Jumaat, 8 Mei 2009

CATATAN MENJELANG SUBUH


Assalamualaikum …

Sejak kebelakangan ini, kemunculan isu-isu politik khususnya di Terengganu telah menarik minat yang berganda buat kita semua. Saya adalah antara manusia yang teruja dengan isu-isu yang berlaku. Sama ada, ia adalah satu andaian, persepsi atau kenyataan, ia terpulanglah kepada penilaian kita. Di Terengganu, isu untuk menukarkan pemimpin telah sejak sekian lama terdendang dan ia telah menjadi satu isu yang masih diperkatakan hingga ke hari ini.

Walaupun apa yang dikata, masih belum terkota, minat untuk melihat berlakunya apa yang dikatakan sebagai satu perubahan kian membara. Sama ada, ia hanya sekadar perencah politik atau apa sahaja yang boleh dimaksudkan sama dengannya, menukar pemimpin bukan seperti kita menukar baju. Rakyat tidak boleh terlalu sempit dalam membuat penilaian dan mencatatkan kemahuan tanpa memikirkan segala-galanya.

Saya melihat, perkembangan politik di Terengganu hari ini masih tidak sihat. Bukannya saya mahu mempersoalkan atau menyokong sesiapa, tetapi bagi saya, menukar pemimpin bukanlah jawapan yang muktamad kepada persoalan yang berbangkit. Yang penting ialah misi Perdana Menteri kita bahawa akyat didahulukan. Jika itu dapat dilaksanakan, maka yang lain sudah lagi tidak penting lagi. Saya sedar, kadangkala kita berjuang di atas nama kebenaran tetapi apa ertinya perjuangan itu jika ia akan hancur mendedahkan sesuatu yang tidak sihat kepada rakyat.

Saya bimbang dengan kuasa rakyat yang sedang meneliti dan memerhati perkembangan yang berlaku. Janganlah sampai, kita menang sorak tetapi kampung tergadai. Musuh politik kita sedang menanti dengan minatnya untuk mengambil alih kuasa yang tidak sepatutnya kita berikan kepada mereka. Adakah kita tergamak begitu. Jika tidak mahu, kita perlulah berkorban. Kita kena lebih matang dan bijak dalam mengurus politik kerana kepentingan mesti diberikan kepada rakyat dan bukannya soal kedudukan. Pemimpin boleh silih berganti tetapi jika parti kita dilucutkan kelayakan oleh rakyat daripada berkuasa, ia belum tentu dapat bersilih lagi. Apa yang telah dan sedang lakukan akan tersekat dan disekat. Itu yang kita takutkan.

Saya berharap, rakyat di negeri saya memahami keadaan tersebut dan segera menghentikan polemik yang merugikan. Marilah kita fokus kepada amanah yang telah diberikan untuk melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin demi rakyat dan negeri. Kita mesti sepakat dan bertekad untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat. Itu harapan yang amat besar dari rakyat kepada kita semua.

Sedarlah hakikat itu dan jangan biarkan kita menerima hukuman rakyat pada PRU akan datang. Itu saja!

HAJI HADI DAN LABU-LABUNYA

Assalamualaikum …

Jangan Uji Kesabaran Pas. Itu kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagaimana dipetik media sebagai komen terhadap perkembangan politik murahan Pas menjelang Muktamar Agungnya bulan depan. Jika ditanya kepada saya, ia bukanlah sesuatu yang pelik pun. Sebabnya, DS Abdul Hadi adalah seorang ulama politik yang perjuangannya ada kepentingan dan bukannya berasaskan kepada nilai kejujuran keikhlasan.

Maksud saya, beliau akan mempertahankan sesuatu yang ada kaitan dengan kepentingannya. Sebab itu, jika disoal kepada saya siapakah yang paling layak mentadbir Pas, sama ada ulama atau profesional, saya katakan kedua-duanya langsung tidak mempunyai kelayakan. Jika ulama yang mentadbir, ulama politik Pas akan hanya mentafsir agama mengikut selera dan kepentingan mereka sahaja. Mereka tidak akan sama sekali menyatakan kebenaran jika kebenaran itu merencatkan kepentingan politik mereka. Dan, yang lebih menyedihkan ialah, ulama politik Pas sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kepentingan termasuk mempertahankan manusia yang berbogel, menderhaka kepada Raja, berbohong, suka menfirnah dan sebagainya.

Begitu juga dengan profesional. Pun sama. Sifat mereka sama apabila disebut Pas. Nama partinya Islam dan pakaiannya Islam tetapi akhlak pemimpinnya jauh terpesong dan tersasar daripada ajaran Islam. Jadi, kenyataan DS Abdul Hadi yang telah memberikan amaran kepada “orang luar” supaya tidak menyibuk mengenai perkembangan terkini dalam Pas adalah luahan perasaan bimbang mengenai persepsi negatif rakyat terhadap parti itu sejak kebelakangan ini.

Jika anda ingat, DS Abdul Hadi juga selalu menjadi penyibuk nak ulas itu dan ini mengenai Perhimpunan Agung UMNO setiap kali ia berlangsung. Apa kes dan apa kena mengena DS Abdul Hadi dengan UMNO yang dia dok sibuk nak ambil tahu. Jadi, bila orang lain sibuk mengenai Pas, apa hak dia nak halang pulak. Saya fikir, DS Abdul Hadi kini khuatir dan bimbang dengan polemik kepimpinan Pas yang menterjemahkan mesej di akar umbil parti itu yang tidak lagi mempercayai kepimpinan beliau. Malah, tidak pernah berlaku di kalangan puak Pas yang tergamak mengkritik secara terbuka mengenai DS Abdul Hadi yang sebelum ini dipercayai secara taksub kerana dia dianggap Tok Guru (walaupun cap ayam).

DS Abdul Hadi bagaikan sudah bimbang dengan pengaruhnya yang sudah kian susut dan tidak disenangi di kalangan ahli Pas sendiri. Kepimpinan beliau menerima tempias yang amat negatif. Jadi, sebelum dia dijatuhkan, baik dia berundurlah. Habis cerita.

Maka tidak hairanlah jika DS Abdul Hadi sendiri terpaksa menarik bali kenyataannya mengenai Kerajaan Perpaduan yang menjadi isu hangat di dalam Pas hari ini. Dan, selepas melihat kedudukannya kian tergugat, maka itulah keputusan yang dibuat. Saya dah katakan bahawa ulama politik, mereka boleh bertabiat auta tanpa malu dan segan. Segala-galanya boleh berubah dan diubah mengikut selera mereka sahaja.

Anda fikirlah sendiri, saya tidak mahu menulisnya dengan panjang mengenai isu ini.