Jumaat, 7 Ogos 2009

CATATAN TENGAH MALAM


Salam bloger …

Ada khabar dari Perth, Australia. Khabarnya, Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengkaji kemungkinan memasukkan kesukanan dalam kurikulum sekolah. Pada saya, apa sahaja yang baik dan dianggap baik, laksanakanlah.

Bagaimanapun sebelum ia dilaksanakan, kajilah terlebih dahulu termasuk mendapatkan pandangan daripada mereka yang arif mengenainya.

Seperti biasa, jangan terlalu tergesa-gesa kerana saya bimbang kita akan mengulangi kesilapan yang akhirnya merugikan. Apa yang penting, jangan jadikan anak-anak kita seperti tikus putih di makmal.

Jangan kita ulangi pelbagai kesilapan yang pernah dilakukan dan janganlah apabila rumah telah siap dibina, pahat pula masih menari-nari. Keadaan itu sebenarnya amat merugikan jika ia benar-benar berlaku.

Maafkan saya, saya bukan negatif tetapi saya memberikan pandangan dan peringatan agar kita tidak terkena lagi.Dalam banyak keadaan, kita rugi kerana hal-hal yang remeh yang boleh kita selesai dan tangani. Kadangkala, apa yang kita fikirkan baik, ia belum tentu dilihat baik oleh kebanyakan orang.

Kebimbangan saya, bukan sahaja terhadap kemampuan sesuatu cadangan yang hendak dilaksanakan tetapi saya lebih khuatir terhadap persepsi masyarakat kita. Maksudnya, saya bimbang kita akan tunduk kepada desakan selepas kita melaksanakan sesuatu cadangan walaupun apa yang dilaksanakan itu adalah baik.

Persepsi orang kita sentiasa berbaur politik. Dan, politik itu pula tidak mungkin berasaskan kepentingan apa yang dicadang atau dilaksanakan. Ia lebih berteraskan keuntungan bagi mendapatkan faedah atau kuasa. Itu politik. Politik akan tergamak menghalalkan cara, politik akan selesa membiarkan setiap kebaikan dilihat jahat atau salah. Itu yang saya bimbangkan sebenarnya.

Terpulang kepada anda. Saya melontarkan sesuatu yang saya fikirkan wajar untuk dilihat atau diteliti oleh kita. Itu saja.