Ahad, 17 Mei 2009

PENGERTIANNYA HARI GURU

KENANGAN ... Tokoh seorang guru yang menjadi ikon saya
Salam bloger,

Semalam, 16 Mei kita semua mengenang jasa guru melalui sambutan Hari Guru. Jika mahu dibandingkan dengan sepuluh tahun yang lalu, meraikan sambutan Hari Guru dilihat jauh lebih meriah. Malah, dalam tertentu Sambutan Hari Guru sudah menjadi satu perayaan yang gemilang. Hari Guru juga disambut dengan penus emosi sehingga ada yang mengalirkan air mata, mendakap guru dan merakamkan ucapan dengan ikhlasnya.

Seawal masuknya detik 16 Mei, guru telah menerima ucapan Selamat Hari Guru, bukan sahaja dari murid yang masih di bangku sekolah atau bekas murid guru. Malah, pemberian hadiah kepada guru sebagai tanda ingatan yang tidak pernah luput makin mencurah-curah. Ya, ingatan adalah sesuatu yang amat ternilai dalam kehidupan. Sebenarnya, kerana gurulah anak-anak boleh membaca, menulis, mengaji dan mengira. Kerana guru juga, kita menjadi insan berguna dan kerana guru kita menjadi pewaris bangsa yang terbilang. Lebih mulia, apabila kerana gurulah, kita menjadi seorang guru.

Ya, kadangkala guru bersikap garang terhadap kita. Dirotan, dimarahi dan diberikan tunjuk ajar yang keras adalah antara hal-hal yang biasa di alam sekolah. Bagi kita yang waras dan tahu bahawa guru sebenarnya menyanyangi kita, mahukan kita menjadi insan berguna dan ingin melihat kita bakal menjadi seorang manusia yang bukan sahaja kembali berjasa kepada guru tetapi juga ibu bapa, keluarga, masyarakat dan negara. Seorang guru tidak pernah meminta lebih daripada anak muridnya. Cukuplah sekadar kejayaan yang dihadiahkan, itu sudah memadai untuk mengembira dan menghiburkan hati seorang guru.

Sememangnya guru layak menerima penghargaan. Umpama api lilin yang membakar diri, itulah pengorbanan guru demi kita. Jika kita tidak mengingati guru, apatah lagi tidak menghormati guru, apa lagi yang kita miliki.

Sempena Hari Guru, marilah kita yang bergelar pelajar, ibu bapa, dan ahli masyarakat agar sama-sama bermuhasabah diri agar kehadiran guru di zaman ini memang dirasai sebagaimana suatu masa dahulu, guru juga adalah adalah segala-galanya termasuk dalam membentuk percaturan politik. Masih segar di ingatan saya kata-kata tokoh guru dan bekas pemimpin politik, Allahyarham Datuk Haji Razali Ismail yang pernah berkata:

“Hari ini kebimbangan kita bukan kerana ketidakupayaan anak-anak kita tetapi kita sebenarnya tidak menggunakan segala kehebatan yang dimiliki mereka. Ingatlah, sesiapa sahaja yang dewasa hari ini, sejarahnya dimulai oleh guru yang dewasa”.

Al-Fatihah buat Allahyarham yang amat saya kagumi dulu, kini dan selamanya. Kepada semua warga guru, teruskan kerjaya kalian dengan sabar dan hadapi setiap dugaan sebagai sebahagian daripada sumbangan kita untuk anak bangsa dan masa depan negara. Walaupun di zaman serba moden dan akal manusia semakin melebar dalam berfikir sehingga kerjaya sebagai guru bagaikan agak terensot sedikit, namun guru tetap tidak pernah dilupakan.

Buktikan, kehadiran Hari Guru telah diraikan dengan hebatnya dan penuh perasaan. Selamat Hari Guru.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

SELAMAT HARI GURU BUAT CIKGU SYED. KAMI DI PERAK SENTIASA BACA BLOG CIKGU. TAHNIAH CIKGU

Tanpa Nama berkata...

walaupun cikgu selalu merotan aku, aku gembira hari ini aku berjaya. terima kasih cikgu. selamat hari guru