Jumaat, 23 Oktober 2009

FIKIRKAN PANDANGAN KOO KAY KIM

Assalamualaikum…

Tokoh akademik tanahair, Prof Emeritus Tan Sri Dr Koo Kay Kim dalam ceramah umumnya bertajuk “1Malaysia: Cabaran Dan Harapan” sempena Program Semarak Perpaduan dan Patriotisme Institut Pendidikan Guru Malaysia peringkat kebangsaan telah mencadangkan agar kerajaan, khasnya Kementerian Pelajaran Malaysia merealisasikan sekolah satu aliran ke a rah mencapai matlamat 1Malaysia.

Saya amat tertarik dengan pandangan tersebut yang datangnya dari seorang yang berbangsa Cina dan faham mengenai sejarah negara.

Alasan beliau, dulu penjajah British membenarkan penubuhan sekolah pelbagai bahasa di Tanah Melayu kerana kebanyakan pendatang ketika itu tidak berminat untuk menetap di negara ini. Jelas beliau lagi, sistem pendidikan sekarang telah menyebabkan rakyat sejak kecil lagi diasingkan mengikut aliran dan bahasa ibunda yang menyebabkan golongan dewasa tidak dapat menghayati semangat perpaduan sejati serta persefahaman sukar dijalinkan kerana hidup dalam kelompok mengikut kaum selepas meninggalkan alam persekolahan.

Sebenarnya pandangan ikhlas beliau yang ingin melihat hasrat pimpinan negara dengan gagasan 1Malaysia itu dapat direalisasikan. Saya amat bersetuju, bahawa hanya melalui bahasalah, kita boleh bersatu dan berpadu. Saya sedar mengenai wujudnya golongan tertentu yang amat tidak senang dengan kenyataan Koo Kay Kim ini yang dengan sinis menyatakan kononya tokoh itu tidak memperjuangkan bangsanya sendiri.

Sebagai penyokong kepada seranan beliau, saya mencadangkan agar di peringkat permulaan ini, Kementerian Pelajaran Malaysia hendaklah memastikan agar semua mata pelajaran yang diajar di Sekolah Jenis Kebangsan (SJK) menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, dan bukannya bahasa ibunda mereka.

Jumlah mata pelajaran bahasa Melayu di SJK juga hendaklah ditambah selaras dengan sekolah kebangsaan. Untuk makluman, mata pelajaran bahasa Melayu di SJK hanya 270 minit seminggu (Tahap Satu) dan 180 minit seminggu untuk Tahap Dua, berbanding dengan 300 minit seminggu bagi Tahap Satu dan 360 minit untuk Tahap Dua, di sekolah kabangsaan.

Marilah kita sama-sama berlapang dada, berminda terbuka, untuk menerima saranan tersebut tanpa kita dipengaruhi dengan perkara-perkara yang boleh membantutkan usaha-usaha, merealisasikan gagasan 1Malaysia tanpa kita perjudikan masa depan bangsa yang telah dimaktubkan oleh perlembagaan kita.

Itulah harapan saya, dan saya percaya bahawa itu jugalah yang menjadi harapan anda semua.