Isnin, 8 September 2008

UPSR: KEJAYAAN ANAK-ANAK, KITALAH PENDORONGNYA


Alhamdulillah, kita baru sahaja selesai Sembahyang Terawih yang ke-sembilan malam tadi dan semoga Allah terus memberikan hidayah kepada kita untuk terus menunaikan Sembahyang Terawih sehingga penghujung Ramadhan nanti. Alhamdulillah kita sama-sama dapat menyempurnakan ibadah puasa dengan sebaik-baiknya.


Hari ini, 9 September 2008 bermulalah satu detik penting kepada anak-anak kita. Mulai hari ini, mereka akan menempuh satu perjuangan yang getir bagi peperiksaan UPSR, ujian pertama kepada pendakian seterusnya ke puncak kecemerlangan ke arah membina modal insan berminda kelas pertama.


Saya percaya bahawa walaupun ujian tersebut dilalui ketika Ramadan masih berbaki, namun ia tidak penah mematahkan semangat anak-anak yang pastinya telah bersedia lebih awal untuk berhadapan dengan cabaran ini. Sebagai umat Islam, Ramadan bukan sahaja menjanjikan pelbagai fadilat, malah cabaran pada bulan ini juga mampu membuatkan kita kuat dalam semua perkara.


Saya mendoakan, kita memperolehi banyak keberkatan daripada Ramadan ini untuk anak-anak kita berjaya. Sebenarnya tidak ada yang mustahil sama sekali.


Justeru itu, sebagai ibu bapa terbilang, jom kita temani anak-anak kita ke sekolah kerana kehadiran kita akan memberikan kekuatan dan semangat kepada mereka untuk berjuang di dewan peperiksaan. Perkara itu sememangnya nampak mudah tetapi ia amat sukar untuk dilakukan oleh segelintir ibu bapa pelajar.


Namun, dengan kehadiran Ramadan ini, kita berikan rangsangan dan dorongan kepada mereka, semoga mereka akan lebih yakin untuk menjawab setiap soalan dengan penuh ketenangan. Saya percaya, kekuatan anak-anak kita memasuki dewan peperiksaan juga ada pada kita. Kehadiran kita sebagai ibu bapa kepada mereka akan menyebabkan semangat mereka terus membara, mahu membuktikan kejayaan kepada kita dan ingin menjadi pelajar yang hebat.


Saya gembira kerana melihat calon yang bakal menduduki UPSR yang saya temui tidak merasa takut, bermasalah atau bimbang dengan situasi di bulan Ramadan ini. Malah dari segi persediaan, saya nampak mereka sudah lebih bersedia dengan hebatnya, manakala keyakinan yang diberikan juga cukup meyakinkan.


Akhirnya, saya menyarankan kepada ibu bapa dan saya sendiri agar meluangkan waktu emas ini, di saat yang agak getir buat anak-anak tercinta untuk kita sentiasa bersama mereka memberikan rangsangan dan dorongan tanpa henti.


Teruskanlah perjuangan untuk anak-anak kita itu. Kejayaan mereka pastinya menjadi kebanggaan kita juga. Suburkan semangat itu di setiap sanubari anak-anak yang kita sayangi bahawa mereka mampu berjaya dengan cemerlangnya.


Selamat menduduki peperiksaan UPSR kepada anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang.


Salam Hormat.


DISIPLIN PELAJAR, DI MANAKAH KITA


Salam Ramadhan,

Syukur hari ini saya dapat terus menulis di laman ini untuk tatapan anda semua. Saya rakamkan ucapan terima kasih kepada anda kerana sudi membaca dan berkongsi idea serta pandangan mengenai pelbagai isu-isu pendidikan di negara ini.

Hari ini saya ingin mengajak anda berfikir mengenai satu isu yang mungkin dipandang remeh oleh sebahagian daripada kita tetapi ia sebenarnya amat membimbangkan jika tidak atau gagal ditangani dengan sebaik mungkin. Isu pelajar-pelajar yang dikenakan tindakan buang sekolah. Itulah topik yang hendak saya kongsikan dengan anda hari ini.

Sebagaimana yang kita sedar dan sedia maklum bahawa pelajar yang didapati melakukan kesalahan disiplin dan diambil tindakan buang sekolah, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Jabatan Pelajaran Negeri bagi membolehkan mereka kembali ke sekolah. Sudah menjadi perkara biasa, rayuan pelajar berkenaan diterima dan mereka akan ditempatkan di sekolah lain yang difikirkan sesuai. Maksudnya, mereka tidak lagi meneruskan pelajaran di sekolah lama.

Dan, itulah situasi yang telah sekian lama berlaku tetapi ia mungkin terlepas pandang oleh kita, apatah lagi kalau kita bukannya dalam golongan pendidik. Sebenarnya, apa yang berlaku itu telah menambahkan masalah sedia ada di sekolah berkenaan dan kadang-kala mereka ini akan bergabung dengan spesis yang sama dengan mereka.

Dan apabila itu berlaku, ia telah mendedahkan sekolah tersebut kepada masalah disiplin yang lain. Justeru, ia tidak menyelesaikan masalah. Malah dalam keadaan tertentu, ia bakal menimbulkan masalah yang baru. Apakah itu wajar? Sama-sama kita fikirkan, jangan kita hanya lambakkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memikirkannya……..MALAYSIA OH TANAH AIRKU