Selasa, 7 Oktober 2008

SYUKUR DAN AIDILFITRI

Saya bersama YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri dalam satu pertemuan bersama pelajar di Kuala Terengganu.
Salam Syawal,

Saya amat gembira kerana semakin ramai yang melayari laman saya ini. Banyak pandangan yang mereka berikan dan segala pandangan tersebut amatlah berguna bagi saya dalam memperkemaskan lagi laman ini. Ternyata, ramai yang menarik mengenai isu-isu semasa yang berkaitan pendidikan. Dan ini terbukti apabila ramai di kalangan pembaca yang memberikan komen-komen membina. Apa pun, saya amat gembira.

Alhamdulillah kita dapat bersama-sama mengisi bulan Syawal ini dengan penuh rasa syukur dan bertuah. Berbanding dengan umat Islam di negara lain, beginilah kita - amat bertuah sekali. Maka sewajarnya kita bersyukur di atas segala nikmat yang ada. Namun, agak menyedihkan apabila ramai di kalangan masyarakat kita yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih. Macam-macam fatwa mereka keluarkan bagi menghalalkan segala apa yang mahu mereka lakukan.

Berat benar mereka hendak bersyukur dan berterima kasih di atas segala kejayaan yang dicapai kerajaan. Bagi mereka, puak-puak malaun itu, mereka hanya mahu melihat kesalahan kerajaan sahaja. Apa sahaja yang dilakukan kerajaan adalah salah di mata mereka. Itu saja yang mereka pandai. Hakikatnya, segala kemakmuran dan nikmat yang mereka sendiri kecapi adalah hasil usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada hari ini. Kalau pembangkang, belum tentu lagi apa akan jadi dengan negara kita. Saya sendiri pun tidak tahu menggambarkannya.

Jadi, janganlah kita mudah sangat terpedaya dengan manusia yang hanya pandai melihat orang lain sebagai salah belaka sedangkan diri mereka sendiri sebenarnya bergelumang dengan najis dan kekotoran. Biasanya begitulah.

Oleh itu, sebagai rakyat, kita mesti tahu meletakkan diri kita di mana. Kita mesti melihat apa yang benar-benar ada di depan kita dan memperakuinya jika ia benar. Usah kita cuba memadamkan kebaikan orang lain hanya semata-mata kerana kita tidak bersetuju dengan orang itu. Mana boleh!.

Persepsi kita kena berubah. Janganlah nikmat kita kecapi tetapi nak berterima kasih kita tak mahu. Itu bukan sifat manusia namanya tu. Maaf, kasar sikit. Namun itulah hakikatnya dan saya perlu sebut mengenainya.

Marilah kita insaf dan menjadi insan yang terbaik dan memperakui setiap kebaikan yang diberikan kepada kita. Ingatlah, kebaikan yang kita beri, maka kebaikan jualah yang akan menjelma di dalam hidup kita.