Selasa, 9 September 2008

PPSMI vs BISP : ANTARA NAFSU DAN AMANAH BANGSA




  1. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Haji Razali Ismail, bahawa terdapatnya guru-guru yang terlibat dengan Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan dianugerahkan dengan Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) dengan tujuan bagi membolehkan guru-guru berkenaan menggunakan pemberian itu untuk dimanfaatkan ke arah mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Namun ia tidak mencapai matlamat sebahagian sahaja yang berbuat demikian.


Jika benar kenyataan tersebut, ia merupakan satu pencabulan amanah yang amat menjijikkan dan amat memalukan. Bagi saya, janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Bukankah profesion perguruan merupakan tanggungjawab yang amat mulia dan terpuji.

Maka amatlah malang jika perkara tersebut dicabuli dengan rasa tidak bertanggungjawab. Harus diingat bahawa wang kerajaan yang disalurkan kepada mereka adalah juga wang rakyat. Setiap penyalahgunaannya adalah satu pengkhianatan terhadap hak rakyat.

Harus diingat bahawa setiap usaha kerajaan wajarlah direalisasikan dengan sebaik mungkin, sejajar dengan amanah yang diberikan. Saya sedih jika perkara yang didedahkan itu benar-benar berlaku dan mahukan ia tidak terus berulang. Ingat bahawa kerajaan menyediakan pelaburan yang besar demi memastikan rakyat kita khususnya di kalangan anak-anak kita sendiri mendapat peluang pendidikan terbaik. Justeru, jika amanah yang diberikan telah dikhianati, apa lagi yang tinggal untuk mereka.

Marilah kita bermuhasabah di bulan Ramadhan yang mulia ini, BISP adalah satu amanah yang disediakan demi kepentingan bangsa kita. Janganlah nanti akibat hilang kawalan nafsu, kita korbankan masa depan anak-anak yang dahagakan ilmu kita.

Sama ada kita menyukainya atau tidak, PPSMI telah dilaksanakan dan UPSR 2008 adalah produk sulungnya. Jangan kita terbuai dengan kemahuan yang tidak terbatas sehingga lupa kepada tanggungjawab sebenar yang wajar kita pikul. Saya bimbang, jika isu ini terus berlarutan dan matlamat yang diharapkan gagal dicapai, maka kegagalan itu akan ditunding kepada kerajaan sedangkan kerajaan telah menyediakan segala-galanya untuk kita membantu anak-anak kita mencapai kecemerlangan.

Sebagai warga pendidik yang diamanahkan, saya berdoa mereka yang terlibat dengan sikap yang tidak bermoral itu bermuhasabah diri dan menilai semula tindakan yang mereka lakukan. Belum terlambat sebenarnya untuk kita kembali ke pangkal jalan. Kita tidak boleh terus tersesat dalam keadaan kita sedar jalan yang sedang kita lalui itu adalah salah.

Sedarlah bahawa tanggungjawab kita adalah penentu kepada masa depan negara. Kegagalan kita akan menyebabkan wajah negara mungkin tercemar dan apabila itu berlaku, yang akan menikmati kesusahan ialah kita sendiri. Apakah itu yang kita mahu?. Ia mungkin menjadi satu persoalan yang baik untuk kita semua merenunginya. Kepada guru yang telah berjaya menggunakan amanah yang diberikan, saya ucapkan syabas dan terima kasih. Anda tentu sekali menjadi insan yang sayangkan bangsa dan generasi kita masa depan. Saya sedar bahawa anda adalah insan yang memahami apa yang kerajaan mahukan dan kerana itu anda telah menjaga amanah yang diberikan dengan begitu baik dan sempurna.

Saya yakin, kejujuran dan ketaatan anda dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan adalah satu kebanggaan, bukan sahaja bagi saya tetapi pastinya seluruh rakyat yang amanahnya sedang berada dalam genggaman kita.

Marilah kita terus memandang ke depan dan jika ada kekurangan akibat pelaksanaannya tergesa-gesa, ia bukan bermakna kita hentikanya setelah jutaan wang rakyat kita laburkan. Marilah kita sama-sama memperbaiki kelemahan yang ada agar kita tidak dikatakan hangat-hangat tahi ayam... saya yakin guru kita merupakan guru yang amanah dan mendidik anak bangsa kerana Allah dan demi masa depan bangsanya…fikir-fikirkanlah………