Isnin, 12 September 2011

SELAMAT MENDUDUKI UPSR 2011

Assalamualaikum.

Syukurlah, dapat juga saya mencatatkan sesuatu pada laman blog ini. Walaupun saya agak "tenggelam timbul" dalam penulisan ini, namun saya sentiasa mencuri masa untuk menulis di sini untuk tatapan kita semua. Mudah-mudahan apa yang saya catatkan ini memberi sesuatu yang bermakna buat kita semua.

Hari ini (Selasa/13 September 2011), anak-anak kita yang berusia 12 tahun akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Bagi anak-anak yang faham mengenai pentingnya ujian tersebut, mereka akan memberikan lebih fokus bagi meraih seberapa banyak kejayaan. Dan, begitulah sebaliknya.

Ibu bapa juga begitu. Bagi mereka yang sentiasa mengambil cakna terhadap pembelajaran dan pelajaran anak-anak, UPSR adalah sama penting dengan peperiksaan utama yang lain. Oleh kerana itu, mereka akan sentiasa membantu, mengikuti perkembangan anak-anak mereka secara dekat selain akan mengiringi anak-anak menduduki ujian itu siang nanti.

Saya sangat percaya bahawa anak-anak kita cukup bersedia untuk berhadapan dengan ujian ini. Hasil usaha yang berterusan daripada pihak sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri, Kerajaan Negeri dan disokong oleh ibu bapa, insya'Allah Terengganu bakal mencatatkan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan itu nanti.

Beberapa hari ini, saya telah menemui dan bersama dengan sebahagian daripada anak-anak kita yang bakal menduduki UPSR, bukan sahaja untuk memberikan semangat kepada mereka tetapi ingin menyatakan bahawa mereka adalah pelajar yang sentiasa diberikan perhatian. Melalui program minum pagi bersama mereka, saya dapat rasakan semangat yang berkobar-kobar di kalangan mereka untuk menduduki UPSR.

Walaupun saya telah mengambil keputusan bersara awal sebagai seorang guru, pendidikan adalah sesuatu yang telah menjadi darah daging saya. Justeru, saya sentiasa ingin mengikuti dan mendekati pelajar-pelajar kita yang bakal menduduki peperiksaan seperti UPSR itu nanti.

Saya berdoa agar anak-anak kita akan bersungguh-sungguh dan dipermudahkan dalam menjawab soalan-soalan yang disediakan. Saya yakin, dengan persiapan yang rapi, mereka akan mampu menjawabnya, sekaligus mencatatkan keputusan yang cemerlang.

Kepada ibu bapa, selain berdoa agar anak-anak mencapai kejayaan, iringi mereka ke dewan peperiksaan agar mereka beroleh semangat untuk menjawab setiap soalan.

Kepada adik-adik, selamat maju jaya semuanya.