Rabu, 15 April 2009

SELAMAT DATANG TS MUHYIDDN, TERIMA KASIH DS HISHAMUDDIN

Salam Bloger ..

Tidak lain yang bermain di bibir selain rasa syukur dan bangga yang tidak terhingga apabila YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri telah dinamakan oleh PM sebagai Menteri Pelajaran. Tidak pernah berlaku di dalam sejarah, tetapi itulah yang diumumkan. Terkejut pun ada, terharu pun ada dan segala-galanya yang berwajah kegembiraan terbuku di hati ini.

Sebagai seorang pemimpin gerakan pelajar, pelantikan YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin adalah satu pengiktirafan yang tinggi terhadap bidang pendidikan negara. Juga kepada warga pendidik di negara ini. Ia sudah tentu membuktikan betapa kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberikan keutamaan soal memperkasakan kecemerlangan ilmu dan pendidikan rakyat.

Sebagai seorang tokoh yang pernah terbabit secara langsung dengan Kementerian Pendidikan (Pelajaran), Perdana Menteri kita pastinya lebih memahami tuntutan dalam sektor tersebut. Maka kerana itu beliau menamakan Timbalannya sebagai Menteri Pelajaran. Saya amat optimis dan yakin dengan kemampuan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau mampu berperanan dengan sebaiknya.

Mengapa saya dan rakyat serta warga pendidikan gembira?. Sebabnya ialah, yang akan menerajui kilang memproses modal insan berminda glokal berakarkan akal ini adalah Timbalan Perdana Menteri Malaysia, sekaligus menggambarkan kepada kita bahawa YAB Datuk Seri Najib meletakkan harapan yang cukup tinggi bagi memastikan hasrat dan wawasan membina SATU MALAYSIA akan dapat dilunasi melalui kementerian ini.

Saya penuh yakin, berdasarkan pengalaman saya berinteraksi dengan YAB Menteri Pelajaran Malaysia ini ketika beliau menjadi AhIi Lembaga Penasihat GPMS di bawah kepimpinan Dato’ Suhaimi Ibrahim (saya Setiausaha Agung GPMS ketika itu), YAB Tan Sri Muhyiddn Yassin banyak memberikan pandangan dan wawasan beliau mengenai bagaimana untuk mencorakkan landskap negara di masa depan dengan menekankan bahawa pendidikan merupakan tunjang dan akar yang cukup penting dan mencabar.

Anda lihatlah nanti, apa pembaharuan yang akan dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan saya yakin, anda juga pasti bangga dengannya. Apatah lagi, sektor pendidikan kini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran semasa, yang kadangkalanya dilihat agak kritikal. Kerajaan telah membuktikan bahawa mereka amat serius dalam soal pendidikan rakyat, maka menjadi tanggungjawab kitalah memberikan sokongan kepada usaha tersebut.

Kita tidak boleh menjadi golongan pengkritik sahaja – selama-lamanya kita tidak boleh begitu – sudah sampai masanya kita memberikan sokongan, kerjasama dan komitmen dalam menjayakan agenda besar bidang pendidikan negara. Ayuh, sepakatlah kita dalam membina generasi terbilang melalui perkasaan ilmu dan pendidikan ini. Inilah waktu, untuk kita menjadi rakyat dan bangsa yang sepakat, membulat tekad dan terus mendokong perjuangan sebenar yang dibawa YAB Tan Sri Muhyiddn Yassin ini.

Dalam pada itu, saya amat berbangga kepada bekas Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang telah berjaya mengemudi kementerian itu dengan cemerlang bersama Gagasan PIPP sebagai sumber rujukan penting ke arah memperkasakan pendidikan negara. Beliau telah berjaya berhadapan dengan menangani pelbagai isu-isu di sepanjang perkhidmatan beliau dan sudah tentu, saya amat bangga dengannya.

Semoga, bidang pendidikan negara akan terus cemerlang dan dipandang hebat … demi kita dan generasi kita.

NAJIB DAN KARENAH MCA

Salam Bloger ..

Tahniah saya ucapkan kepada YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-6 pada 9 April lalu. Ia sudah tentu menjadi detik penting dan bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia. Terkenal dengan sikap tegas dan gigih serta mementingkan rakyat, pelantikan Datuk Seri Mohd Najib adalah sesuatu yang tepat untuk rakyat.

Sejak pelantikan tersebut, pelbagai pihak telah memberikan pandangan dalam pelbagai persepsi sebagai reaksi. Apa yang pasti, semua itu adalah menarik perhatian dan menandakan kepimpinan Datuk Seri Najib adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu. Itulah yang mengembirakan.

Pada saya, walau apa pun pandangan tersebut, semuanya terkandung harapan yang tinggi agar kabinet baru ini mampu membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik lagi dan akan memberikan manfaat kepada rakyat sama ada di kota-kota besar maupun desa-desa terpencil di Sabah dan Sarawak. Ia juga adalah selaras dengan komitmen Perdana Menteri melalui moto “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Sebagai rakyat Malaysia dan pengundi pada Pilihanraya Umum Ke-12 lepas, saya juga mempunyai pandangan tersendiri mengenai pembentukan kabinet baru itu walaupun mungkin berbeza dengan anda. Saya amat terkejut dan terkilan apabila sehari sebelum pengumuman dibuat, Majlis Presiden MCA telah membuat ketetapan dan meminta YAB Perdana Menteri mengekalkan jumlah menteri dan Timbalan Menteri MCA daripada empat kepada enam. Hebat!...

UMNO yang menang kerusi terbanyak di Parlimen dalam komponan BN pun tidak melakukan perkara yang sama. Persoalannya, mengapa dalam soal pengagihan kerusi kabinet, MCA begitu ghairah memberikan tekanan kepada Perdana Menteri tetapi dalam soal menambat hati pengundi Cina setakat mana?. Apa sudah jadi di Bukit Gantang, di Bukit Selambau dan di mana juga.

Parti-parti komponan dari Sabah dan Sarawak, nadi utama kepada kerajaan masih beradab dalam memberikan pandangan. Beberapa hari sebelum pengumuman kabinet baru, lebih mengejutkan saya dengan permintaan di luar tabiee, meminta jawatan TPM Kedua di kalangan Presiden Parti Komponen Barisan Nasional!!... Pun hebat.

Saya fikir sebagai rakyat Malaysia, tidak keterlaluan saya mengingatkan kepada sesetengah daripada ‘parasit’ dan ‘duri dalam daging ‘ agar berhati-hati di dalam memberikan pandangan supaya ia tidak menimbulkan kegelisahan orang lain atau lebih parah lagi jangan sampai menimbulkan rasa marah dan mual yang akhirnya tidak akan menguntungkan sesiapa…..

MALAYSIA DIPIJAK MILIK KITA