Sabtu, 13 Jun 2009

BERANI MESTI KERANA BENAR, JIKA TAKUT?

Assalamualaikum dan salam bloger …

Membaca laporan akhbar Sinar Harian mengenai kenyataan anak DS Anwar Ibrahim, Nurrul Izzah berhubung perbicaraan kes liwat bapanya Julai ini telah mengundang sesuatu di hati saya. Antara lain, mengapa Nurul Izzah mesti menyatakan kebimbangan mengenai keputusan mahkamah yang belum lagi membicarakan kes bapanya. Secara jelas Nurul Izzah awal-awal lagi mahu mengelirukan rakyat agar mempertikaikan keputusan mahkamah itu nanti jika ia tidak berpihak kepada bapanya.

Dakwaan Nurul Izzah kononnya kemungkinan ada campur tangan politik adalah perkara yang tidak pernah dibuktikan. Persoalannya, mengapa mesti takut jika DS Anwar berada di pihak yang benar. Hakikatnya, bukan semua kes memperlihatkan DS Anwar kalah kerana ada juga kes yang dia menang. Adakah kemenangan kes beliau itu juga disebabkan campur tangan politik?. Saya berpendapat, biar kes ini dibicarakan dahulu dan sesiapa sahaja tidak boleh mendahului sesuatu yang belum lagi berlaku.

Masalahnya, apabila kes tidak memihak kepada mereka, maka tuduhan telah dibuat kononnya ia tidak adil dan ada campur tangan politik. Bagaimanapun jika mereka menang kes, maka mereka mendakwa kononnya keadilan telah tertegak. Apakah keadilan itu hanyalah yang memihak kepada mereka?. Apakah mereka itu maksum dan tidak salah langsung sehingga sebarang keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada mereka, mereka mahu mempertikaikannya.

Harus diingat bahawa proses perbicaraan di mahkamah tidak dibuat secara tertutup. Ia boleh diikuti. Maka usahlah dibuat dengan andaian yang mengarut. Begitu juga dengan “ancaman” Pemuda PKR yang mahu mencetuskan semula demonstrasi jalanan. Ia amat memalukan dan menyedihkan. Hanya kerana tidak berpuas hati, mereka mahu menghancurkan keamanan negara. Kepada rakyat Malaysia, usah kita terpedaya lagi dengan golongan ini. Rakyat Malaysia saya yakin, tidak akan tertipu lagi. Rakyat Malaysia kini sudah bijak menilai apa yang golongan itu lakukan.

Sebenarnya, sistem kehakiman kita masih bebas dan demokrasi masih subur. Yang tidak mahu menerima kenyataan, mungkin mereka lebih tahu apa yang telah mereka lakukan sehingga mereka menjadi takut dan bimbang. Ayuh rakyat Malaysia, mari kita menolak PKR dan pakatan mereka yang selama ini telah menjahanam dan merosakkan negara kita yang tercinta ini.