Jumaat, 9 Januari 2009

Salam Bloger …

Semua pihak kini memberikan pelbagai pandangan mengenai masa depan PPSMI, sama ada ia menguntung atau sebaliknya, membina atau meranapkan bangsa dan perlu atau tidaknya perkara tersebut diteruskan. Malah ada pula yang mengugut untuk menyaman Kementerian Pelajaran Malaysia jika diteruskan. Maka, adakah ia wajar?. Wajar dalam konteks untuk meneruskan atau sebaliknya. Dan adakah wajar sehingga polemik mengenainya berpanjangan sehingga timbulnya isu menyaman kerajaan.

Baru-baru ini GPMS telah mengadakan persidangan di Institut Aminudin Baki, Genting Highland, Pahang. Apa yang ingin saya jelaskan ialah, pada hari terakhir persidangan, kami telah merumus dan mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia agar mulai pengambilan murid tahun satu sekolah rendah pada 2010, pengajaran dan pembelajaran (P & P) mata pelajaran sains dan matematik hendaklah dikembalikan ke dalam bahasa Melayu. Hal itu amat jelas.
GPMS berpendapat bahawa masalah sebenar murid adalah tidak dapat menguasai mata pelajaran bahasa Inggeris dan jika sekiranya mata pelajaran sains dan matematik dilaksanakan sebagaimana sekarang, murid akan terus ketinggalan terutamanya murid di pendalaman serta yang dilingkungi kemiskinan.

Justeru itu, GPMS mencadangkan agar mata pelajaran bahasa Inggeris dirombak dan digubal semula dengan mengambilkira perkara berikut :

i. Menambah waktu P & P sebanyak 60 minit sama ada di tahap satu maupun tahap dua sekolah rendah
ii. Memasukkan elemen mata pelajaran sains dan matematik sebagai asas pemahaman khasnya penggunaan istilah-istilah tertentu
iii. Memasukkah kesusasteraan Inggeris bagi tujuan pemantapan penguasaan.


Saya amat mengharapkan agar hal ini tidak dipandang remeh kerana ia melibatkan soal masa depan murid di sekolah. Sesungguhnya semua pihak, wajar memikirkan isu ini dengan bijak, matang dan profesional. Semoga isu ini tidak berbangkit lagi selepas penyelesaian secara muktamad diputuskan oleh pihak Kementerian Pelajaran.