Isnin, 22 Jun 2009

INILAH WAKTUNYA ...

Salam bloger …

Akhir, segala apa yang diteka-tekikan sudah pun terjawab, yang dinanti sudah pun diketahui. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, DS Hishamuddin Tun Huseein telah mengumumkan rombakan badan itu dengan melantik tiga pemimpin kanan yang baharu. Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu yang juga Speaker DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebagai Setiausaha bagi menggantikan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek kembali diberikan tugas berat sebagai Ketua Penerangan menggantikan Datuk Zuber Embong, manakala Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahin Said pula dilantik sebagai Bendahari, menggantikan Datuk Ruslan Awang Chik.

Sememangnya setiap yang ditunggu agak lama jawapannya, akan membuahkan reaksi yang berbeza selepas ia diumumkan. Ada yang menyokong dan ada pula yang tidak senang dengannya. Namun bagi saya, setiap keputusan tidak mungkin akan dapat memuaskan semua hati dan perasaan. Penolakan dan persepsi negatif adalah sesuatu yang tidak mampu terbendung dan dielakkan. Sebagai pemimpin parti di peringkat bawah, saya mahu melontarkan pandangan tersendiri dalam menilai dan merumuskan apa yang telah diumumkan.

Pelantikan Datuk Tengku Putera sememangnya tepat dan layak. Beliau adalah seorang bekas Ahli Parlimen dan ADUN (pernah dilantik sebagai exco). Selain itu, beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO Negeri yang sudah tentu akan memberikan banyak kelebihan kepada beliau bagi menjawat jawatan tersebut. Bagi saya, Datuk Tengku Putera adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar kerana beliau adalah seorang yang sentiasa setia dan taat kepada parti walau apa pun keadaannya.

Saya tidak berpandangan sebarangan. Lihatlah ketika beliau tidak dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Kewangan, beliau tidak pernah melenting dan menghadapinya dengan tenang serta terus memberikan tumpuan kepada parti. Tidak dipilih bertanding sebagai calon pada PRU-12, beliau juga tetap bekerja untuk parti sehingga BN menang agak selesa di Hulu Terengganu. Dan, apabila seolah-olah “diturunkan pangkat” daripada Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan kepada Setiausaha Badan Perhubungan, itu pun beliau tidak pernah kisah. Saya yakin, Datuk Tengku Putera pasti sedar bahawa apa yang penting ialah betapa kepercayaan yang diberikan kepada beliau adalah sesuatu yang wajib beliau pikul.

Datuk Ahmad Shabery Cheek, siapa yang tidak kenali beliau. Seorang tokoh yang hebat dengan pidatonya dan pernah menjadi Menteri Penerangan sebelum dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan. Tentu sekali beliau boleh menggunakan segala kelebihan itu untuk melatih seberapa ramai kader UMNO untuk menjadi pemidato yang bagus dan hebat sepertinya. Saya percaya beliau berkebolehan dan berkemampuan kerana Datuk Ahmad Shabery juga pernah memegang jawatan tersebut sebelum ini.

Penerbitan akhbar rasmi UMNO negeri, Terengganu Bestari di era beliau misalnya adalah petanda betapa beliau adalah seorang yang serius dengan tanggungjawab yang diberikan.

Oleh itu, apa lagi yang kita tunggu. Ayuh kita gerakkan segera segala kekuatan jentera penerangan parti agar segera bersiap-siaga menghadapi apa jua peristiwa, sama ada dari segi sumber manusianya, isunya dan gerak sarafnya. Sememangnya rakyat mahu melihat UMNO kembali kuat di Terengganu dan mereka jelas agak kurang selesa dengan beberapa peristiwa yang berlaku sebelum ini. Oleh itu saya berharap, keputusan yang diumumkan DS Hishamuddin itu bukan sahaja akan diterima baik oleh semua pihak tetapi bakal menjadi satu petanda bermula satu era baru UMNO Terengganu ke arah mengekalkan kuasa pemerintahan di negeri itu pada PRU yang ke-13 akan datang.

Rakyat hanya meletakkan harapan kepada UMNO/BN untuk membela nasib mereka. Maka, hargailah harapan rakyat dengan menterjemahkannya melalui usaha memperkukuh, memperkuat dan memenangkan parti keramat ini, insya’Allah.