Rabu, 19 Ogos 2009

TOLONGLAH HENTIKAN WABAK INI

Salam blogger,

Naik takut dibuatnya apabila mengikuti perkembangan kes selesema babi yang kian meningkat di negara kita. Kes baharu yang dilaporkan setiap hari kini sudah mencapai angka ratusan orang, manakala kes kematian sudah melebih 60 orang. Soalnya, adakah kita pernah terfikir mengenai perkembangan tersebut bakal berlaku di negara kita dengan keadaan sebegitu rupa?.

Ternyata, sama ada kita suka atau tidak, wabak tersebut berada di mana-mana, termasuklah di persekitaran kita. Maksudnya, ia boleh menimpa kita atau menjangkiti kita pada bila-bila masa sahaja. Jadi, apakah kita telah mengambil langkah-langkah pencegahan yang disyorkan pihak berkaitan?. Atau kita masih menyangka wabak tersebut tidak mungkin terkena kepada kita, maka kita menjadi rakyat yang tidak kisah mengenainya?.

Sudah semakin hampir seratus orang menjadi korban akibat selesema babi dan ribuan lagi telah diberikan rawatan. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan jutaan rakyat kita bakal dijangkiti penyakit berbahaya itu, manakala jumlah kematian boleh mencecah sehingga ribuan orang jika ia tidak ditangani dan dihadapi dengan sebaik mungkin. Keadaan ini boleh berlarutan antara enam hingga setahun lagi.

Berapa orangkah di kalangan kita yang takut mengenainya?. Dan, berapa orang pula yang mengambil langkah pencegahan segera bagi membendungnya daripada terus merebak. Pelajar sekolah atau institusi pengajian tinggi yang diarahkan pulang kerana rakan mereka dipercayai dijangkiti virus selsema babi misalnya tidak terus tinggal di rumah. Sebaliknya pelajar berkenaan menyifatkan keadaan itu sebagai cuti mereka, lalu mereka bebas ke mana-mana. Malah, ada ibu bapa yang mengajak anak-anak mereka itu pergi bercuti ke mana-mana.

Siapakah yang boleh mengesahkan bahawa pelajar terbabit bebas daripada selesema babi sedangkan rakan mereka di kampus telah dijangkiti. Jadi, perlu ada kaedah yang tegas dan jelas dalam hal ini. Pelajar sendiri jangan terlalu ghairah apabila diberikan cuti. Fikirkan risiko diri dan mereka perlu diberikan nasihat agar tidak keluar rumah dalam tempoh tertentu. Keadaan itu jika terus berlarutan, maka sampai bila pun penyebaran wabak ini tidak boleh diselesaikan.

Begitu juga dengan mereka yang demam dan menghidap selesema. Mereka ini kebanyakannya takut ke klinik atau hospital kerana bimbang disahkan dijangkiti virus tersebut. Kononnya mungkin mereka malu jika dijangkiti walaupun hakikatnya penyakit itu mesti dirawat dan diambil tindakan agar tidak merebak.

Sebenarnya, kitalah yang mempunyai kebolehan dalam menyelesaikan isu yang berlaku. Kita yang boleh tentukan. Kita tidak boleh mengharapkan sesiapa lagi. Nak harapkan orang politik?. Tak payahlah!.

Mereka sibuk memikirkan soal parti mereka berbanding rakyat. Bagi mereka, apa nak jadi kepada rakyat, mereka peduli apa. Mereka tidak mahu memperkatakan mengenainya kerana politik telah mengatasi segala-galanya. Tengoklah mereka yang mendakwa pejuang Islam. Jika ada puak mereka dikenakan tindakan, maka cepat-cepatlah mereka anjurkan solat hajat tetapi bila rakyat sedang berhadapan dengan suasana begini, apa pula yang mereka buat. Nak buat solat hajat?. Entahlah.

Jadi, rakyat kena bergerak sendiri. Kita mesti tahu meletakkan diri dan mengawal diri agar virus merbahaya ini tidak terus merebak lagi. Tolonglah, saya rayu kepada anda semua agar memainkan tanggungjawab masing-masing. Jika kita semua ada peranan dan tanggungjawab, wabak ini tidak mungkin merebak lagi.