Sabtu, 26 September 2009

ALAHAI DR, DATO' DAN DATO SERI

Gambar Hiasan
Salam bloger …

Tiba-tiba dalam kemeriahan kita menyambut hari Raya Aidilfitri, Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim telah melontarkan satu pandangan yang pada saya cukup kuat, bernas dan kena pada masanya.

Tidak lain dan tidak bukan dua isu yang dibangkitkan beliau ialah, pertama: pembelian ijazah kedoktoran falsafah (PhD) dan pemberian Darjah Kebesaran kepada mereka yang dianggap belum banyak menyumbang dan berjasa kepada negara serta negeri.

Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi itu mahukan Jabatan Peguam Negara memutuskan sama ada “pembelian” tersebut merupakan satu perbuatan jenayah atau sebaliknya.

Apabila wartawan Utusan Malaysia meminta saya memberikan pandangan, secara ikhlas dan tanpa sebarang prejudis saya menyatakan bahawa amat tidak wajar sebilangan anak muda yang di bawah umur 40 tahun telah mendapat anugerah Dato’ atau Dato’ Seri yang pada saya belum menyumbang apa-apa kepada negeri dan negara kecuali beberapa individu seperti jaguh-jaguh sukan yang telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Lantaran itu, saya telah mencadangkan agar diwujudkan satu piawaian khusus yang dinilai oleh sebuah Jawatankuasa Khas di bawah Bahagian Protokol Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri atas maksud untuk memastikan setiap anugerah yang diberikan mempunyai nilai yang cukup tinggi demi meletakkan institusi raja di tempat yang mulia dan terus dihormati.

Namun demikian, ramai juga yang tidak bersetuju dengan pandangan saya. Yalah, masing-masing mempunyai pandangan tersendiri dan secara jujur, saya juga amat menghormatinya.
Sahabat seperjuangan saya, Dato’ Saifuddin Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia beberapa hari lalu juga nampaknya tidak begitu bersetuju dengan pandangan saya dengan alasan Raja-Raja Melayu sudah semestinya mempunyai perkiraan sendiri dan kebijaksanaan dalam mengurniakan darjah kebesaran tersebut.
Namun, saya sebenarnya tidak pernah mempertikaikan kebijaksanaan Raja-Raja Melayu dalam hal tersebut. Namun, sejauh manakah jawatankuasa anugerah yang diberikan tanggungjawab mengenai perkara tersebut mempersembahkan maklumat yang tepat dan jelas ke bawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Al Sultan mengenai calon-calon yang bakal dikurniakan darjah kebesaran tersebut. Itulah persoalannya.

Terserahlah kepada anda untuk menilainya. Saya hanya melontarkan sesuatu yang ada di fikiran saya. Itu saja!.