Jumaat, 24 September 2010

NASIB POLITIK MELAYU


Salam perjuangan.


Saya sungguh teruja apabila membaca kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui akhbar Utusan Malaysia hari ini bahawa Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Pembangkang menang Pilihanraya Umum Ke-13 akan datang.


Walaupun kemenangan Pakatan Pembangkang itu hanyalah satu andaian dan masih menjadi satu kemungkinan semata-mata, isu ini amat menarik perhatian umum. Hakikatnya, politik kita sudah bercelaru dengan pelbagai hal apabila agenda diri, peribadi dan kaum diletakkan dalam senarai paling atas.


Saya berpandangan terdapat beberapa hal yang wajar diberikan perhatian oleh kita semua tanpa menafikan sedikit pun apa yang dinamakan sebagai kemungkinan dalam kenyataan Dr Mahathir itu tadi.


Pertama, keghairahan orang Melayu berpolitik terutamanya generasi muda tanpa memahami struktur politik khususnya di sistem berparlimen harus diberikan perhatian. Saya percaya, ramai berpolitik tanpa memahami keadaan tersebut – majoriti dua pertiga, kuasa Parlimen dan tanggungjawab melihat kepentingan bangsa dalam politik.


Saya sangat bimbang dengan politik sentimen, khususnya di kalangan anak-anak muda sehingga ia akan mengancam majoriti dua pertiga “kuasa Melayu” di Parlimen. Mereka mungkin mahu menumbangkan Barisan Nasional (BN), namun pada masa yang sama mereka lupa mereka juga sedang berusaha menumbangkan kuasa bangsa sendiri.


Jika anda ingin menyatakan saya seorang yang rasis, silakan. Namun, saya kuat berkata bahawa jika parti bukan Melayu bersatu sehingga mereka mampu menguasai kerusi di Parlimen, mereka mampu melakukan apa sahaja termasuk menghapuskan kepentingan Melayu itu sendiri. Kita mahu menyesal?. Ah!, ia sudah tidak berguna lagi ketika itu. Kita harus ingat, akur dan insaf bahawa apabila sesuatu kumpulan parti dapat menguasai suara dua pertiga di dalam Parlimen, bukan sahaja mengadakan yang tiada tapi juga meniadakan yang ada !!!



Kedua, paling menyedihkan apabila kekuatan politik bukan Melayu ini didalangi dan didokongi oleh orang Melayu sendiri demi untuk mencapai cita-cita politik dan memperjuangkan survival individu tertentu. Mereka menang sorak walaujpun akhirnya kampung tergadai, asalkan mereka puas dengan politik, telah menjadi satu trend yang membimbangkan.


Lihat contoh apa yang berlaku di Perak (ketika pemerintahan Pakatan Pembangkang) dan Selangor. Siapa yang menjadi boneka siapa? Dan siapa pula yang memboneka siapa? Adakah anda buta hati dan minda untuk menilainya? Marilah kita rehatkan minda seketika dan fikirkan secara rasional.


Dan ketiga, survival politik Melayu sendiri kini telah dikatakan umpama nyawa di hujung tanduk. Ia berlaku disebabkan umat Melayu telah berpecah belah melalui kaedah politik songsang yang pelbagai watak. Ada yang berwatakkan agama dan menjajanya sebagai alat politik murahan sehingga sanggup mengeluarkan pelbagai fatwa yang memualkan.Dan ada pula yang berwatakan liberal dengan tergamak menjadi hamba kepada politik bukan Melayu.


Yang rugi siapa?. Sudah pasti Melayu. Siapa Melayu?... kita semualah. Jadi, apa yang ada di fikiran anda…… Lebih meluat apabila saya membaca kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin bukan Melayu di kalangan parti komponan BN sendiri. MCAlah secara terangnya. Presiden MCA seringkali mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan Perlembagaan, memperlekehkan Gagasan 1Malaysia melalui andaian yang salah dan banyak lagi kenyataannya yang bagi saya menggambarkan mahu merendah-rendahkan kepentingan Melayu. Ingatlah!! Kalau pun nak jadi jaguh bangsa dan mengekalkan jawatan Presiden MCA, anda merupakan ahli keluarga Barisan Nasional yang memacu negara ke masa depan yang lebih cemerlang. Dan jangan lupa Gagasan 1Malaysia tidak akan dan tidak pernah mengenepikan apa yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan oleh datuk nenek kita….


Apa yang dapat anda tafsirkan. Saya membacanya mengikut tafsiran betapa sebenarnya “ada penyatuan” pandangan mengenai kepentingan kaum bukan Melayu dalam hal ini dan ia secara senyap sebenarnya telah menempelak Melayu sebagai bangsa yang menjadi tuan kepada tanah air tercinta ini.


Ya, kembali kepada kenyataan Dr Mahathir tadi. Maka inilah yang menjadi kebimbangan saya. Oleh itu, sudah sampai masanya umat Melayu menyemak semula cara dan kaedah mereka berpolitik. Mereka tidak boleh hanyut dan alpa akan segala kemungkinan yang disebutkan Dr Mahathir.


Kita tidak bercakap mengenai kepentingan diri kita, bukan mengenai parti mana yang kita sertai tetapi kita bercakap mengenai tuan negara ini – Melayu!.


Sedarlah wahai umat Melayu, waktu sudah singkat untuk mereka berpatah lagi. Dalam persimpangan politik sebegini, kita sudah tidak diberikan pilihan kecuali bersatu. Cukuplah penyatuan dan perpaduan ini menjadi pertaruhan demi kepentingan politik sempit.


Bersatulah bangsaku, bersatulah.