Khamis, 6 Ogos 2009

PAS DAN ARAK ..... APA?


Assalamualaikum…

Marah benar Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali terhadap rakan di dalam exco negeri itu berhubung isu jualan arak. Ketika menjadi pembangkang, puak Pas memang sedap mulut tuduh kerajaan BN dan UMNO macam-macam. Sekarang bila mereka menjadi kerajaan, baharulah mereka tahu langit itu tinggi dan rendah.

Saya bersimpati dengan nasib Pas di dalam Kerajaan Selangor. Maklumlah, merintih pun tak ada siapa yang hendak dengar. Kalau dengar pemimpin Pas berceramah kononnya hanya merekalah parti Islam dalam dunia ini, hanya pemimpin dia sahaja yang ikut sunah Rasulullah dan hanya puak dialah ada ulama hebat, saya seperti tidak percaya apa yang sedang berlaku di Selangor itu.

Kalau betul Pas sebuah parti Islam yang benar-benar bergerak serta berjuang atas nama Islam sebenar, Pas patut tahu apa yang patut mereka lakukan dalam isu itu. Pas adalah antara kuasa penentu kepada kerajaan Selangor dan mereka mempunyai kuasa. Justeru, jika mereka mudah dipermainkan, apatah lagi dalam isu yang berkaitan dengan arak ini, pas patut bertindak.

Pemuda Pas, muslimat dan Unit Amal Pas, mereka mungkin boleh fikirkan demonstrasi jalanan di Selangor pula sebagai tanda bantahan. Yalah, berdemonstrasi kan memang budaya Pas. Ada berani!.

Timbul persoalan di fikiran saya, inikah parti yang kononnya hendak melaksanakan undang-undang hudud dan menubuhkan negara Islam di Malaysia?. Terfikirkah anda jika ditakdirkan (Tapi tak mungkin pun) Pakatan Pembangkang menang dapam PRU akan datang, apakah nasib Pas itu sendiri. Apakah PKR dan DAP akan melayan kehendak Pas untuk menubuhkan sebuah negara Islam dan melaksanakan hudud.

Anda percayakah, jika ketika itu PKR dan DAP tidak melayan Pas, maka Haji Hadi dan Nik Aziz akan keluar daripada Pas atau sekurang-kurangnya membawa Pas keluar dari pakatan?. Saya tidak percaya kerana mereka akan terus kekal dalam pakatan walaupun terpaksa mengorbankan prinsip dan cita-cita asal mereka.

Isu arak di Selangor adalah contoh terdekat bagaimana Pas dipermainkan. Adakah anda ingat, isu yang begitu sensetif itu kecil bagi anda?. Mengenai isu arak di Selangor, di mana Haji Hadi dan di mana Nik Aziz. Di manakah kenyataan tegas mereka sebagaimana mereka keras terhadap Umno selama ini?.

Hakikatnya, banyak hati Pas kena jaga dalam Pakatan Pembangkang. Semua itu akan menyekat mimpi Pas untuk menubuhkan sebuah Negara Islam. Atau mungkin Pas akan beranggapan bahawa dirinya “terselamat” apabila wujudnya suasana itu sehingga mereka ada alasan untuk lepas tangan. Jadi, prinsipnya di mana?.

Anda fikirkan apa yang saya lontarkan ini … bahawa bukankah ini bukti Pas adalah hanya sebuah yang berpura-pura. Entah.


GULA OH GULA


Assalamualaikum dan salam blogger…

Ah!, tak habis-habis. Itu yang sentiasa saya rungutkan bila isu ketiadaan atau kehabisan gula di pasaran berlaku lagi. Seperti biasa, ia berlaku menjelang musim perayaan. Siapa yang sedang menanggung rugi. Rata-rata orang Melayu. Mereka terjejas tanpa gula. Walaupun sedar bahawa penggunaan gula secara terkawal akan mendedahkan mereka kepada pelbagai bahana, namun gula tetap segala-galanya.

Saya tidak hairan apabila gula tiba-tiba “hilang” di pasaran kerana itu memang “tabiat” gula di Malaysia apabila hampir kepada bulan puasa atau musim perayaan. Peliknya, bila hendak sambut Tahun baharu Cina dan hari raya Depavali atau sebaliknya, tidak pula berlaku kehabisan gula.

Yang pemimpin di atas pula, main beri jaminan demi jaminan. Gula cukup di pasaran kata mereka. Turunlah ke bawah. Ikut apa yang PM kita lakukan. Selami sendiri masalah rakyat, lihat sendiri apa yang berlaku, baharulah mereka akan faham masalah yang sebenarnya.

Saya bukan hendak mengata, saya juga adalah pengguna. Rakyat bosan dan jelek dengan sikap pemimpin yang hanya pandai bercakap tetapi tidak sanggup turun ke bawah. Mereka juga mual dengan amaran demi amaran, jaminan demi jaminan sedangkan apa yang mereka tanggung di bawah terus ditanggung.

Selalunya, pemimpin akan terlewat turun padang dalam menyelesaikan masalah ini. Ia berlaku selepas kebencian rakyat semakin menebal terhadap kerajaan. Jadi, mengapa biarkan?. Mujurlah Melayu itu mudah lupa. Hari ini, mereka marahkan kerajaan, esok dan lusa lain pula perasaan mereka.

Saya pun tidak faham mengapa susah sangat hendak selesai masalah kekurangan bekalan gula ini. Takkan pihak berkuasa dan kerajaan tidak tahu di mana kilang gula, pemborong gula dan penjual guna. Mengapa susah sangat nak kesan kegiatan mereka ini.

Janganlah terlalu membuaikan rakyat dengan jaminan masalah gula akan selesai kerana hanya dengan turun ke padang sahaja, masalah itu dapat diselesaikan.

Saya merayu kepada Menteri dan pihak berkuasa berkaitan agar segera turun padang dan bertindak dalam menangani masalah ini. Jangan biar ia mengambil masa yang lama. Usah biarkan rakyat merasa meluat dan benci kepada kerajaan hanya kerana isu yang sememangnya kita boleh selesaikan.

Carikan jalan penyelesaiannya secara muktamad!