Rabu, 3 Jun 2009

BUMBUNG STADIUM RUNTUH: JANGAN ADA ANDAIAN

Salam Blogger

Terkedu saya apabila mendapat berita mengenai bumbung Stadium Tuanku Mizan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu runtuh Selasa lalu. Ia berlaku 24 jam sebelum berlangsungnya Kejohanan Sukan Kakitangan IPTA Malaysia. Syukur Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan. Apa pun, ia tetap memalukan kerana stadium yang dianggap tercanggih di Asia dari segi reka bentuk bumbungnya telah rebah menyembah bumi.

Maka hancurlah segala rasa gah, kegembiraan dan rasa bangga rakyat. Ya benar, ia adalah sekadar bumbung tetapi memandangkan ia baru siap dibina setahun yang lalu, maka insiden tersebut memerlukan perhatian serius semua pihak. Saya bukanlah seorang pakar, jauh sekali mahu berbicara mengenai soal arkitek atau teknikal. Namun, sebagai rakyat yang turut berkongsi rasa hebat di sebalik terbina stadium tersebut, kejadian itu amat menyedihkan saya.

Maka, sekali lagi kita akan melihat babak bangau oh bangau akan berlaku. Masing-masing akan menunding jari bagi mencari siapakah yang harus dipersalahkan dalam kejadian itu. Dan, bukan menghairankan apabila terdapat suara nakal yang segera menyalahkan kerajaan di sebalik kejadian itu dengan membuat dakwaan popular iaitu mengaitkannya dengan korupsi. Wah!, bila berlaku begitu kerajaan dituduh tetapi dalam setiap banyak kejayaan yang dilaksanakan kerajaan, tiada pula mereka mahu memuji.

Tentu sekali akan ada pihak akan menangguk di air yang keruh. Maka saya tidak hairan apabila pembangkang membuat pelbagai tohmahan dan tuduhan terhadap kerajaan. Memang itu kerja mereka. Buat jahat, menuduh tanpa bukti dan menfitnah adalah cara mereka yang dihalalkan menurut hukum yang mereka sendiri ciptakan.

Tok Guru pun sama, selalu berbohong kepada rakyat dan melemparkan tuduhan serta membuat andaian. Hakikatnya, tiada siapa pun boleh menghalang takdir dan kemahuan Tuhan. Jika rumah kita runtuh, siapa yang bersalah. Kita?. Atau, adakah kerana kita seorang perasuah, maka rumah kita itu runtuh?. Tergamakkah kita menyalahkan diri sendiri akibat daripada itu?

Jangan terlalu mudah menunding jari menuduh. Tunggulah hasil siasatannya nanti. Kelemahan ada di mana-mana. Namun, ia tidak bermaksud ia disengajakan berlaku.

Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa. Cuma saya teringat kata-kata seorang guru: “Allah tidak akan menjadikan sesuatu itu tanpa sebab musababnya”.



TIADA TEMPAT UNTUK CHIN PENG KEMBALI


Salam Blogger

Entah di mana puncanya, nama penghianat negara dan bangsa Malaysia, Chin Peng tiba-tiba menarik perhatian umum. Entah apa sebabnya, ada keinginan dan desakan pihak tertentu di negara ini yang mahukan kerajaan membenarkan bekas Ketua Parti Komunis Malaya (PKM) itu pulang ke Malaysia. Untuk apa dan mengapa?, ia adalah persoalan yang masih sangat kabur.

Namun, apa yang pasti terdapat pihak tertentu nampaknya mahu berlagak sebagai jaguh dan sengaja mengambil kesempatan dalam waktu begini. Yang membuat saranan serta menyokongnya itu bukan sahaja datangnya daripada manusia yang mempunyai wajah yang sama dengan Chin Peng tetapi juga pemimpin politik Melayu yang mendakwa memperjuangkan Islam turut menyokong usaha tersebut. Jika tidak di atas nama kepentingan atau mahu menunjukkan mereka itu jaguh, semua itu tergamak dan sanggup dilakukan. Jadi, rakyat kita masih butakah?.

Saya pelik, mengapa tiba-tiba isu membawa pulang Chin Peng ke Malaysia menjadi isu besar dan diberikan publisiti yang meluas sekali. Adakah kerana kerajaan Malaysia hari ini dilihat begitu liberal atau mungkin ada pihak mahu menangguk di air keruh untuk memperalatkan gagasan Satu Malaysia?. Jadi, saya nasihatkan kepada mereka yang mahu berlagak sebagai jaguh kampung dalam isu tersebut agar kembali membaca sejarah negara atau lebih mudah lagi meminta tokoh sejarah tersohor, Datuk Profesor Dr Khoo Kay Kim memberikan syarahan perdana mengenai komunisme kepada manusia yang menyokong Chin Peng dan kuncu-kuncunya.

Mungkin jika lebih mudah, mereka perlu menonton filem Bukit Kepong lakonan Datuk Jins Shamsuddin. Sebagaimana yang selalu disebutkan, manusia bernama Chin Peng ini telah banyak berdosa kepada rakyat Malaysia dan segala dosa-dosa itu tidak boleh disucikan dengan hanya ungkapan maaf. Rakyat Malaysia tidak mungkin akan dapat memaafkan dengan mudah terhadap Chin Peng.

Hari ini, nama komunis itu sendiri adalah sesuatu yang menjijikkan bagi rakyat kita. Ia adalah simbol kejahatan, kezaliman dan penindasan secara tidak berhati perut komunis terhadap rakyat kita. Mereka yang masih ada di negara ini dan mencadang atau menyokong usaha membawa pulang Chin Peng, mereka ini adalah pengkhianat sebenarnya. Rakyat perlu melihat kenyataan, pendirian serta perangai puak-puak ini.

Mereka ini, menuduh orang memanglah pandai tetapi mereka sendiri menyokong kehadiran bekas pemimpin komunis di negara kita. Itu termasuk yang berjuang Islam. Di mana maruah kita sebenarnya. Hanya kerana sedikit kepentingan dan kuasa yang mereka kejar, mereka tergamak menyokong kepulangan Chin Peng ke bumi yang kerananyalah ramai yang menemui ajal dan cacat seumur hidup.

Terima kasih kepada kerajaan BN di bawah kepimpinan DS Najib Tun Razak yang menolak kepulangan Chin Peng. Tiada sebarang kompromi dalam isu tersebut. Komunis tetap komunis dan kita semua membencinya sehingga selama-lamanya.

Pergi jahanam Chin Peng dan Komunis!

HADKAN SUBJEK SPM, APA KATA ANDA

Salam Blogger

Tiba-tiba hati saya tersentuh apabila mendengar pengumuman Kementerian Pelajaran untuk menghadkan subjek dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada sepuluh sahaja. Walaupun diberikan sedikit penjelasan, namun fikiran saya masih belum mampu merungkaikan mengenai apakah rasionalnya keputusan tersebut. Adakah ia benar bagi membolehkan pelajar memberikan tumpuan kepada soal akademik, meringankan beban ibu bapa atau apa sebenarnya. Saya tidak faham.

Saya bersetuju jika ia dihadkan tetapi tidaklah sampai serendah sepuluh subjek. Ia mungkin boleh 12 atau 13 subjek bagi memberikan peluang terbaik kepada pelajar cemerlang untuk mengambil subjek yang mereka kehendaki. Saya tidak nampak langsung mengenai apakah masalahnya jika pelajar mengambil lebih daripada 13 subjek kerana itu adalah pilihan mereka sendiri. Mungkin mereka mempunyai keupayaan.

Maka, menjadi harapan saya agar keputusan itu diperhalusi, diteliti dan disemak semula oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Untuk rekod, subjek teras bagi Aliran Kemanusiaan atau agama ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik Moden, Sains, Pendidikan Islam/Moral dan Sejarah. Manakala untuk aliran Sains tulen pula ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam/Moral, Matematik Moden dan Sejarah.

Oleh itu, saya tidak nampak, apakah subjek-subjek teras berkenaan yang akan dikurangkan kerana kesemuanya mempunyai sebab tersendiri untuk dikekalkan termasuk Pengetahuan Islam dan Sejarah. Bagi mengimbangi akademik dan ko-kurikulum di kalangan calon SPM saya mencadangkan agar Kementerian Pengajian Tinggi menetapkan syarat kemasukan ke IPTA diambil-kira dengan nisbah 80:20. Manakala rekod ko-kurikulum pelajar perlulah dipantau dan dikemaskini secara serius agar ia dihasilkan dengan lebih efektif, bukannya sekadar melengkapkan ruang di dalam buku rekod semata-mata.

Pihak KPM juga dicadangkan agar menyediakan garis panduan atau sukatan khas setiap elemen dalam ko-kurikulum (Uniform, Kelab dan Sukan) agar pelaksanaannya akan lebih berfokus dan berkesan. Pun begitu, apa pandangan anda mengenai isu ini.

Bagi saya, kita mungkin boleh mengubah sesuatu tetapi janganlah ia diubah kerana semata-mata ia adalah zaman kita. Sebaliknya, kita boleh mengubah sesuatu jika ada keperluan untuk mengubahnya. Janganlah kita menjadi sekali air bah, sekali pantai berubah.

Saya bimbang, yang menjadi mangsa adalah anak-anak kita. Fikirkanlah apa yang saya lontarkan ini.