Rabu, 28 Julai 2010

GURU BERPOLITIK: SIAPA UNTUNG?

Allahyarham Dato' Razali Ismail .... Tokoh guru dan pendidik yang sentiasa disayangi rakyat

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Ada perkembangan menarik dalam dunia politik negara kita. Khabarnya, guru akan dibenarkan berpolitik. Selepas sejak sekian lama, hal itu terbeku atau sengaja dibekukan, keputusan kerajaan itu sangat menarik perhatian umum.

Jika ditanya kepada saya, saya menyambutnya dengan gembira kerana atas sifat demokrasi, langkah itu adalah wajar. Dan, jika tidak dibenarkan pun, sudah ramai guru menyertai politik dan tidak kurang pula yang selalu bermain politik.

Sama ada umum sedar atau tidak, guru adalah golongan yang begitu galak berpolitik. Jika anda seorang guru, atau mungkin anda seorang yang berpeluang berada di kalangan kaum guru, anda akan lihat pengetahuan politik mereka amat tinggi. Ada waktunya, pemikiran mereka itu lebih politik daripada orang politik.

Ya memang benar, saya bersetuju bahawa suatu waktu dahulu, guru mempunyai pengaruh yang tersendiri. Maka tidak hairanlah apabila ramai golongan guru yang bertanding dalam pilihan raya dan tidak pernah tewas walau di mana pun kerusi yang ditandingi mereka. Maksudnya, pengaruh guru itu sangat hebat.

Adapun dengan keputusan kerajaan membenarkan guru berpolitik pada masa ini, apakah ia sama keadaannya dengan dahulu?. Apakah guru sekarang sama pemikiran dan semangatnya dengan guru dahulu?.

Saya juga adalah seorang yang pernah menjadi guru. Dan, bukan niat atau tujuan saya untuk mempertikaikan mengenai kaum guru. Saya hanya mahu mengajak anda berfikir dan kaitkannya dengan keputusan kerajaan itu.

Dalam ruang lingkup politik UMNO misalnya, jujur sekali saya menyatakan, bahawa ia tidak banyak menguntungkan parti itu. Kalau dulu memang ya, golongan guru mendokong perjuangan UMNO kerana semangat nasionalis Melayu itu sendiri sebenarnya sangat tebal.

Jadi, apakah guru hari ini ramai yang memihak kepada UMNO atau parti pemerintah?. Sebagai sebuah parti yang memerintah, setiap apa yang diputuskan kerajaan yang mana parti itu menjadi tunjangnya, ia seharusnya mengambil kira soal untung rugi parti yang memerintah sebelum sebarang keputusan diambil.

Apa pun, saya melihat ada baik dan ada kekurangannya di sebalik keputusan tersebut. Apa yang penting, golongan guru harus lebih bijak dan matang dalam menilai atau menerima keputusan kerajaan itu. Sebenarnya, penilaian guru seharusnya lebih baik daripada orang lain terhadap apa jua perkara.

Jika guru sudah boleh berpolitik, saya berharap guru juga tidak lagi bermain politik di sekolah demi masa depan anak bangsa kita sendiri.

Sama-sama kita fikirkannya.