Jumaat, 5 September 2008

TULISAN PERTAMA, SALAM PERKENALAN



Assalamualaikum ...
Alhamdulillah saya dapat bersama anda melalui laman blog ini. Saya gembira kerana dapat bersama anda berkongsi ilmu, pandangan, idea dan apa sahaja demi untuk kebaikan apa saja. Saya namakan laman ini sebagai GERBANG ILMU sesuai dengan perjuangan saya dalam memperkasakan ilmu, membentuk sahsiah unggul di kalangan pelajar dan memastikan pendidikan bangsa Melayu terus terjamin.
Walaupun saya tidak mempunyai waktu yang mencukupi untuk menulis di laman blog ini, namun di atas nasihat dan pandangan rakan-rakan, saya gagahi jua untuk membina laman ini. Dan, apabila saya bersedia membina laman ini, maka ia bermaksud saya juga telah bersedia untuk menulis setiap waktu mengenai pelbagai perkara dengan memberikan fokus terhadap isu-isu yang saya maksudkan tadi. Selepas melihat, membaca dan mengikuti beberapa laman blog yang mengupas pelbagai isu dan kebetulan laman blog ini mempunyai pengaruhnya tersendiri, maka saya percaya saya juga mampu berkongsi apa saja dengan anda semua.
Saya berjanji dengan anda bahawa saya akan mengupas isu-isu semasa dengan rasa tanggungjawab dan penuh kesedaran demi memperkasakan pendidikan bangsa. Itu janji saya. Dan, saya amat senang sekali apabila melalui laman ini, saya mampu meluahkan apa sahaja yang terbuku di hati saya dan apa juga yang terdetik di fikiran saya.
Bagi saya, terdapat banyak isu-isu yang boleh diketengahkan. Ada yang boleh disiarkan di media massa, dan juga juga yang hanya sekadar dibaca melalui laman ini. Saya menydari betapa sebenarnya kita sekarang ini sedang mendepani pelbagai cabaran semasa. Pelajar dan generasi muda kita misalnya. Ramai di kalangan mereka yang dilihat bagaikan hanyut dengan arus kemodenan dan kemajuan tanpa bimbingan. Hal itu jika dibiarkan, maka ia akan terus merosakkan anak bangsa.
Sebagai seorang pemimpin pertubuhan pelajar tertua di negara ini, saya tidak dapat mengelak untuk merasai sentuhannya terhadap apa yang sedang dan telah berlaku. Bagi saya, sesuatu wajar dilakukan agar masalah yang berlaku itu tidak terus berlarutan. Oleh itu, banyak perkara yang mungkin kita boleh fikirkan bersama demi untuk kebaikan kita semua.
Saya tidak mahu menulis terlalu panjang dalam tulisan saya yang pertama ini. Cukuplah ia sekadar bersifat satu sentuhan semata-mata. Kita sebenarnya mempunyai masa masa dan waktu untuk membaca tulisan-tulisan saya nanti.
Bersabarlah, saya akan terus menulis di ruangan ini untuk anda semua. Salam perkenalan dari saya dan semoga apa yang sedang dan akan dikongsikan bakal memberikan keuntungan kepada kita semua, insya'Allah.
Salam Hormat.