Selasa, 25 Ogos 2009

ERTI SEBUAH KEMERDEKAAN

Salam Satu Malaysia,

Tarikh keramat ulang tahun kemerdekaan yang ke-52 hampir menjelang. Namun suasananya agak memilukan. Seolah-olah tiada apa erti kepada sesetengah daripada kita dengan ketibaan detik tersebut. Saya tidak berhasrat menunding jari kepada sesiapa dalam hal ini, cuma saya inginkan agar kita sama-sama bermuhasabah diri, apakah kita menghargai erti sebuah kemerdekaan atau kita beranggapan tarikh keramat itu merupakan sejarah yang hanya perlu dicatat dalam Arkib Negara sahaja?.

Apakah dengan bersikap sedemikian, kita beranggapan bahawa itu semua sudah memadai dan berbaloi sebagai “balasan” kita terhadap nilai kemerdekaan yang kita capai 52 tahun dahulu.

52 tahun telah berlalu, taraf hidup kita telah jauh berubah. Jalan-jalan raya semakin melebar dan sesak dengan pelbagai kenderaan berjenama hebat. Ya, kita bangga kerana menjadi anak Malaysia. Namun, amat pilu sekali apabila tidak banyak kelihatan Jalur Gemilang, lambang kedaulatan negara dipasang di kenderaan berjenama ini. Saya tidak pasti mengapa kita bersikap sedemikian. Benar-benar tidak pasti.

Apakah kerana kita tidak mampu membelinya?. Atau, apakah kita masih menunggu kerajaan mengagih-agihkannya secara percuma baharulah kita mahu memasangnya?. Mungkinkah kita bimbang cermin kereta berjenama kita boleh rosak kerana dilekatkan Jalur Gemilang?.

Yang pastinya, jawapan kepada persoalan tersebut hanya ada pada kita.

Walaupun kita sudah mencapai kemerdekaan 52 tahun yang lalu, kita tidak sepatutnya hilang peranan. Semua di kalangan kita mempunyai peranan – memelihara dan mengekalkan kemerdekaan. Dan perkara itu sudah tentu dapat kita lihat apabila kemerdekaan itu mempunyai nilai dalam diri setiap daripada kita.

Sekurang-kurangnya nilai kemerdekaan itu perlu kita lihat melalui kesediaan dan kesanggupan kita mengibarkan Jalur Gemilang.

Justeru itu, sama-samalah kita berubah demi memartabatkan negara kita dengan memainkan peranan kita dalam menyambut ketibaan hari ulang tahun tarikh keramat kemerdekaan negara kita. Marilah kita ketepikan ideologi politik, atau anutan agama masing-masing, kita sambut ulang tahun kemerdekaan kita dengan penuh keinsafan dan kesedaran bahawa kemerdekaan ini perlu terus diwarisi oleh anak cucu kita selagi kita memijiak bumi dan menjunjung langit.