Khamis, 23 September 2010

KEBIADABAN YANG BERULANG

Assalamualaikum

Kumpulan BENDERA di Jakarta buat hal lagi. Mereka berdemonstrasi lagi di kedutaan Malaysia di sana. Cuma, kali ini agak teruk lagi apabila mereka “menyerang” kediaman Duta Malaysia di sana dan mengancam agar duta kita meninggalkan Indonesia.

Jika dulu isu perairan, kali ini isu wanita amah Indonesia yang didera dan dirogol pula.

Sebenarnya saya tidak segan dan malu lagi untuk menyatakan manusia yang sefikiran dengan puak BENDERA adalah golongan yang bodoh, cetek akal dan tiada maruah kerana telah menggunakan pendekatan yang salah dalam menangani apa jua peristiwa yang berlaku.

Mengapa mereka begitu berani dan mengapa gerakan anti Malaysia di sana tidak pernah terhenti?. Apakah mereka tidak fikir nasib rakyat Indonesia yang berada di Malaysia?. Mungkin mereka tidak kisah barangkali.

Saya bukan bermaksud untuk menyatakan kita harus memberikan ancaman kepada rakyat Indonesia di sini tetapi saya sangat khuatir jika rasa muak, bosan dan meluat rakyat Malaysia dengan perangai puak BENDERA akan mengundang hal-hal yang tidak diingini.

Saya hanya mahu melahirkan kebimbangan ini kerana hal yang tidak baik jika dibiarkan berterusan, maka ia akan mendedahkan kepada keadaan yang tidak sepatutnya. Mesej saya ialah, kejadian seperti itu mesti dihentikan segera. Dalam hal ini, pihak berkuasa Indonesia mesti mengambil tindakan tegas bagi memastikan ianya tidak berlarutan lagi.

Tidak ada jalan pintas bagi menanganinya. Perundangan yang lemah di Indonesia telah memberikan banyak ruang kepada golongan murahan di Jakarta dan beberapa wilayah di Indonesia untuk terus menganjurkan satu gerakan yang langsung tidak berfaedah kepada mereka.

Bagi pihak Malaysia pula, mesej yang lebih tegas dan jelas mesti disampaikan kepada Indonesia agar mereka memahami dan menghormati sensetiiviti rakyat Malaysia berhubung isu-isu berkaitan.

Saya merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa tahap kesabaran rakyat Malaysia ada batasnya. Maka usaha yang tegas mesti dilakukan dengan segera bagi memastikan ia tidak berulang.

Pada masa yang sama, kerjasama penerangan antara kedua-dua negara mestilah dipereratkan bagi memastikan masyarakat di Indonesia memperolehi maklumat yang tepat mengenai setiap isu. Saya tidak nampak mengapa usaha sedemikian tidak boleh diwujudkan.

Melalui kaedah kerjasama melalui pelbagai saluran, saya fikir ia akan cukup membantu.

Saya amat berharap agar isu demonstrasi anti Malaysia ini akan segera dihentikan. Kita tidak boleh memandangnya sebelah mata lagi. Ini bukan masanya.

Saya percaya, harapan saya ini adalah sesuatu yang dikongsikan bersama seluruh masyarakat Malaysia dan sebahagian besar masyarakat di Indonesia.