Selasa, 21 September 2010

POLITIK BARU ANCAM NILAI KEMERDEKAAN

Kata orang, mengisi kemerdekaan itu adalah lebih payah daripada perjuangan menuntut kemerdekaan. Selepas 53 tahun usia kemerdekaan negara kita yang dijayakan sekumpulan patriot negara diketua Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, kata-kata itu kelihatan semakin terserlah.

Walaupun tidak dinafikan bahawa kita sudah jauh merentasi perubahan dalam tempoh itu dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan, pendidikan dan sebagainya, namun adakalanya ia telah meletakkan nilai kemerdekaan ibarat nyawa di hujung tanduk.

Silap siapa?. Keghairahan masyarakat kita mengejar kemewahan hidup, terlalu taksub dengan politik serta begitu mudah terpedaya dengan perubahan maya telah menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai masalah dan ancaman moral yang semakin meruncing.

Maklumlah, dunia ini sudah hilang sempadannya kata mereka. Maka, mereka mahukan kebebasan dan menuntut kebebasan tanpa mereka sedar kebebasan yang mereka cari telah mendedahkan mereka kepada ancaman penjajahan bentuk baharu.

Akhirnya masyarakat kita kian hanyut dengan kemodenan yang mereka cari, Rasa syukur terhadap nilai kemerdekaan lenyap entah ke mana. Masa depan negara tidak lagi berada dalam senarai paling atas pada pemikiran mereka. Apa yang mahukan, kadangkala mereka juga kurang pasti.

Isu-isu sosial seperti samseng jalanan, pembuangan bayi dan lepak adalah sebahagian daripada penyakit yang kian menular di kalangan generasi muda hari ini. Manakala golongan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi lebih ghairah menuntut agar mereka dibenarkan berpolitik sehingga kurang mempedulikan mengenai sahsia diri sebagai generasi masa depan negara.

Di saat kita berada di bulan kemerdekaan saban Ogos, di mana generasi muda kita berada dan apa pula yang terisi dalam kehidupan mereka. Apa pula peranan ibu bapa dalam menyedarkan anak-anak mengenai nikmat dan nilai kemerdekaan. Berapa ramaikah di kalangan mereka yang merasa bertanggungjawab mengibarkan Jalur Gemilang. Berapa ramai pula yang berbangga kerana menjadi rakyat Malaysia.

Melihat kepada isu-isu yang berlaku, kebimbangan terhadap sikap dan pendirian generasi muda kepada nilai kemerdekaan negara ada asasnya. Jadi, di mana kita, dan apa pula tindakan kita.

Tidak cukup dengan itu, paling penting, dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia ini ialah perpaduan dan kesepakatan kaum. Namun begitu, berdasarkan isu-isu semasa yang berlaku berkaitan hal tersebut, ia telah menampakkan petanda kurang baik yang wajib diperbetulkan segera.

Sekali lagi politik telah mengambil tempat sebagai sebab kepada ancaman terhadap nilai kemerdekaan. Kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perutusan hari Kebangsaan pada 30 Ogos 1987, salah satu nilai yang boleh mempertahankan kebebasan dan maruah ialah kesetiaan.

Dalam perutusan Hari Kebangsaan pada 30 Ogos 1983 beliau berkata, di dalam sebuah negara berbilang kaum seperti kita, kemajuan tidak mungkin dapat dicapai melainkan jika kita dapat mengurangkan tumpuan kepada soal perbezaan dan kepentingan yang berlainan, dan sebaliknya mengutamakan unsur-unsur persamaan dan kerjasama.

Katanya, bagi kaum Bumiputera, tertinggalnya mereka di belakang berbanding kaum lain menyebabkan perasan iri hati dan benci yang ketara. Sebaliknya bagi kaum bukan Bumiputera pula, terganggunya kemajuan mereka kerana menunggu Bumiputera – juga menimbulkan rasa kecewa dan muram. Tetapi jika emosi dapat diketepikan, maka masing-masing akan mengakui bahawa tidak mungkin mereka mampu memperolehi layanan seratus peratus sebagaimana yang mereka kehendaki.

Itulah kata kunci sebenar kepada nilai kemerdekaan negara. Kemerdekaan adalah satu kesepakatan dan jika kesetiaan sudah semakin terhakis, maka ia bakal mendedahkan nilai kemerdekaan ini kepada ancaman yang lebih buruk.

Cabarannya, ruang untuk menyedarkan rakyat kita kepada hakikat tersebut menjadi semakin sempit disebabkan politik. Itu kenyataannya. Hari ini, rakyat kita berpolitik kerana mahukan kuasa dan bukannya berpolitik untuk mempertahankan kuasa. Kemerdekaan juga sama.

Ramai yang melihat kemerdekaan sebagai sesuatu untuk menghalalkan tuntutan politik mereka. Dakwa mereka, kemerdekaan adalah kebebasan dan mereka menuntut untuk bebas melakukan apa sahaja walaupun terpaksa melanggar undang-undang negara.

Bagi mereka, undang-undang hanyalah ciptaan manusia yang boleh disanggah, menyekat kebebasan bermaksud matinya demokrasi, manakala perpaduan pula menjadi pertaruhan untuk mendapatkan durian runtuh politik. Semangat kemerdekaan pula berada di mana?. Ah!, mereka peduli apa dengan kemerdekaan.

Jiwa mereka seolah-olah sudah bebal dan tidak lagi tersentuh dengan nilai kemerdekaan. Jauh sekali untuk merainya sebagai satu nikmat yang wajib dipertahankan. Golongan itu bukan sahaja berlegar di kalangan mereka, malah telah mengheret generasi muda sama. Itulah yang membimbangkan.

Maka tidak hairanlah apabila Lagu Kebangsaan juga boleh dipermainkan tanpa rasa bersalah dengan mengubah seni kata kepada yang menjengkelkan. Lebih mendukacitakan apabila kerana politik, ada rakyat kita sendiri tergamak membakar Jalur Gemilang yang menjadi simbol terpenting negara bertuah.

Jika Jalur Gemilang sudah sanggup dibakar, apakah yang tinggal di dalam diri mereka terhadap nilai kemerdekaan. Politik baharu telah menghalalkan tindakan sedemikian. Kalau marahkan nyamuk, bakar kelambu tidak mengapa. Ini satu kaedah dan perkembangan yang memalukan dan sangat bahaya sebenarnya.

Satu bayangan ketara mengenai semangat orang kita terhadap nilai kemerdekaan negara, bagaimanakah mereka meraikannya. Kebetulan tahun ini, bulan kemerdekaan jatuh pada bulan Ramadan, maka usaha meraikan bulan kemerdekaan juga turut “puasa” sama. Di tahun-tahun yang lain, masih ramai yang mengharapkan Jalur Gemilang percuma. Itupun belum tentu mereka lekatkan pada kediaman atau kenderaan mereka.

Begitu juga dengan perpaduan kaum. Ia semakin mengelirukan disebabkan politik baharu. Pemikiran rakyat dikecamukkan dengan isu-isu yang boleh mengancam perpaduan kaum. Keadaan itu telah mencetuskan keberanian pihak-pihak tertentu untuk mengemukakan tuntutan yang tidak sepatutnya.

Dengan berani dan lantang, mereka mahu menuntut sesuatu yang telah disepakatkan melalui kontrak sosial sejak merdeka lagi. Mengapa?. Tuntutan sedemikian dibuat kerana golongan berkenaan melihat ada ruang berbuat demikian, dan politiklah yang telah memberikan ruang tersebut.

Keghairahan tersebut telah memadamkan apa yang sepatutnya mereka ingat – tragedi 13 Mei 1969 yang terkenal itu misalnya telah menjadi sejarah yang mampu berulang jika ada pihak tidak berhati-hati dalam tuntutan mereka.

Walaupun ada pihak yang menyatakan tragedi 13 Mei sudah tidak lagi relevan untuk diungkit-ungkitkan di era ini, namun sejarah itu tidak pernah berbohong mengenai puncanya. Sejarah bukan sebagai ancaman, tetapi sejarah lebih bersifat memberikan pengajaran dan peringatan.

Sesiapa yang mahu menafikan sejarah, mereka cuba menafikan peringatan dan mereka yang tidak suka beringat-ingat, ia akan mendedahkan mereka kepada berulangnya sejarah itu.

Oleh itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, waktu telah menyaksikan jambatan yang dibina pejuang negara terdahulu dengan segala susah payah telah mula digoyahkan oleh golongan tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh. Mereka itu telah mengeksploitasikan garis-garis kegelinciran yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum, sama ada ianya bersifat politik, agama mahupun sosial demo untuk memuaskan agenda sempit mereka.

Kata Najib dalam perutusan hari kemerdekaan negara tahun lalu, di persimpangan ini, cabaran terbesar rakyat Malaysia ialah untuk membaik pulih jambatan yang sedia ada, di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah sesama kita. Pokoknya kata beliau, kita perlu terus kukuh menguruskan kejayaan dan membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang terpupuk selama ini.

Justeru, dengan tema 1Malaysia Menjana Tranformasi, sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-53 ini harus disegarkan dengan usaha mempertahankan nilai-nilai kemerdekaan ini melalui kaedah yang terbaik – mengutamakan perpaduan kaum, memperkasakan kesepakatan, bertekad meningkatkan kesetiaan serta menolak politik yang mengancam kemerdekaan.

Sebagai rakyat Malaysia, siapa pun kita dan apa pun kaum kita, kita tidak akan terlepas daripada tanggungjawab terhadap negara bertuah ini. Perjalanan kita masih terlalu jauh, kemerdekaan yang sedang kita kecapi harus diisi dengan segala kejayaan. Kita tiada pilihan.

Kemerdekaan yang kita perolehi sejak 53 tahun yang lampau tidak datang bergolek. Perjuangan menuntutnya tidak bermodalkan air liur semata-mata. Darah dan nyawa jadi pertaruhan. Dan, usaha mengisi kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang semata-mata.

Lebih jauh daripada itu, nilai kemerdekaan ini harus diisi dengan semangat untuk sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan maruah dan masa depan negara. Itulah sebaik-baiknya.