Ahad, 30 Ogos 2009

SEMINGGU BERLALU DI BULAN RAMADHAN

Salam Bloger …

Alhamdulillah, selepas lebih seminggu kita yang taat kepada tuntutan agama telah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan Al Mubarak ini dan harapnya bukan sekadar lapar serta dahaga sahaja yang kita dapat pada bulan ini.

Alhamdulillah minggu pertama Ramadhan ini, tiada apa-apa isu yang boleh terus memecahbelahkan agama dan bangsa kita. Syukur. Cuma, mungkin isu sedikit panas apabila bekas model sambilan, Kartika Seri Dewi Shukarnor yang tiba-tiba menjadi popular dek dosa meminum arak di khalayak ramai.

Dia bertambah glamour dan popular selepas hukuman sebat yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan terhadapnya terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab yang saya sendiri malu untuk mencatatkan di sini. Biarlah.

Semoga tiga minggu mendatang ini lebih tenang dan harmoni tanpa sebarang isu politik berkepentingan disogokkan ke halwa telinga kita. Sekurang-kurangnya bulan Ramadhan ini dijadikan “bulan gencatan mencaci dan menghukum sesama kita”. Juga semoga tiga minggu mendatang, kita akan dapat mempertingkatkan ibadah, mencari keredhaan ilahi dan bukannya menyibukkan diri dengan keluarga untuk membuat persiapan ketibaan Syawal.

Mungkin itu juga penting, namun peluang memperolehi fadhilat di sepanjang Ramadhan adalah sesuatu yang tidak wajar kita lepaskan.

Semoga bulan Ramadhan ini kita sama-sama mengingati orang-orang yang kurang berkemampuan dan anak-anak yatim yang memerlukan sumbangan kita. Sesungguhnya Allah akan menambahkan rezeki kita jika kita sentiasa membantu mereka yang memerlukan.

Saya mengajak diri saya dan sahabat blogger untuk sentiasa bersyukur dengan segala kenikmatan yang Allah kurniakan sejak dulu, kini dan insya’Allah selama-lamanya. Amin.


Rabu, 26 Ogos 2009

DI MANAKAH TUKANG SEBAT

gambar hiasan

Salam Ramadan,

Agak riuh gulana mengenai isu Kartika Sari Dewi Shukarno, 32 yang dijatuhkan hukuman denda dan sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku meminum arak secara terbuka.

Pelbagai ulasan diberikan, tetapi nada paling banyak ialah mempertahankan Kartika. Walaupun tulisan ini agak berat untuk saya siapkan, namun demi kebaikan saya fikir perlunya saya memberikan teguran terhadap pelbagai pihak yang kini kian galak membuat komen.

Kartika tidak apa-apa dan sudah redha dengan hukuman yang dikenakan, malah dia difahamkan tetap bertegas tidak mahu mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu. Sebaliknya, “orang luar” pula yang lebih-lebih terutama orang politik – mungkin kononnya mahu membela kaum wanita.

Saya sangat bimbang dengan cara komen yang diberikan kerana harus diingat bahawa hukuman yang dijatuhkan itu adalah mengikut hukum Islam dan ia telah digubal oleh keranaan UMNO/BN sendiri. Janganlah kerana kita mahu mempertahankan kaum wanita sehingga kita lupa bahawa yang kita tentang itu ialah undang-undang Islam yang kita sendiri gubal dan kuatkuasakan.

Janganlah nanti kita diperlihatkan sebagai golongan yang jahil agama secara terang-terangan ketika memberikan komen tersebut dan sekaligus memberikan impak kepada kerajaan terutamanya UMNO. Siapakah yang hendak dipertahankan sedangkan yang dijatuhi hukuman sudah bersedia sedangkan kita pulak yang lebih-lebih. Mengapa?.

Begitu juga kenyataan kononnya kita masih belum ada tukang sebat, maka hukuman itu ditangguhkan. Tidakkah jawapan itu menggambarkan kejahilan dan kelemahan yang nyata?. Aneh sekali apabila undang-undang diwartakan tetapi pelaksananya tidak wujud atau tidak ada. Mengapa diwartakan undang-undang jika tiada tukang laksanakan?.
Mengapa baharu hari ini kita sedari bahawa kita tidak cukup orang untuk menjalankan hukuman sebat berdasarkan syariah. Marilah kita belajar daripada kesilapan semalam untuk kita pastikan kita tidak menjadi kepada penerus kesalahan pada masa hadapan.

Cukuplah, janganlah membuat kenyataan tanpa mempunyai pengetahuan yang dalam mengenai Islam. Jangan.

Saya khuatir selama ini Pas sentiasa mendakwa dan menuduh pemimpin UMNO tolak Islam dan tidak suka undang-undang Islam tetapi selepas berlaku kes Kartika, maka semakin jelas apa yang didakwa – ia disebabkan beberapa kerat pemimpin UMNO yang jahil tetapi mahu bercakap atau memberikan komen mengenainya.

Bagi saya, jika kita tidak tahu, maka adalah lebih baik kita diam. Mengapa kita mesti mempertahankan atau menentang sesuatu yang kita sendiri tidak memahaminya.

Selasa, 25 Ogos 2009

ERTI SEBUAH KEMERDEKAAN

Salam Satu Malaysia,

Tarikh keramat ulang tahun kemerdekaan yang ke-52 hampir menjelang. Namun suasananya agak memilukan. Seolah-olah tiada apa erti kepada sesetengah daripada kita dengan ketibaan detik tersebut. Saya tidak berhasrat menunding jari kepada sesiapa dalam hal ini, cuma saya inginkan agar kita sama-sama bermuhasabah diri, apakah kita menghargai erti sebuah kemerdekaan atau kita beranggapan tarikh keramat itu merupakan sejarah yang hanya perlu dicatat dalam Arkib Negara sahaja?.

Apakah dengan bersikap sedemikian, kita beranggapan bahawa itu semua sudah memadai dan berbaloi sebagai “balasan” kita terhadap nilai kemerdekaan yang kita capai 52 tahun dahulu.

52 tahun telah berlalu, taraf hidup kita telah jauh berubah. Jalan-jalan raya semakin melebar dan sesak dengan pelbagai kenderaan berjenama hebat. Ya, kita bangga kerana menjadi anak Malaysia. Namun, amat pilu sekali apabila tidak banyak kelihatan Jalur Gemilang, lambang kedaulatan negara dipasang di kenderaan berjenama ini. Saya tidak pasti mengapa kita bersikap sedemikian. Benar-benar tidak pasti.

Apakah kerana kita tidak mampu membelinya?. Atau, apakah kita masih menunggu kerajaan mengagih-agihkannya secara percuma baharulah kita mahu memasangnya?. Mungkinkah kita bimbang cermin kereta berjenama kita boleh rosak kerana dilekatkan Jalur Gemilang?.

Yang pastinya, jawapan kepada persoalan tersebut hanya ada pada kita.

Walaupun kita sudah mencapai kemerdekaan 52 tahun yang lalu, kita tidak sepatutnya hilang peranan. Semua di kalangan kita mempunyai peranan – memelihara dan mengekalkan kemerdekaan. Dan perkara itu sudah tentu dapat kita lihat apabila kemerdekaan itu mempunyai nilai dalam diri setiap daripada kita.

Sekurang-kurangnya nilai kemerdekaan itu perlu kita lihat melalui kesediaan dan kesanggupan kita mengibarkan Jalur Gemilang.

Justeru itu, sama-samalah kita berubah demi memartabatkan negara kita dengan memainkan peranan kita dalam menyambut ketibaan hari ulang tahun tarikh keramat kemerdekaan negara kita. Marilah kita ketepikan ideologi politik, atau anutan agama masing-masing, kita sambut ulang tahun kemerdekaan kita dengan penuh keinsafan dan kesedaran bahawa kemerdekaan ini perlu terus diwarisi oleh anak cucu kita selagi kita memijiak bumi dan menjunjung langit.

Jumaat, 21 Ogos 2009

NIK AZIZ...NIK AZIZ...NIK AZIZ

Salam Perjuangan…

Sejak mutakhir ini, jika dibuat pungutan suara atau undian melalui sms mengenai ahli politik paling popular, saya yakin bahawa Nik Azizlah yang akan menjadi pilihan. Tahniah. Mana tak terpilih, macam-macam isu dan fatwa (?) yang telah dihamburkan kepada masyarakat dan yang terbaharu beliau dipetik sebagai berkata:

“Penyokong UMNO tidak boleh (haram?) masuk syurga kerana Islam UMNO adalah Islam kacukan, Islam Plastik, Islam palsu sama seperti duit palsu, ubat palsu dan makanan palsu. Sabdanya lagi, Islam UMNO tidak boleh bawa ke syurga, hanya selamat dekat pintu kubur sahaja.

Saya hairan, bukan hairan dengan fatwa Nik Aziz dan cercaan Nik Aziz terhadap UMNO tetapi yang saya hairan fasal apa orang UMNO dan media kerajaan minat sangat memberikan komen dan menyiarkannya?. Mengapa minat sangat mempopularkan Nik Aziz yang tidak konsisten ini?. Biarkanlah dia dengan sabda dan fatwanya, biarkan akhbar Harakah, Keadilan dan Roket yang menyiarkannya.

Saya fikir, banyak lagi berita pembangunan yang perlu diwar-warkan kepada rakyat, itu lebih afdal. Saya berpandangan, Nik Aziz adalah seorang ahli politik dan sudah tentu setiap tindakan serta kata-kata yang lahir daripada mulutnya mempunyai bau serta kepentingan politik.

Orang politik seperti Nik Aziz boleh bercakap apa sahaja yang dia suka dan kata-katanya mengenai penyokong UMNO tidak boleh masuk syurga juga berasaskan kepada perkara tersebut.

Saya faham, apa-apa sahaja yang diucapkan Nik Aziz sebagai tokoh penting Pas mempunyai nilai berita yang tinggi. Bagaimanapun dalam hal-hal tertentu, Nik ziz tidak perlu diberikan layanan yang lebih oleh media arus perdana. Perlu ada pertimbangan yang bijak dalam hal ini.

Saya melihat dalam konteks betapa isu yang ditimbulkan akan membawa kesan tidak baik terhadap UMNO. Sudah banyak kali perkara sedemikian berlaku. Akhirnya mereka mempalitkan kesalahan dan kelemahan kepada UMNO sedangkan merekalah yang melakukan kesalahan.

Isu terbaharu yang sengaja dicetuskan Nik Aziz mungkin mempunyai muslihat tertentu dan beliau sendiri faham bahawa apa sahaja yang terkeluar daripada mulutnya akan dipercayai orang. Maka, saya percaya bahawa apa yang diucapkan itu hanyalah satu muslihat semata-mata.

Tapi itulah Nik Aziz …



Khamis, 20 Ogos 2009

SELAMAT MENYAMBUT KETIBAAN RAMADAN

Assalamualaikum,

Salam perjuangan di bulan Ramadan. Alhamdulillah sekali lagi kita diberikan nikmat untuk bersama-sama beribadat di bulan Ramadan Al-Mubarak pada tahun 1430 hijrah ini.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua sahabat bloger dan pembaca serta penggemar blogger yang beragama Islam dan semoga puasa kita kali ini lebih sempurna berbanding dari tahun-tahun sebelumnya.

Semoga Ramadan kali ini kita mampu kurangkan bercakap khasnya dalam menunding kesalahan sesama sendiri kerana apa yang penting kita perlu sama-sama bermuhasabah untuk mempertingkatkan usaha ke arah memperbanyakkan amalan di bulan yang mulia ini.

Semoga dengan keberkatan Ramadan ini, kita dapat merapatkan jurang fahaman politik masing-masing sama ada sesama parti mahupun di antara parti. Marilah kita berdoa agar agama kita terus dipertahankan kesuciannya, tidak terus dihina atas apa jua alasan sekali pun.

Jangan pula kerana kepentingan politik, kita sanggup menelan penghinaan terhadap agama kita atas alasan penghinaan tersebut dibuat oleh orang bukan Islam yang tidak faham mengenai Islam. Pelik kan?.

Jangan kita gadaikan maruah kita dek kepentingan politik yang belum pasti memihak kepada kita.

Isilah Ramadan ini dengan segala kebaikan. Selamat menunaikan ibadah puasa.

Rabu, 19 Ogos 2009

TOLONGLAH HENTIKAN WABAK INI

Salam blogger,

Naik takut dibuatnya apabila mengikuti perkembangan kes selesema babi yang kian meningkat di negara kita. Kes baharu yang dilaporkan setiap hari kini sudah mencapai angka ratusan orang, manakala kes kematian sudah melebih 60 orang. Soalnya, adakah kita pernah terfikir mengenai perkembangan tersebut bakal berlaku di negara kita dengan keadaan sebegitu rupa?.

Ternyata, sama ada kita suka atau tidak, wabak tersebut berada di mana-mana, termasuklah di persekitaran kita. Maksudnya, ia boleh menimpa kita atau menjangkiti kita pada bila-bila masa sahaja. Jadi, apakah kita telah mengambil langkah-langkah pencegahan yang disyorkan pihak berkaitan?. Atau kita masih menyangka wabak tersebut tidak mungkin terkena kepada kita, maka kita menjadi rakyat yang tidak kisah mengenainya?.

Sudah semakin hampir seratus orang menjadi korban akibat selesema babi dan ribuan lagi telah diberikan rawatan. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan jutaan rakyat kita bakal dijangkiti penyakit berbahaya itu, manakala jumlah kematian boleh mencecah sehingga ribuan orang jika ia tidak ditangani dan dihadapi dengan sebaik mungkin. Keadaan ini boleh berlarutan antara enam hingga setahun lagi.

Berapa orangkah di kalangan kita yang takut mengenainya?. Dan, berapa orang pula yang mengambil langkah pencegahan segera bagi membendungnya daripada terus merebak. Pelajar sekolah atau institusi pengajian tinggi yang diarahkan pulang kerana rakan mereka dipercayai dijangkiti virus selsema babi misalnya tidak terus tinggal di rumah. Sebaliknya pelajar berkenaan menyifatkan keadaan itu sebagai cuti mereka, lalu mereka bebas ke mana-mana. Malah, ada ibu bapa yang mengajak anak-anak mereka itu pergi bercuti ke mana-mana.

Siapakah yang boleh mengesahkan bahawa pelajar terbabit bebas daripada selesema babi sedangkan rakan mereka di kampus telah dijangkiti. Jadi, perlu ada kaedah yang tegas dan jelas dalam hal ini. Pelajar sendiri jangan terlalu ghairah apabila diberikan cuti. Fikirkan risiko diri dan mereka perlu diberikan nasihat agar tidak keluar rumah dalam tempoh tertentu. Keadaan itu jika terus berlarutan, maka sampai bila pun penyebaran wabak ini tidak boleh diselesaikan.

Begitu juga dengan mereka yang demam dan menghidap selesema. Mereka ini kebanyakannya takut ke klinik atau hospital kerana bimbang disahkan dijangkiti virus tersebut. Kononnya mungkin mereka malu jika dijangkiti walaupun hakikatnya penyakit itu mesti dirawat dan diambil tindakan agar tidak merebak.

Sebenarnya, kitalah yang mempunyai kebolehan dalam menyelesaikan isu yang berlaku. Kita yang boleh tentukan. Kita tidak boleh mengharapkan sesiapa lagi. Nak harapkan orang politik?. Tak payahlah!.

Mereka sibuk memikirkan soal parti mereka berbanding rakyat. Bagi mereka, apa nak jadi kepada rakyat, mereka peduli apa. Mereka tidak mahu memperkatakan mengenainya kerana politik telah mengatasi segala-galanya. Tengoklah mereka yang mendakwa pejuang Islam. Jika ada puak mereka dikenakan tindakan, maka cepat-cepatlah mereka anjurkan solat hajat tetapi bila rakyat sedang berhadapan dengan suasana begini, apa pula yang mereka buat. Nak buat solat hajat?. Entahlah.

Jadi, rakyat kena bergerak sendiri. Kita mesti tahu meletakkan diri dan mengawal diri agar virus merbahaya ini tidak terus merebak lagi. Tolonglah, saya rayu kepada anda semua agar memainkan tanggungjawab masing-masing. Jika kita semua ada peranan dan tanggungjawab, wabak ini tidak mungkin merebak lagi.

Sabtu, 15 Ogos 2009

INIKAH NILAI KEMERDEKAAN BAGI KITA

Salam blogger…

Ogos sudah pun melewati usia 15 hari, namun suasana yang dapat kita lihat, sama juga dengan bulan-bulan yang lain. Seperti tidak ada apa yang istimewa. Hairan juga ya, mengapa hal sedemikian boleh berlaku dan disaksikan. Saya ingin bertanya, berapa ramaikah di kalangan kita yang sedar bahawa kita sudah pun mencapai usia kemerdekaan yang ke-52.

Saya sempat bertanya kepada pelajar mengenai tema Hari Kemerdekaan negara tahun ini. Jawapan yang diberikan hanyalah dengan wajah yang tersengih-sengih sebagai tafsiran bahawa mereka sebenarnya tidak tahu menahu akan hal tersebut. Dan, sebagaimana yang dijangka, ramai yang menjawab “tidak tahu”. Saya bertanya pula kepada anak-anak muda yang berjawatan, atau dengan maksud lain berpelajaran. Malangnya, jawapan yang diberikan hampir sama.

Adalah amat tidak adil jika saya merumuskan bahawa semua pelajar dan anak muda kita tidak mengetahui mengenai tema Hari Kemerdekaan negara tahun ini. Bagaimanapun, cukuplah jika saya katakan bahawa saya amat bimbang ia akan menjadi budaya baharu anak-anak muda kita yang akhirnya Hari Kemerdekaan disambut di dalam selimut atau berehat di tempat-tempat peranginan sahaja.

Saya juga tidak mampu menyembunyikan perasaan bimbang dan risau saya mengenai sikap anak-anak generasi selepas merdeka seperti itu. Kemerdekaan bagi mereka bagaikan tidak mempunyai nilai dan seolah-olah kemerdekaan yang dicapai 52 tahun yang lalu adalah sesuatu yang percuma.

Amat tidak memadai jika kita mengharapkan mereka ini memahami sejarah hanya melalui buku di sekolah. Mereka mesti terus diberikan pendedahan, diberitahu dan digambarkan bahawa kemerdekaan yang kita capai itu adalah hasil perjuangan nenek moyang mereka yang mempertaruhkan harta dan nyawa dengan negara dan kita semua.

Kadangkala apabila kita terlalu banyak berpolitik, atau kita berpolitik sepanjang masa, maka inilah akibatnya. Perkara itu juga sebenarnya telah menyumbang kepada betapa semangat patriotik di kalangan masyarakat kita sendiri sebenarnya makin susut. Kita sanggup mengorbankan masa dan wang ringgit semata-mata untuk terbabit dengan demonstrasi jalanan – satu kegiatan yang tidak bermaruah - namun kita berkira untuk membuat sesuatu atas nama erti sebuah kemerdekaan.

Semoga kita mampu berfikir secara rasional dan menolak sebarang elemen yang boleh menggadai maruah negara kita … Merdeka!.

Isnin, 10 Ogos 2009

PAS PARTI ISLAM?.... OH TIDAK.

Salam bloger

Pas berjuang Islam?. Anda percaya?. Pastinya ramai yang janggal apabila ada manusia yang mengkritik perjuangan Pas. Namun, itulah hakikatnya apabila berlaku isu penjualan arak di Selangor. Ternyata, sebagaimana yang dijangkakan sebelum ini, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dato’ Dr Hassan Ali keseorangan dalam perjuangan mereka. Nik Aziz dan Haji Hadi ke mana. Anwar pengkhianat Melayu itu pula ke mana menghilang. Mana fatwa mereka?. Pelik, kan.

Pas hanya diperlekehkan dalam Pakatan Pembangkang. Suara Pas tak ada siapa nak dengar. DAP dan PKR bukan nak dengar sangat. Dulu masa PKR sedang nazak, Pas jadi nyawa mereka. PKR tumpang ceramah Pas untuk kaut ramai pendengar. Sekarang bila PKR kuat, Pas dah tak mahu diberikan layanan sangat.

Dewan Pemuda Pas, di mana telur mereka. Hilang?. Ini bukan soal Pas sahaja tetapi ia adalah isu membabitkan Islam. Kalau Pas benar-benar parti Islam yang memperjuangkan Islam, mengapa mesti takut, mengapa mesti diam membisu, mengapa mesti hairan sangat dengan DAP dan PKR. Bukan setakat isu arak, malah dalam isu-isu lain, ramai pemimpin DAP yang menghina Islam. Secara terbuka pulak itu. Apa pendirian Pas.

Kalau setakat serang UMNO berapi-api tapi bila DAP hina Islam, Pas buat apa. Mana suara semangat mereka, ke mana menghilang. Ke mana pergi. Inikah parti yang katanya nak tegakkan Negara Islam, nak laksanakan undang-undang Islam. Kalau DAP Pas takut, nak Negara Islam?. Anda fikirlah sendiri.

Inilah bahanaya bila perjuangan jual Islam untuk kepentingan diri. Kalau rakyat Malaysia tak dapat melihat lagi, tak tahulah macamana. Memang bebal benarlah otak mereka yang menyokong perjuangan Pas tu. Sebab itu saya fikir, sudah sampai masanya Pas menegakkan prinsipnya. Keluar daripada pakatan pembangkang. Jika Pas tidak berbuat demikian, rakyat mesti menyampaikan mesej kepada Pas dengan menolak mereka pada PRU ke-13 atau pilihan raya kecil Permatang Pasir nanti.

Parti seperti itu tidak boleh diberi muka. Mereka memperalat dan menghina Islam. Mari kita pakat tolak Pas.

Jumaat, 7 Ogos 2009

CATATAN TENGAH MALAM


Salam bloger …

Ada khabar dari Perth, Australia. Khabarnya, Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengkaji kemungkinan memasukkan kesukanan dalam kurikulum sekolah. Pada saya, apa sahaja yang baik dan dianggap baik, laksanakanlah.

Bagaimanapun sebelum ia dilaksanakan, kajilah terlebih dahulu termasuk mendapatkan pandangan daripada mereka yang arif mengenainya.

Seperti biasa, jangan terlalu tergesa-gesa kerana saya bimbang kita akan mengulangi kesilapan yang akhirnya merugikan. Apa yang penting, jangan jadikan anak-anak kita seperti tikus putih di makmal.

Jangan kita ulangi pelbagai kesilapan yang pernah dilakukan dan janganlah apabila rumah telah siap dibina, pahat pula masih menari-nari. Keadaan itu sebenarnya amat merugikan jika ia benar-benar berlaku.

Maafkan saya, saya bukan negatif tetapi saya memberikan pandangan dan peringatan agar kita tidak terkena lagi.Dalam banyak keadaan, kita rugi kerana hal-hal yang remeh yang boleh kita selesai dan tangani. Kadangkala, apa yang kita fikirkan baik, ia belum tentu dilihat baik oleh kebanyakan orang.

Kebimbangan saya, bukan sahaja terhadap kemampuan sesuatu cadangan yang hendak dilaksanakan tetapi saya lebih khuatir terhadap persepsi masyarakat kita. Maksudnya, saya bimbang kita akan tunduk kepada desakan selepas kita melaksanakan sesuatu cadangan walaupun apa yang dilaksanakan itu adalah baik.

Persepsi orang kita sentiasa berbaur politik. Dan, politik itu pula tidak mungkin berasaskan kepentingan apa yang dicadang atau dilaksanakan. Ia lebih berteraskan keuntungan bagi mendapatkan faedah atau kuasa. Itu politik. Politik akan tergamak menghalalkan cara, politik akan selesa membiarkan setiap kebaikan dilihat jahat atau salah. Itu yang saya bimbangkan sebenarnya.

Terpulang kepada anda. Saya melontarkan sesuatu yang saya fikirkan wajar untuk dilihat atau diteliti oleh kita. Itu saja.


Khamis, 6 Ogos 2009

PAS DAN ARAK ..... APA?


Assalamualaikum…

Marah benar Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali terhadap rakan di dalam exco negeri itu berhubung isu jualan arak. Ketika menjadi pembangkang, puak Pas memang sedap mulut tuduh kerajaan BN dan UMNO macam-macam. Sekarang bila mereka menjadi kerajaan, baharulah mereka tahu langit itu tinggi dan rendah.

Saya bersimpati dengan nasib Pas di dalam Kerajaan Selangor. Maklumlah, merintih pun tak ada siapa yang hendak dengar. Kalau dengar pemimpin Pas berceramah kononnya hanya merekalah parti Islam dalam dunia ini, hanya pemimpin dia sahaja yang ikut sunah Rasulullah dan hanya puak dialah ada ulama hebat, saya seperti tidak percaya apa yang sedang berlaku di Selangor itu.

Kalau betul Pas sebuah parti Islam yang benar-benar bergerak serta berjuang atas nama Islam sebenar, Pas patut tahu apa yang patut mereka lakukan dalam isu itu. Pas adalah antara kuasa penentu kepada kerajaan Selangor dan mereka mempunyai kuasa. Justeru, jika mereka mudah dipermainkan, apatah lagi dalam isu yang berkaitan dengan arak ini, pas patut bertindak.

Pemuda Pas, muslimat dan Unit Amal Pas, mereka mungkin boleh fikirkan demonstrasi jalanan di Selangor pula sebagai tanda bantahan. Yalah, berdemonstrasi kan memang budaya Pas. Ada berani!.

Timbul persoalan di fikiran saya, inikah parti yang kononnya hendak melaksanakan undang-undang hudud dan menubuhkan negara Islam di Malaysia?. Terfikirkah anda jika ditakdirkan (Tapi tak mungkin pun) Pakatan Pembangkang menang dapam PRU akan datang, apakah nasib Pas itu sendiri. Apakah PKR dan DAP akan melayan kehendak Pas untuk menubuhkan sebuah negara Islam dan melaksanakan hudud.

Anda percayakah, jika ketika itu PKR dan DAP tidak melayan Pas, maka Haji Hadi dan Nik Aziz akan keluar daripada Pas atau sekurang-kurangnya membawa Pas keluar dari pakatan?. Saya tidak percaya kerana mereka akan terus kekal dalam pakatan walaupun terpaksa mengorbankan prinsip dan cita-cita asal mereka.

Isu arak di Selangor adalah contoh terdekat bagaimana Pas dipermainkan. Adakah anda ingat, isu yang begitu sensetif itu kecil bagi anda?. Mengenai isu arak di Selangor, di mana Haji Hadi dan di mana Nik Aziz. Di manakah kenyataan tegas mereka sebagaimana mereka keras terhadap Umno selama ini?.

Hakikatnya, banyak hati Pas kena jaga dalam Pakatan Pembangkang. Semua itu akan menyekat mimpi Pas untuk menubuhkan sebuah Negara Islam. Atau mungkin Pas akan beranggapan bahawa dirinya “terselamat” apabila wujudnya suasana itu sehingga mereka ada alasan untuk lepas tangan. Jadi, prinsipnya di mana?.

Anda fikirkan apa yang saya lontarkan ini … bahawa bukankah ini bukti Pas adalah hanya sebuah yang berpura-pura. Entah.