Rabu, 26 Ogos 2009

DI MANAKAH TUKANG SEBAT

gambar hiasan

Salam Ramadan,

Agak riuh gulana mengenai isu Kartika Sari Dewi Shukarno, 32 yang dijatuhkan hukuman denda dan sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku meminum arak secara terbuka.

Pelbagai ulasan diberikan, tetapi nada paling banyak ialah mempertahankan Kartika. Walaupun tulisan ini agak berat untuk saya siapkan, namun demi kebaikan saya fikir perlunya saya memberikan teguran terhadap pelbagai pihak yang kini kian galak membuat komen.

Kartika tidak apa-apa dan sudah redha dengan hukuman yang dikenakan, malah dia difahamkan tetap bertegas tidak mahu mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu. Sebaliknya, “orang luar” pula yang lebih-lebih terutama orang politik – mungkin kononnya mahu membela kaum wanita.

Saya sangat bimbang dengan cara komen yang diberikan kerana harus diingat bahawa hukuman yang dijatuhkan itu adalah mengikut hukum Islam dan ia telah digubal oleh keranaan UMNO/BN sendiri. Janganlah kerana kita mahu mempertahankan kaum wanita sehingga kita lupa bahawa yang kita tentang itu ialah undang-undang Islam yang kita sendiri gubal dan kuatkuasakan.

Janganlah nanti kita diperlihatkan sebagai golongan yang jahil agama secara terang-terangan ketika memberikan komen tersebut dan sekaligus memberikan impak kepada kerajaan terutamanya UMNO. Siapakah yang hendak dipertahankan sedangkan yang dijatuhi hukuman sudah bersedia sedangkan kita pulak yang lebih-lebih. Mengapa?.

Begitu juga kenyataan kononnya kita masih belum ada tukang sebat, maka hukuman itu ditangguhkan. Tidakkah jawapan itu menggambarkan kejahilan dan kelemahan yang nyata?. Aneh sekali apabila undang-undang diwartakan tetapi pelaksananya tidak wujud atau tidak ada. Mengapa diwartakan undang-undang jika tiada tukang laksanakan?.
Mengapa baharu hari ini kita sedari bahawa kita tidak cukup orang untuk menjalankan hukuman sebat berdasarkan syariah. Marilah kita belajar daripada kesilapan semalam untuk kita pastikan kita tidak menjadi kepada penerus kesalahan pada masa hadapan.

Cukuplah, janganlah membuat kenyataan tanpa mempunyai pengetahuan yang dalam mengenai Islam. Jangan.

Saya khuatir selama ini Pas sentiasa mendakwa dan menuduh pemimpin UMNO tolak Islam dan tidak suka undang-undang Islam tetapi selepas berlaku kes Kartika, maka semakin jelas apa yang didakwa – ia disebabkan beberapa kerat pemimpin UMNO yang jahil tetapi mahu bercakap atau memberikan komen mengenainya.

Bagi saya, jika kita tidak tahu, maka adalah lebih baik kita diam. Mengapa kita mesti mempertahankan atau menentang sesuatu yang kita sendiri tidak memahaminya.