahu ramai yang menjengahnya di sini.

Adalah tidak adil untuk saya memberikan banyak alasan tetapi kekangan waktu telah menjadi penyebab yang utama. Namun, mulai sekarang, dengan wajah baharu, saya akan sedaya upaya untuk update blog saya ini untuk tatapan anda semua.

Saya sangat optimis bahawa terlalu banyak yang dapat kita kongsikan di sini. Dan, saya juga percaya bahawa telah terlalu banyak isu-isu yang terlepas untuk saya kupas dan kongsikan bersama anda.

Tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya sekarang ada sedikit waktu dan saya akan terus menulis di sini. kepada anda semua, terima kasih kerana sering menjengah tulisan saya dan juga telah memberikan pandangan-pandangan yang sangat berguna buat saya.

Saya sangat gembira dengan anda, anda adalah sebahagian daripada idea saya.