Isnin, 25 Januari 2010

SELESAIKAN IA SEGERA

Salam blogger,

Tiba-tiba isu penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald The Catholic Weekly dibenarkan oleh mahkamah. Bertitik-tolak dari isu itulah telah mengundang pelbagai bantahan bermula dari kenyataan media, laporan polis dan perhimpunan aman oleh mereka yang cintakan Islam tanpa terpengaruh dengan parti-parti politik atau emosi perkauman.

Sememangnya isu penggunaan kalimah Allah ini bukannya perkara baru kerana di Sabah dan Sarawak, malah negara-negara jiran seperti Indonesia telah lama mengamalkannya. Namun demikian, ia amat sensitif di Semenanjung kita.

Tanpa mempertikaikan keputusan mahkamah, saya fikir isu ini tidak seharusnya dibiarkan berlanjutan dan ia merupakan tanggungjawab semua pihak yang cintakan keharmonian serta kedamaian hidup di negara tercinta sebagaimana yang telah kita kecapi lebih daripada 50 tahun ini untuk sama-sama mencari titik pertemuan.


Pada fikiran saya, jalan terbaik penyelesaiannya ialah, pihak majalah tersebut menarik balik penggunaan kalimah Allah sebagaimana saranan pemimpin-pemimpin mereka sendiri dan selesaikan isu ini di luar mahkamah dengan semangat 1 Malaysia dan toleransi keagamaan yang diamalkan oleh semua agama termasuk Islam dan Kristian.


Juga diharapkan selepas ini, sistem perundangan diperkukuhkan dengan melaksanakan undang-undang sedia ada bahawa apa saja pertikaian yang berhubung kait dengan agama Islam mestilah dirujuk dan diputuskan oleh Ke Bawah DYMM Yang Dipertuan Agong melalui Majlis Raja-raja Melayu sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan.

Saya juga berpendapat, sudah saat dan ketikanya peranan DYMM Yang Di Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama dilaksanakan sepenuhnya, di mana setiap keputusan atau pertikaian mengenai agama Islam perlulah dimuktamadkan oleh DYMM Yang Di Pertuan Agong selaku ketua agama selaras dengan sumpah jawatan Yang Di Pertuan Agong yang telah memasukkan ikrar akan memelihara serta mempertahankan agama Islam setiap masa.


Sesungguhnya jangan ada mana-mana pihak yang cuba menyebarkan dakyah yang boleh mempengaruhi minda anak-anak muda Islam. Saya yakin dan percaya terdapat agenda tertentu di sebalik kehangatan isu tersebut apatah lagi ada di antara umat Islam yang menyokongnya. Saya tak tahu manusia Islam jenis apa ini, mementingkan kepentingan diri dan fahaman sempit politik sehingga sanggup menggadai maruah agama yang telah bertapak ratusan tahun di bumi tercinta ini sehingga sanggup menyokong penggunaan kalimah Allah oleh agama lain.

Saya yakin dan percaya, isu kalimah Allah ini merupakan permulaan agenda tersendiri golongan tertentu dan ia akan pasti disusuli dengan pelbagai isu lagi dengan tujuan untuk memesongkan akidah umat Islam khususnya golongan muda Islam.


Justeru itu, sebagai ibu bapa kita seharusnya peka dan cakna dengan agenda menyesatkan akidah anak-anak kita ini agar mereka tidak mudah terpesong serta terpengaruh. Langkah terbaik yang sempat saya fakir adalah dengan menekankan pembelajaran ilmu tauhid agar anak-anak kita faham akan kewujudan Allah serta sifat-sifat yang dimiliki-Nya. Semoga bukan sahaja mereka faham tetapi seterusnya menghayati dan mengamalkannya ke arah melahirkan generasi Islam yang sejati.

Saya bimbang jika kita tidak bertindak segera, akan wujudnya golongan muda yang mengamalkan apa yang disebut Islam Liberal, yang beranggapan semua agama adalah sama sedangkan dengan jelas dalam Islam menyebutkan bahawa Islam adalam agama yang sempurna dan tidak sama dengan agama lain.

Bayangkanlah jika kalimah Allah dibenarkan, sudah pasti ayat “ firmanya “ dalam agama Kristian akan disebut “ firman Allah !” Seterusnya mungkin akan melarat untuk mengubah istilah gereja kepada masjid dan seumpamanya…….. MASYAALLAH…


Justeru itu marilah sama-sama kita memperkukuhkan ikatan, mencari titik persamaan dan memanjatkan doa kehadrat ilahi agar kesucian agama Islam terus dipertahankan dan semoga Allah memberikan hidayah untuk menyedarkan orang-orang Islam yang menyokong penggunaan kalimah Allah kepada agama lain atas apa jua alasan.


Ahad, 24 Januari 2010

KELANTAN OH NIK AZIZ

Assalamualaikum…

Sudah agak lama saya tidak update blog saya ini. Ramai yang tertanya-tanya mengenainya. Namun apakan daya, saya bukanlah seorang penulis tersohor yang mudah idea menjengah di fikiran. Bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang sentiasa menjengah blog saya ini.


Sepastinya, selepas ini saya akan kembali menulis di sini, untuk tatapan anda dan kita semua.


Hari ini saya tertarik untuk memperkatakan mengenai apa yang sedang berlaku di Kelantan. Khabarnya, MB Kelantan yang sering mengeluarkan kenyataan berbelit-belit, Datuk Nik Aziz Nik Mat menolak tawaran untuk kerajaan negeri terlibat sama dalam Jawatankuasa Wang Ehsan yang diwujudkan Kerajaan Pusat.


Pada saya, terdapat banyak perkara yang mesti diberikan perhatian. Pertama, walaupun kerajaan Nik Aziz mendakwa Kerajaan Kelantan berhak menerima royalti petroleum, namun perkara tersebut sebenarnya belum lagi jelas. Tiada fakta, tiada dokumen yang mengesahkannya. Dan, sehingga kini Kerajaan Kelantan masih belum menfailkan saman terhadap Kerajaan Pusat mengenai perkara itu.


Keduanya, apa dosa “wang ehsan” sehingga kerajaan negeri menolak daripada duduk dalam jawatankuasa yang diwujudkan untuk rakyat Kelantan itu. Bagi saya, sebagai rakyat Terengganu yang pernah menerima wang Ehsan, ia bukanlah sesuatu yang merugikan jika ia tidak digelarkan royalti. Malah, melalui wang ehsan, wang tersebut diberikan terus kepada rakyat di bawah.


Sehingga ke hari ini, rakyat Terengganu masih menikmati faedah tersebut. Secara logiknya, kalaulah wang tersebut disalurkan sebagaimana yang dikehendaki, maka rakyat tidak akan menerima sebagaimana yang mereka terima melalui wang ehsan. Itulah hakikatnya. Dan, jika kerajaan Kelantan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik, maka tidak ada sebab mengapa mereka menolak daripada menduduki jawatankuasa tersebut.


Reaksi keras daripada Nik Aziz mengenai perkara tersebut tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya, ia adalah berasaskan kepada emosi dan meminggirkan kepentingan rakyat Kelantan sendiri. Pas memerintah Kelantan selama hampir 20 tahun. Persoalannya, sejauh manakah kejayaannya. Dan, jika ditanya kepada saya, saya berani menyatakan kerajaan Kelantan sebenarnya gagal membela nasib rakyat di negeri itu, apatah lagi menyediakan pembangunan.


Bukan niat untuk menjaga tepi kain orang tetapi ini adalah isu moral yang melibatkan kepentingan rakyat. Oleh itu, rakyat mesti bijak dalam menangani keadaan ini. Apa pun, saya percaya bahawa rakyat Kelantan kini lebih bijak menilai. Sampai masanya, mereka akan menyatakan pendirian politik mereka dengan bijak dan saksama.


Bukankah apa yang selama ini diludahkan Pas ke langit sudah terpalit ke muka sendiri?.