Ahad, 24 Mei 2009

USAH CEMARKAN GAGASAN SATU MALAYSIA

Salam bloger,

Gagasan Satu Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri kita, DS Mohd Najib Tun Razak sudah jelas menarik perhatian umum. Bagi pembangkang yang tidak pernah melihat kerajaan sebagai pihak yang betul di hati dan mata mereka, mereka ternyata gusar dengan gagasan tersebut yang dipercayai mampu menggugat sokongan rakyat kepada mereka. Jika begitu caranya, saya tidak pernah kisah langsung kerana mereka pembangkang dan sememangnya kerja pembangkang begitu – mengkritik dan memaparkan kerajaan sebagai salah.

Cuma, apa yang saya kesalkan apabila masyarakat kerajaan sendiri telah mentafsir gagasan besar itu mengikut persepsi sendiri tanpa memikirkan kesan di sebalik tafsiran mereka yang saya anggap hanya sarat dengan andaian semata-mata. Gagasan Satu Malaysia diwujudkan bukan di atas sifat menjaga kepentingan individu atau kumpulan tertentu. Sebaliknya ia adalah satu gagasan dalam melakarkan wajah Malaysia yang hebat melalui perpaduan kaum yang berteraskan kesepakatan selain menerima dengan tegas, muktamad dan jujurnya terhadap apa yang sudah pun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Secara jujur, saya amat terkilan dengan sesetengah pihak yang nampak secara jelas, bukan sahaja cuba mengelirukan Gagasan Satu Malaysia, malah dilihat sengaja menangguk di air yang keruh. Kenyataan MCA misalnya yang menggesa agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula biasiswa kepada pelajar-plajar cemerlang baru-baru ini atas alasan Satu Malaysia amat mendukacitakan. Saya benar-benar tidak faham, mengapa parti komponan BN sendiri seolah-olah tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami gagasan Satu Malaysia itu. Mengapa sampai jadi begitu?.

Apakah MCA telah lupa, atau sengaja mahu memejam mata, memekak telinga bahawa biasiswa kepada golongan Bumiputera adalah sesuatu yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia. Hakikatnya, gagasan Satu Malaysia bukan bermaksud mahu merombak sesuatu yang telah pun dipersetujui bersama dalam Perlembagaan Malaysia. Jika asas kepada suara yang digempakan itu berasaskan kemahuan mahu menjadi jaguh dalam kaum mereka, saya cadangkan kepada MCA agar memansuhkan semua Sekolah Cina agar semua pelajar dapat diletakkan di bawah satu bumbung. Bagaiamana?. Setuju?.

Ingat, bumi dipijak adalah milik kita. Saya bukan mahu mencetuskan sesuatu yang bersifat perkauman tetapi ini adalah hakikat yang mesti disemak semula bahawa semua pihak, apatah lagi dalam parti komponan BN agar lebih berhati-hati terhadap kenyataan yang telah dibuat. Sepatutnya kita semua mesti bersatu menterjemahkan gagasan ini mengikut acuan yang telah digariskan dan bukannya merombak apa yang sudah pun terbentuk dengan kuatnya.

Nasihat saya, usah terlalu terlajak dalam berkata-kata kerana kegagalan mengundurkannya semula akan hanya mendedahkan sesiapa sahaja kepada kehancuran. Percayalah….!

Tiada ulasan: