Isnin, 19 Julai 2010

APA SUDAH JADI

Assalamualaikum.

Dalam diam, kita semakin mendekati Ramadhan. Dan, ia juga telah menggambarkan betapa sebenarnya waktu terlalu pantas menghambat kita. Segala-galanya berlalu, kadangkala tidak kita sedari.

Hari ini saya cuma ingin menyentuh mengenai sesuatu yang telah kita tinggalkan hampir tujuh bulan yang lalu. Walaupun ia telah menjadi sejarah dan sejarah itu pula masih lagi mentah, maka ada baiknya untuk kita mengingatkannya kembali.

Ya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu yang diadakan pada 18 Januari lalu semakin hari, semakin hilang dari ingatan kita. Dan, hari ini saya ingin memperkatakan.

Seperti yang kita tahu, pengundi di Parlimen Kuala Terengganu telah memilih calon PAS, Haji Abdul Wahid Endut sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan dengan memperolehi sebanyak 32,883 undi menewaskan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang mendapat 30,
252 undi. Pilihan raya kecil tersebut terpaksa diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Haji Razali Ismail yang sememangnya terkenal sebagai tokoh yang sangat hebat dalam semua perkara.

Hari ini, tujuh bulan hampir berlalu dalam tahun 2010 ini. Apakah yang ada di Kuala Terengganu hasil usaha, sumbangan dan kerja yang dilaksanakan wakil rakyat baharu yang mereka pilih. Anda sendiri boleh melihatnya apa yang ada. Malah, tidak keterlaluan kalau saya katakan, Ahli Parlimen Kuala Terengganu hanya makan gaji buta sahaja.

Saya tidak faham bagaimana cara orang kita berpolitik, Calon pembangkang di PRK Kuala Terengganu adalah ADUN Wakaf Mempelam. Maksud saya, dia telah lama menjadi wakil rakyat di situ dan rekodnya boleh dilihat. Umum tahu bahawa Wakaf Mempelam terus begitu sejak dulu. Tidak ada apa pun yang PAS buat melainkan ia adalah sumbangan kerajan BN. Namun, pengundi tetap memilih calon PAS. Begitulah agaknya cara orang kita berpolitik.

Biarlah. Peristiwa itu telah berlalu. Cuma hari ini saya mahu mengajak anda berfikir apa yang terjadi di Parlimen Kuala Terengganu dan Dun Wakaf Mempelam sekarang ini. Apakah ia pesat membangun?. Adakah kebajikan rakyatnya diberikan perhatian atau sentiasa terbela?.
Bagaimana dengan kemudahan-kemudahan asasnya?. Apakah segala janji yang dilontarkan wakil rakyat PAS itu telah terkota sehingga sekarang?

Inilah beberapa persoalannya yang mungkin baik untuk kita merenung dan menilainya semula. Rata-rata, banyak kekurangan di Wakaf Mempelam, apatah lagi Kuala Terengganu.

Dalam hal ini, saya sangat percaya kepada perubahan. Hanya itu yang boleh menyelesaikan masalah. Pengundi di Wakaf Mempelam dan Parlimen Kuala Terengganu harus sedar mengenai hakikat tersebut bahawa selama ini mereka bukan sahaja ditipu, malah tertipu.

Cukuplah dengan kesilapan lalu. Itu nasihat saya. Kita perlu berubah untuk nasib kita. PRU sudah tidak berapa lama sahaja lagi. Oleh itu, sama-samalah kita fikirkan mengenainya.