Ahad, 4 Oktober 2009

MERITOKRASI OH MERITOKRASI

Gambar hiasan
Salam perjuangan yang belum selesai,

Baru-baru ini, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melahirkan rasa kebimbangannya mengenai kurangnya pelajar Melayu di IPTA. Kebimbangan tersebut diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah yang mendedahkan bahawa pelajar Melayu berkurangan di bidang-bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, kejuteraan, farmasi, sains, perundangan dan perakaunan.

Tidak sampai pun 30 peratus berbanding pelajar bukan Melayu sejak pelaksanaan sistem meritokrasi pada tahun 1999. Kemudiannya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin pula menafikan kenyataan itu dengan menyatakan pelajar Melayu di IPTA sebenarnya lebih ramai di dalam bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Beliau juga menyatakan bahawa tidak menguasai bidang kritikal bukan bermakna mereka sukar mendapat pekerjaan.

Hari ini, Pro Canselor UiTM dan UPSI, Tan Sri Abdul Rahman Arshad pula membuat kenyataan agar pentafsiran meritokrasi perlu dilihat secara menyeluruh, bukannya disempitkan kepada aspek kelayakan akademik semata-mata tetapi perlu diperluaskan kepada peratusan kaum, lokaliti dan sosial ekonomi.

Saya bukanlah insan yang hebat dan layak memberikan ulasan terhadap empat kenyataan tokoh politik serta akademik itu. Namun sebagai orang yang ingin melihat pelajar dan bangsa Melayu juga bermain di padang yang sama dengan bangsa lain, tanpa menolak gagasan 1Malaysia, saya juga terpanggil untuk sama-sama mengulas mengenainya.

Sebenarnya, telah acapkali saya menyebutnya di mana-mana termasuk akhbar arus perdana, namun mungkin kenyataan tersebut datangnya dari insan kerdil yang hilang bersama angin dan ribut yang lebih hebat. Pada saya, apa jua gagasan atau wawasan, ia perlu berpaksikan kepada memperkasakan bangsa atau pelajar Melayu sebagaimana termaktub dalam perlembagaan yang sama-sama kita junjung.

Konsep keadilan perlu diutamakan dan bukannya kesamarataan. Dulu, Allahyarham Pak Nik Rashid, Mantan Pengarah UiTM telah acapkali mengingatkan kepada kita mengenai perbezaan antara keadilan dan kesamarataan. Dalam konteks memperkasakan Melayu, konsep keadilan perlu diutamakan, bukannya kesamarataan.

Kesimpulannya, selagi kita ada kuasa, buatlah apa sahaja demi menegakkan keadilan termasuk memperbanyakan kursus-kursus kritikal di UiTM di seluruh Negara dan memberikan keutamaan kepada lepasan Diploma UiTM untuk ke peringkat ijazah.

Tafsiran meritokrasi juga perlu adil kepada bangsa kita... ingat pemimpin politik dan akademi yang ditakdirkan Allah yang berada di atas sana.

Allah pasti mempersoalkan apakah anda telah melaksanakan amanah tersebut… Takkan kita sudah berbangga dengan pelajar kita ramai dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan dengan alasan walaupun tidak dibidang kritikal, mereka juga berpeluang untuk mendapat pekerjaan.

Pada saya, ini bukan soal pekerjaan tetapi maruah bangsa kita yang semakin terkebelakang jika kita tidak berbuat apa-apa untuk menambahramaikan pelajar kita di bidang kritikal…

Saya amat takut dengan pesanan orang tua-tua bahawa “jangan jadi pak kadok, menang sorak, kampong tergadai”.