Ahad, 6 Mac 2011

DEMI RAKYAT, BN MENANG BESAR

Salam blogger,

Tindakan Pas membawa pelawak Bob Lokman ke PRK Kerdau, Pahang dan Merlimau di Melaka ternyata tidak membawa apa-apa kesan kepada pengundi di kedua-dua kerusi berkenaan untuk terus memilih calon BN pada PRK tersebut semalam. Gimik politik yang sengaja dicetuskan pembangkang dengan menggunakan selebriti terbukti gagal.

Memang bagi saya, saya telah menjangkakan BN akan menang di dua kerusi berkenaan, namun saya tidak menyangka BN akan menang besar sebagaimana yang diumumkan semalam. Mesej yang hendak disampaikan rakyat mengikut fahaman saya, pembangkang hanya pengacau dan mereka tidak layak dipilih untuk berada dalam DUN di dua negeri berkenaan.

Saya berpendapat, rakyat kini mula memahami bahawa isu-isu yang sengaja dicetuskan pembangkang dengan mengapi-apikan perasaan rakyat adalah satu helah dan propaganda murahan semata-mata. Rakyat sudah melihat kepalsuan yang cuba dicanangkan pembangkang dan mereka ternyata tidak mudah terpedaya dengan pelbagai janji kosong oleh pembangkang.

PRK Merlimau dan Kerdau, sudah tentu akan menjadi titik permulaan yang baik ke arah menjayakan transformasi politik BN agar lebih matang dan mantap menjelangnya PRU yang ke-13 nanti. Terlalu banyak sebenarnya yang boleh dipelajari BN di sebalik semua 16 PRK yang berlangsung sejak 2008 yang lalu.

Tentu sekali, BN telah menemui sentuhan dalam memasarkan politiknya kepada rakyat walaupun dalam keadaan begitu banyak tekanan dari pembangkang. Bukan mudah sebenarnya untuk meyakinkan rakyat di Kerdau dan Merlimau bahawa apa yang sedang berlaku, termasuk isu kenaikan harga barang, masalah harga minyak dan lain-lain adalah sesuatu yang di luar kemampuan kerajaan BN.

Namun, rakyat melihat kesungguhan kerajaan BN dalam membantu meringankan beban rakyat dan bukannya menawarkan sesuatu yang kosong. Saya sangat terharu, dalam tekanan sedemikian, rakyat masih boleh memilih BN kerana mereka memahami bahawa BN sahajalah yang berkerja keras untuk membela nasib mereka.

BN adalah parti rakyat. Daripada rakyat kepercayaan diperolehi, dan kepada rakyat bakti diberikan. BN tidak pernah kalah dan lelah dalam membantu rakyat. Kesungguhan dan keikhlasan itu telah menjadi sebahagian daripada resepi kejayaan BN.

Tahniah saya ucapkan kepada dua YB baharu dari BN ... bekerjalah untuk rakyat demi rakyat. Berbaktilah demi negara dan untuk negara. Semoga, BN akan terus kekal cemerlang pada PRU ke-13 nanti, insya'Allah.