Khamis, 11 Jun 2009

HANYA SATU TEGURAN ...

Assalamualaikum …

Walaupun agak serba salah untuk dicatatkan, namun saya fikir, saya perlu juga memperkatakannya. Asasnya ialah mencatatkan sesuatu di atas nama kebaikan bersama. Tahniah saya ucapkan kepada UMNO Bahagian Kuala Terengganu yang telah meletakkan KPI kepada setiap pemegang jawatannya agar UMNO bahagian itu akan lebih perkasa dan diperkasakan. Ia satu langkah berani yang meyakinkan bagi meraih semula sokongan rakyat kepada parti yang kita sayangi ini.

Maklumlah, cabaran politik hari ini sangat menuntut seluruh ahli parti bukan sahaja berusaha memperkukuhkan parti di peringkat akar umbi, tetapi juga di peringkat pucuk kepimpinan yang ada. Apa yang diusahakan UMNO Bahagian itu adalah sesuatu yang amat dialu-alukan. Bagaimanapun harapan saya, apa yang dilaksanakan itu janganlah sekadar untuk menceriakan suasana atau menjadi penyegar telinga setelah sekian lama sepi seribu bahasa, setenang air di telaga.

Zaman untuk kita beretorik sebenarnya sudah lama berlalu. Musim untuk kita berslogan juga telah lama pergi. Kita perlu berada di alam realiti politik yang sebenar. Tatkala masyarakat kita semakin bijak dan pandai, sesuatu yang bersifat mengelirukan mestilah dielakkan sebelum ia memakan diri. Kini kita semua perlu celik kepada realiti, muhasabah diri secara beristiqamah dalam mencari kekuatan dan sentiasa terbuka dalam mengintai kelemahan diri.

Bagi saya, ahli-ahli UMNO di Kuala Terengganu masih terpinga-pinga, tertanya-tanya mengenai apakah visi dan misi kita dalam keadaan pembangkang menguasai tiga kerusi DUN dan Parlimen kita yang turut jatuh ke tangan pembangkang. Ahli parti juga terpinga-pinga, ke mana perginya sebahagian daripada Ahli Jawatankuasa Bahagian selepas kerusi yang dikejar telah dikuasai. Kepada mereka, jenguk-jengukkanlah ke cawangan agar kita dapat berbincang mengenai banyak perkara.

Jika sebelum ini saban malam, malah sehingga sanggup bersahur bersama perwakilan bagi meraih undi di peringkat cawangan dan selepas sekian banyak janji ditaburkan, kini segala-galanya nampak sudah berubah menjadi satu kisah dongeng. Ke manakah mereka yang sebelum ini bersungguh-sungguh mendekati ahli di akar umbi. Adalah sesuatu yang mendukacitakan jika ahli hanya dicari ketika undi diimpikan. Namun selepas itu, segala-galanya hanya tinggal mimpi yang entah di mana kesudahannya.

Jika kita mahu merampas semula kerusi yang hilang, marilah kita semua bergerak dan bertekad untuk turun ke padang dan memperbaiki setiap kelemahan serta kepincangan yang ada. Ingat, jangan nanti KPI yang telah kita sepakati akhirnya memakan diri. Cukupkan, atau isikan segera kekosongan jawatan yang tertangguh. Begitu juga dengan biro-biro yang sepatutnya agar perbincangan segera dapat diatur bagi meneruskan agenda yang tertunda.

Sebenarnya, kita tidak mempunyai banyak waktu untuk itu. Kita tidak diberikan banyak pilihan. Hanya itu pilihan yang kita ada. Saya berharap, UMNO Bahagian Kuala Terengganu tidak memandang enteng mengenai perkara ini. Ingatlah, bumi yang dipijak adalah milik kita.