Sabtu, 20 September 2008

OH TULISAN JAWI ENGKAU SEMAKIN DILUPAKAN



Sudah beberapa hari saya tidak menulis, lantaran kesibukan tugas. Maklumlah, kehidupan ini amat menuntut kita bekerja dan melunaskan banyak perkara. Itulah kehidupan sebenarnya. Dalam diam, Ramadhan semakin hampir meninggalkan kita dan kini kita dalam satu pencarian, iaitu mencari malam LAILATUL QADAR. Doa saya, semoga Ramadan kita tahun ini telah dilalui secara terbaik dan meninggalkan kesan yang amat dalam. Ia sebenarnya amat menguji kehidupan kita.

Hari ini, saya ingin mengajak anda semua sebagai sahabat seperjuangan untuk merenung sejenak mengenai satu aset paling penting buat bangsa kita. Tulisan jawi. Ya, tulisan jawi yang saban masa telah diperjuangkan oleh kita semua, namun ia tetap dengan wajah yang sama. Bagi generasi selepas merdeka, apatah lagi mereka yang hidup di era melanium ini, tulisan jawi adalah sesuatu yang boleh dianggap sebagai sudah terkubur di sanubari kita. Hakikatnya, sebahagian besar daripada kita telah hanyut dibawa arus kemajuan, kemodenan dan hidup dalam dunia yang sudah tiada bersempadan lagi.


Ah!, apa hendak dipeduli kepada tulisan jawi. Apa Class. Demikian antara luahan kurang ajar daripada sesetengah pihak mengenai tulisan jawi. Ya memang kita kecewa. Saya pun sama seperti anda. Merasai apa yang terbuku di hati anda. Persoalannya, apakah kita perlu korbankan warisan nenek-moyang kita hanya semata-mata kita ingin dilihat hebat dan moden?.

Ingatlah sahabatku, pemodenan bukan bermaksud mengorbankan harta pusaka, pemodenan bukan bermaksud menidakkan perjuangan nenek-moyang kita dan pemodenan bukan bermaksud kita hebat bercakap bahasa Inggeris bertelorkan (Bulan telur) bahasa Melayu atau bercakap bahasa Inggeris lebih hebat daripada mat salleh !!!.


Realitinya ialah, tulisan jawi ini mesti diperkasakan. Bagaimana kaedahnya?, maka kita semualah yang mesti memikirkannya. Ingat, jika bukan kita yang wajar memainkan peranan dalam memperkasa dan menghidupkan tulisan jawi, maka kepada siapa yang mahu kita harapkan?.


Apa yang ada di depan mata saya dan anda semua adalah sesuatu yang amat mengkagumkan. Saya terpegun dengan kecanggihan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan saya terkelip-kelip melihat kehebatan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Terengganu yang hampir 100 % siap TAPI saya sedih kerana kedua-duanya amat malu untuk memaparkan tulisan jawi di celah-celah tulisan rumi!. Sampai begitu sekali teruknya akal fikiran kita terhadap tulisan jawi. Apa sudah jadi sebenarnya dengan orang kita. Apakah tulisan jawi itu terlalu jijik sehingga ia dilihat boleh membawa pencemaran terhadap nilai pembangunan dan perubahan yang ada?.


Kita terlalu manja sebenarnya, mengalah kepada tuntutan keadaan tanpa menyedari bahawa nilai budaya bangsa dan khazanah yang ditinggalkan nenek moyang ini amat ternilai dalam hidup kita. Kita boleh membesarkan tulisan rumi atau bahasa Malaysia atau bahasa-bahasa lain tanpa terselit tetapi kita amat malu untuk mempamerkan tulisan jawi. Ada dakwaan kononnya tulisan jawi tidak mampu menarik kedatangan pelancong atau seumpamanya.


Sehingga sekarang, saya masih tidak mampu berfikir mengenai perkara tersebut mengenai betapa bebalnya otak masyarakat kita mengenai isu tersebut. Kadangkala bagi saya, ia hanya tercetus disebabkan gangguan perasaan atau gangguan andaian kita sendiri. Kita terlalu cepat mengalah dan merasai kita sudah kalah sedangkan kita tidak melakukan apa-apa pun terhadap apa yang wajar kita lakukan. Kita terlalu cepat meletakkan hukuman terhadap sesuatu kes tanpa memikirkannya secara mendalam mengenai kesan terhadap tindakan kita.


Bagi saya, kepentingan tulisan jawi wajib dipertahankan dan diperkasakan walau dengan apa cara sekalipun. Ia adalah sebahagian daripada roh bangsa kita, peninggalan nenek moyang kita dan cerminan betapa Islam itu sebenarnya telah bertapak sekian lama di negara kita.


MALAYSIA OH TANAH AIRKU… APA SUDAH JADI.