Sabtu, 25 April 2009

CARILAH JALAN PERDAMAIAN


Salam Perjuangan …

Rata-rata rakyat Terengganu masih lagi memperkatakan mengenai isu perkembangan politik di Terengganu. Dan, bukanlah salah kalau saya mahu tumpang sekaki bagi mengupas isu ini menurut persepsi saya sendiri. Jika ia baik bagi anda, maka ambillah ia sebagai satu pengajaran dan jika ia sebaliknya, maka berikanlah pandangan yang berguna untuk saya.

Begini pada saya. Kemelut politik di Terengganu ini sebenarnya bermula daripada soal pemilihan calon pada pilihan raya umum 2008 yang lalu di mana ia telah menyaksikan beberapa Ketua UMNO Bahagian tidak terpilih atau dipilih menjadi calon. Ia juga merupakan dikatakan tidak dibincangkan dengan Ketua UMNO Bahagian dan keadaan menjadi lebih parah lagi apabila berlakunya krisis pemilihan MB Terengganu.

Dalam ceritanya yang kita semua sedia maklum, MB Terengganu pada waktu itu, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut tidak diperkenankan pihak istana Terengganu untuk melanjutkan jawatannya walaupun beliau telah mendapat watikah pelantikan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri (Tun) Abdullah Haji Ahmad Badawi. Keadaan itu telah mencetuskan kontroversi berpanjangan apabila Ketua UMNO Bahagian Kemaman yang juga ADUN Kijal, Datuk Ahmad Said dipilih sebagai MB Terengganu yang baru. Kemelut itu terus berlarutan kerana sebahagian besar wakil rakyat dikatakan tidak berpuas hati dengan pemilihan Datuk Ahmad sebagai MB.

Walaupun krisis atau kontroversi itu reda seketika, namun ia bangkit semula baru-baru ini. Bermula dengan ketiakhadiran sebahagian wakil rakyat BN ke sidang DUN Terengganu sehinggalah kepada isu penghantaran sms ugutan kepada wakil rakyat itu, rakyat menjadi semakin pening dan keliru. Kebetulan pula, ia dicetuskan sebaik sahaja Malaysia menyaksikan peralihan kuasa Perdana Menteri dan Presiden UMNO daripada Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Apakah motif di sebalik peristiwa itu, saya sendiri pun kurang pasti.

Apa yang jelas pada waktu ini, MB Terengganu sedang berhadapan dengan krisis kepercayaan daripada wakil rakyat BN sendiri. Maksudnya, penyakit lama datang kembali.

Bagi saya, apa yang berlaku sepatutnya mencelikkan mata semua pihak – tidak kiralah bagi pihak MB atau wakil rakyat BN yang tidak berkenan kepada MB. Mesti ada titik penyelesaian yang muktamad terhadap apa yang telah berlaku. Janganlah, apabila kita berperang sesama kita, yang menang ialah musuh kita iaitu pembangkang. Macam-macam yang saya dengar semenjak kes ini wujud. Ia termasuklah kenyataan yang bersifat “peperangan” melalui media portal dan akhbar yang disahkan sebagai milik parti pembangkang. Ini tidak sepatutnya berlaku.

Marilah kita mencari titik persamaan dalam meneruskan perjuangan demi rakyat, parti dan negeri. Rakyat amat dahagakan pembelaan dan bukannya pemimpin yang suka bergaduh atas sebab-sebab yang boleh diselesaikan dengan baik. Cukuplah dengan episod yang memalukan ini. Terjemahkan apa yang dimahukan Perdana Menteri kita yang mahu soal rakyat didahulukan kerana rakyatlah yang telah meletakkan pemimpin yang ada di tempat mereka sekarang.

Pemimpin tidak sempurna semuanya. Dan, pemimpin juga tidak bersalah semuanya. Maka, apa yang perlu diperbetulkan, maka ia hendaklah diperbetulkan walaupun ia mungkin akan menyebabkan satu pengorbanan yang besar. Pengorbanan demi rakyat akan menyebabkan kita menjadi pemimpin yang dibanggakan. Namun, jika pemimpin tidak sanggup berkorban, maka rakyatlah yang akan menentukan nasib mereka. Cuma, masa yang akan menentukannya nanti. Pemimpin yang hebat adalah mereka yang berani dan sanggup berubah selepas melihat kesilapan.

Saya percaya bahawa tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan mengenai politik Terengganu ini. Jika kita mahu, segala-galanya boleh saja. Bukankah orang politik itu sebenarnya sangat tebal dengan sifat pemaafnya. Mereka juga sangat terkenal dengan sikap bertolak-ansur yang tinggi. Jadi, takkanlah kerana negeri dan rakyat, mereka tidak sanggup bersatu. Saya tidak nampak begitu.

Rakyat kini sedang menantikan keputusan yang muktamad bagi menamatkan episod yang memalukan ini. Ia mesti segera diputuskan oleh pucuk pimpinan parti dan negara. Semua pihak mestilah menerima setiap keputusan yang dibuat demi kebaikan bersama. Itulah harapan saya kerana itu sahajalah jalan yang saya nampak yang dapat menyelesaikan masalah yang ada.

Anda, bagaimana?