Rabu, 28 Julai 2010

GURU BERPOLITIK: SIAPA UNTUNG?

Allahyarham Dato' Razali Ismail .... Tokoh guru dan pendidik yang sentiasa disayangi rakyat

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Ada perkembangan menarik dalam dunia politik negara kita. Khabarnya, guru akan dibenarkan berpolitik. Selepas sejak sekian lama, hal itu terbeku atau sengaja dibekukan, keputusan kerajaan itu sangat menarik perhatian umum.

Jika ditanya kepada saya, saya menyambutnya dengan gembira kerana atas sifat demokrasi, langkah itu adalah wajar. Dan, jika tidak dibenarkan pun, sudah ramai guru menyertai politik dan tidak kurang pula yang selalu bermain politik.

Sama ada umum sedar atau tidak, guru adalah golongan yang begitu galak berpolitik. Jika anda seorang guru, atau mungkin anda seorang yang berpeluang berada di kalangan kaum guru, anda akan lihat pengetahuan politik mereka amat tinggi. Ada waktunya, pemikiran mereka itu lebih politik daripada orang politik.

Ya memang benar, saya bersetuju bahawa suatu waktu dahulu, guru mempunyai pengaruh yang tersendiri. Maka tidak hairanlah apabila ramai golongan guru yang bertanding dalam pilihan raya dan tidak pernah tewas walau di mana pun kerusi yang ditandingi mereka. Maksudnya, pengaruh guru itu sangat hebat.

Adapun dengan keputusan kerajaan membenarkan guru berpolitik pada masa ini, apakah ia sama keadaannya dengan dahulu?. Apakah guru sekarang sama pemikiran dan semangatnya dengan guru dahulu?.

Saya juga adalah seorang yang pernah menjadi guru. Dan, bukan niat atau tujuan saya untuk mempertikaikan mengenai kaum guru. Saya hanya mahu mengajak anda berfikir dan kaitkannya dengan keputusan kerajaan itu.

Dalam ruang lingkup politik UMNO misalnya, jujur sekali saya menyatakan, bahawa ia tidak banyak menguntungkan parti itu. Kalau dulu memang ya, golongan guru mendokong perjuangan UMNO kerana semangat nasionalis Melayu itu sendiri sebenarnya sangat tebal.

Jadi, apakah guru hari ini ramai yang memihak kepada UMNO atau parti pemerintah?. Sebagai sebuah parti yang memerintah, setiap apa yang diputuskan kerajaan yang mana parti itu menjadi tunjangnya, ia seharusnya mengambil kira soal untung rugi parti yang memerintah sebelum sebarang keputusan diambil.

Apa pun, saya melihat ada baik dan ada kekurangannya di sebalik keputusan tersebut. Apa yang penting, golongan guru harus lebih bijak dan matang dalam menilai atau menerima keputusan kerajaan itu. Sebenarnya, penilaian guru seharusnya lebih baik daripada orang lain terhadap apa jua perkara.

Jika guru sudah boleh berpolitik, saya berharap guru juga tidak lagi bermain politik di sekolah demi masa depan anak bangsa kita sendiri.

Sama-sama kita fikirkannya.

Jumaat, 23 Julai 2010

NAK PERPADUAN PUN ADA SYARAT?

Assalamualaikum.

Masih lagi mengenai isu perpaduan Melayu. Nampaknya semakin hari, isu ini semakin menarik. Bukan sahaja yang melibatkan UMNO, malah apa yang berlaku di sebelah Pas juga agak menarik. Hari ini saya ingin melontarkan pandangan mengenai perkembangan terkini dalam isu ini.

Pertama, saya sangat kecewa apabila Pas seringkali meletakkan syarat untuk berunding dengan UMNO, walau di atas apa tujuan sekalipun, terutamanya dalam soal perpaduan. Pelik juga ya. Kalau nak berbincang (untuk mencari kebaikan, bukan untuk kejahatan) mestilah ada syaratnya. Jika ini berlaku, saya tidak nampak, apa yang dihajatkan di sebalik isu ini akan menjadi kenyataan.

Bukan sekali dua. Sejak dulu lagi Pas berkata, kalau nak berbincang, kena penuhi syarat yang Pas mahukan. Saya masih ingat, antara syarat mereka dulu ialah kembali permit akhbar lidah rasmi Pas iaitu Harakah dan bebaskan Anwar Ibrahim. Saya ingat ada juga syarat supaya Pas Kelantan dibenarkan laksanakan hudud kea tau apa ke. Langsung tak ada. Sandiwara sungguh.

Kedua, saya nampak reaksi positif di kalangan generasi baharu Pas, terutamanya pemudanya. Mereka dengan matang bagi saya telah mendepani isu ini kerana saya yakin mereka melihat dan memikirkan apa yang bakal berlaku ke atas bangsa Melayu. Cuma Datuk Nik Aziz Nik Mat yang masih keras dan tidak mahu. Maka, selagi Nik Aziz ada, susah nak bergabung orang Melayu. Dan, saya tidak mahulah sampai berkata Nik Aziz menggalakkan perpecahan.

Yang lebih pelik lagi apabila hanya Nik Aziz yang bising sangat dalam hal ini. Ke mana Haji Hadi Awang, Nasharuddin Mat Isa yang sebelum ini dikaitkan dengan isu yang sama satu masa dulu. Nampak sangat kediktatoran dalam Pas apabila ia “dikuasai” Musryidul Am Pas dan bukan Presiden. Maka, apa guna Presiden dipilih dalam pemilihan parti?. Untuk apa kalau Presiden tidak bebas bersuara dan memberikan pandangan?.

Sepatutnya Nik Aziz bertanding melawan Haji Hadi pada muktamar Pas lalu baharulah selesai masalah. Kalau Nik Aziz menang, dia ada hak dan begitulah sebaliknya. Ini, selagi dua kepala ada dalam Pas, susahlah Melayu nak bersatu.

Dan ketika, saya tersenyum juga bila ada pihak melontarkan pelbagai kritikan dan pandangan sinis dengan gesaan Mufti Perak, Datuk Sri Harussani Zakaria yang sebelum ini menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan masalah perpecahan umat Islam ini, terutamanya di kalangan UMNO dan Pas.

Lebih mendukacitakan lagi, ada yang tergamak mencabar ulama itu agar meletakkan jawatan dan menyertai politik. Pelik sungguh. Kalau beliau sudah menyertai politik, bagaimana beliau mahu menjadi orang tengah. Hari ini beliau adalah bebas dan apa yang beliau lontarkan adalah hasil penelitian dan kajiannya jujur beliau. Beliau tidak mempunyai apa-apa kepentingan selain mahu melihat umat Islam kembali kuat dan hebat.

Saya sangat bersetuju dengan beliau bahawa dengan keadaan perpecahan di kalangan umat Melayu yang kian ketara, kuasa Melayu boleh hilang. Itu orang Melayu harus sedar dan mereka tidak harus berada dalam angan-angan lagi.

Politik orang Melayu hari ini tidak berpada-pada. Mereka terlalu melampau, ghairah dan gilakan kuasa sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggadai maruah bangsa sendiri. Itulah masalahnya.

Oleh itu, marilah kita merenungi apa yang saya catatkan hari ini. Sama-samalah kita fikirkannya.

Isnin, 19 Julai 2010

APA SUDAH JADI

Assalamualaikum.

Dalam diam, kita semakin mendekati Ramadhan. Dan, ia juga telah menggambarkan betapa sebenarnya waktu terlalu pantas menghambat kita. Segala-galanya berlalu, kadangkala tidak kita sedari.

Hari ini saya cuma ingin menyentuh mengenai sesuatu yang telah kita tinggalkan hampir tujuh bulan yang lalu. Walaupun ia telah menjadi sejarah dan sejarah itu pula masih lagi mentah, maka ada baiknya untuk kita mengingatkannya kembali.

Ya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu yang diadakan pada 18 Januari lalu semakin hari, semakin hilang dari ingatan kita. Dan, hari ini saya ingin memperkatakan.

Seperti yang kita tahu, pengundi di Parlimen Kuala Terengganu telah memilih calon PAS, Haji Abdul Wahid Endut sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan dengan memperolehi sebanyak 32,883 undi menewaskan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang mendapat 30,
252 undi. Pilihan raya kecil tersebut terpaksa diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Haji Razali Ismail yang sememangnya terkenal sebagai tokoh yang sangat hebat dalam semua perkara.

Hari ini, tujuh bulan hampir berlalu dalam tahun 2010 ini. Apakah yang ada di Kuala Terengganu hasil usaha, sumbangan dan kerja yang dilaksanakan wakil rakyat baharu yang mereka pilih. Anda sendiri boleh melihatnya apa yang ada. Malah, tidak keterlaluan kalau saya katakan, Ahli Parlimen Kuala Terengganu hanya makan gaji buta sahaja.

Saya tidak faham bagaimana cara orang kita berpolitik, Calon pembangkang di PRK Kuala Terengganu adalah ADUN Wakaf Mempelam. Maksud saya, dia telah lama menjadi wakil rakyat di situ dan rekodnya boleh dilihat. Umum tahu bahawa Wakaf Mempelam terus begitu sejak dulu. Tidak ada apa pun yang PAS buat melainkan ia adalah sumbangan kerajan BN. Namun, pengundi tetap memilih calon PAS. Begitulah agaknya cara orang kita berpolitik.

Biarlah. Peristiwa itu telah berlalu. Cuma hari ini saya mahu mengajak anda berfikir apa yang terjadi di Parlimen Kuala Terengganu dan Dun Wakaf Mempelam sekarang ini. Apakah ia pesat membangun?. Adakah kebajikan rakyatnya diberikan perhatian atau sentiasa terbela?.
Bagaimana dengan kemudahan-kemudahan asasnya?. Apakah segala janji yang dilontarkan wakil rakyat PAS itu telah terkota sehingga sekarang?

Inilah beberapa persoalannya yang mungkin baik untuk kita merenung dan menilainya semula. Rata-rata, banyak kekurangan di Wakaf Mempelam, apatah lagi Kuala Terengganu.

Dalam hal ini, saya sangat percaya kepada perubahan. Hanya itu yang boleh menyelesaikan masalah. Pengundi di Wakaf Mempelam dan Parlimen Kuala Terengganu harus sedar mengenai hakikat tersebut bahawa selama ini mereka bukan sahaja ditipu, malah tertipu.

Cukuplah dengan kesilapan lalu. Itu nasihat saya. Kita perlu berubah untuk nasib kita. PRU sudah tidak berapa lama sahaja lagi. Oleh itu, sama-samalah kita fikirkan mengenainya.

Ahad, 18 Julai 2010

APA!... PERPADUAN MELAYU?

Assalamualaikum

Perpaduan Melayu?. PAS dan UMNO mahu bergabung, atau digabung?. Oh!, demi Melayu?. Ya, saya terlupa, Melayu sedang berpecah.

Ini topiknya yang mahu saya kupas selepas agak lama saya tidak mencatatkan sesuatu du laman blog saya ini. Insya’Allah, sekarang saya mempunyai waktu terluang untuk menulis kembali. Dan, selepas ini, saya kembali menulis seperti biasa di laman blog saya ini.

Saya kadangkala sudah naik mual dengan isu perpaduan PAS dan UMNO ini. Saya hanya melihat kesungguhan UMNO, namun tidak bagi PAS. Percaturan mudah. PAS kini merasa selesa untuk mendapat kuasa melalui “perkongsian dengan Cina dan India” yang mereka gelar kononnya sebagai “Tahlul Assiasi” padahal kerjasama sama yang dijalinkan UMNO dengan MCA dan MIC serta parti-parti bukan Islam lainnya sejak sekian lama.

Saya tidak nampak di mana PAS boleh menerima UMNO kerana mereka berpegang kuat dengan ajaran Islam cara mereka, bukannya dengan kaedah Islam yang sebenar. Pegangan yang kuat itulah bagi saya telah mengikat PAS agar tidak menerima UMNO dengan pelbagai alasan yang sengaja diciptakan.

Islam ala PAS boleh menghalalkan apa sahaja yang boleh membawa keuntungan politik walaupun ia jelas bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. Islam ala PAS juga mengajar agar bersatu jika ia tidak mendatangkan keuntungan politik kepadanya. Malah, berkawan dengan DAP yang menentang Islam secara terang-terangan itu pun PAS boleh benarkan.

Jadi di mana perpaduan yang dicari. PAS ini diibarat sebagai berjudi. Perpaduan itu adalah pertaruhannya. Kalau nak bersatu dengan UMNO, ini pertaruhannya, ini syaratnya. Kalau tidak, janganlah bermimpi nak bersatu dengannya.

Cakaplah soal kepentingan Melayu ke, kepentingan Islam kea tau apa sahaja, kalau politiknya rugi, maka PAS tidak tidak boleh terima. Namun kalau sesuatu itu menguntungkan politik mereka, cakaplah apa sahaja, yang diharamkan Islam pun boleh dihalalkan. Demikianlah PAS.

Oleh itu, sebagai seorang pemimpin kerdil, saya juga sebenarnya sangat berkeinginan untuk melihat perpaduan berlaku antara PAS dan UMNO. Seperti kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Al Ustaz Harussani Zakaria mengenai masa depan Melayu/Islam, saya sangat menyokong.

Namun, hasil daripada pemerhatian saya, saya tidak nampak perpaduan yang diinginkan boleh berlaku atau menjadi kenyataan berdasarkan sebab-sebab yang saya sebutkan tadi.

Bagi saya, selalunya orang Melayu ini, mereka hanya tergadah selepas terhantuk. Fikir-fikirkanlah ya.